E-Mail: lippikmkk@gmail.com

25 Februari 2009

"Hina Besi Kerana Karat, Hina Manusia Kerana Melarat"

Rozita adalah simbol kepada Sendayu Tinggi. Daripada seorang penoreh getah, kini beliau telah berjaya dan berkembang maju hingga mampu mendirikan sebuah empayar perniagaan yang besar. Sematan pepatah ‘Hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat' meninggalkan kesan yang amat mendalam di jiwanya.

Menurut wanita ini, dunia beliau pada hari ini memberikan satu kepuasan. Apa yang dikecapi hari ini membezakan peribadi beliau dahulu dan sekarang. Jika dahulu beliau hanya mampu menangis dan berdoa, sifat semulajadi wanita, tetapi kini ikhtiar, ikhtikad diri dan mengidamkan hadiah buat diri sendiri mengubah persepsi diri bahawa wanita perlu bangun dan bebaskan diri dari belengu. Inilah yang cuba Rozita sampaikan kepada wanita lain dan tidak salah jika mempunyai semangat kental yang sama seperti beliau.

Sebelum bergelar usahawan, Rozita Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Ita, terpaksa menempuh pelbagai onak dan duri. Beliau yang kini hampir mencecah umur 40 tahun telah berpisah dengan suami dan alami perkahwinan dan penceraian yang menyakitkan. Beliau menamatkan zaman gadis dalam usia terlalu muda dengan lelaki pilihan keluarga.

Dalam usia itu, Rozita tidak berpeluang memikirkan tentang kerjaya. Hidupnya banyak dihabiskan untuk keluarga di samping membantu suami dengan menoreh, membekalkan makanan dan membuat kontrak perladangan pada pendatang asing serta menjalankan perniagaan kedai runcit di Felda Kechau 1, sempadan Gua Musang. Tragedi buruk berlaku ketika menyara anak yang berumur 3 bulan bilamana terpaksa menggantikan susu dengan air sirap kepada bayinya. Anak kedua pernah sakit dan lumpuh serta terpaksa menggunakan tumbuhan hutan untuk mengubatinya. “Sayangnya arwah anak saya tidak berpeluang merasai kesenangan. Dia pergi kerana tidak mendapat rawatan terbaik.”

Keputusan berpisah dengan suami pertama menyebabkan dia dipulaukan oleh keluarga. Justeru itu, dia membawa diri ke kota dan mencuba pelbagai jenis pekerjaan untuk menampung empat orang anaknya. Operator pengeluaran, penyambut tetamu, eksekutif promosi dan pemasaran dan pekerja di syarikat jualan langsung pernah dijawatnya.

Apa yang pasti, wanita tabah ini sentiasa belajar untuk membina diri sebagai wanita kental. Baginya, keperitan dan penderitaan hidup adalah ‘buah tangan' termahal dijadikan landasan untuk terus melangkah. Barang kemas yang sedikit sebanyak terpaksa digadaikan sebagai modal. Akhirnya bermodalkan RM400, dia memulakan perniagaan dalam menghasilkan formulasi herba. Beliau sanggup menjalankan ujikaji dengan menggemukkan badannya sendiri sebanyak 3 kali dan akhirnya berjaya menurunkan semula.

“Jika diajak berbicara mengenai ibu tunggal, pada mulanya saya tidak yakin dengan status ini namun anak-anak menjadi iltizam hidup saya untuk terus berdiri. Saya bangun dan berjanji menjadi ibu dan bapa yang baik buat anak-anak saya. Oleh kerana dahulu saya kekurangan limpahan kasih sayang namun saya belajar dari pengalaman dan kasih sayang menjadi kunci kebahagiaan saya dan empat orang anak saya sekarang. Kejayaan saya kini berdasarkan kepada kekuatan prinsip dan sentiasa mahu memperbaiki diri, itulah visi hidup saya. Tanpa visi dan prinsip, maka tiada apa yang boleh dimegahkan dalam peribadi diri.”

Setelah 5 tahun mengharungi pahit getir dalam dunia perniagaan, Rozita yang mengkagumi tokoh Lim Goh Tong dan Boon Siew Honda akhirnya memahat nama sebagai seorang saudagar produk kecantikan atas nama yang kian popular, Sendayu Tinggi. Apa yang membanggakan, Sendayu Tinggi yang dahulunya Sendayu Tinggi Corporation sudah pun mempunyai 9 anak syarikat di bawahnya. Jumlah pengedar beliau lebih dari 2000 orang termasuk di Brunei dan Sigapura. Bukan setakat perniagaan menjual herba semata namun wanita ini lebih suka mendekatkan diri dengan masyarakat dengan berkongsi pelbagai petua kecantikan, pantang larang, kebahahgiaan rumahtangga serta membina keyakinan diri untuk wanita.

Puteri sulungnya juga turut mempunyai syarikat sendiri dalam bidang tekstil. Apabila disentuh dengan matlamat dalam perniagaan, Rozita menjelaskan “Dunia perniagaan seperti dalam pertempuran. Kemenangan adalah matlamat. Azam sentiasa digenggam. Dalam konteks perniagaan, pasti ada keuntungan pun begitu, saya ingin memberikan kualiti yang terbaik kepada pengguna. Apa yang saya perolehi, saya salurkan kepada masyarakat terutama golongan susah, ibu tunggal, orang tua, dan anak yatim. Bagi saya itulah nilai sebuah kasih sayang yang tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit. Saya sayangkan masyarakat dan saya juga ingin disayangi oleh masyarakat.Harapan utama ialah saya mahu mewarnai masyarakat, wanita dan ibu tunggal khususnya dari pelbagai aspek.”

OBJEKTIF, VISI DAN MISI
Menitikberatkan kasih sayang itulah kepuasan dalam diri saya. Dengan kasih sayang saya berharap agar dapat menyuntik semangat keberanian dan jati diri yang kukuh dalam diri dan masyarakat. Saya perlukan kasih sayang dan begitu juga anda. Justeru itu, saya mahu pengedar saya kasih dan sayang kepada anda sepertimana saya kasih dan sayang kepada anda. ‘Hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat'. Walaupun ada masanya saya dikeji, dihina dan menjadi bahan umpatan orang namun saya dan tidak marah dan tidak lemah menghadapinya. Bahkan saya akan terus berdiri teguh dan membuktikan pada mereka yang saya adalah yang terbaik.

Matlamat dalam perniagaan pasti sasarannya keuntungan. Pun begitu, jihad dan perjuangan besar saya ialah memperbaiki diri, membantu keluarga, membantu golongan wanita yang ingin berniaga, membantu golongan fakir miskin dan membangunkan anak bangsa.

Saya percaya, zaman dahulu siapa kuat dia raja tetapi kini siapa bijak dialah raja. Walaupun kini ramai yang cerdik belaka namun masih ada juga yang tidak berjaya dalam kerjaya. Cubalah selidiki diri apa kekurangan diri. Kreativiti, daya fikir yang tinggi dan sesekali menyelami tentang kehidupan alam sekeliling perlu menjadi bekalan dalam kehidupan. Visi utama saya agar Sendayu Tinggi dapat melangkah jauh di persada dunia antarabangsa. Apa itu kekuatan prinsip saya? Tidak suka menipu diri sendiri atau orang lain, jujur pada diri, agama dijadikan sandaran kehidupan, berani, menghormati orang lain sebelum orang lain boleh menghormati kita. Apakah yang dimaksudkan dengan kejayaan hidup?

KARIER
Wanita perlu ada kekuatan diri dan kedudukan kewangan yang kukuh, peka dengan keadaan sekeliling, peribadi dan keluarga sekaligus akan membe ntuk satu visi dalam kehidupan. Berjaya dalam kerjaya tidak semestinya menerima sejumlah gaji yang tinggi tetapi dapat melaksanakan kerja yang diberi dengan baik. Ingat! Jangan berada dalam takuk yang sama. Buatlah perubahan positif dari semasa ke semasa.

KELUARGA
Mendidik dan membimbing anak dan keluarga ke arah yang terbaik. Mengekalkan keharmonian dan kebahagiaan keluarga adalah satu usaha yang terpuji. Didikan agama dan akidah diterapkan agar kehidupan mereka di dunia dan akhirat seimbang.

MASYARAKAT
Berkongsi ilmu kecantikan melalui konsep herba disamping menerapkan dalam diri masyarakat agar berusaha gigih, tidak mudah putus asa disertakan dengan pengorbanan mampu membuahkan kejayaan. Mengajak dan menyeru wanita agar mencari inisiatif untuk mengukuhkan pendapatan mereka dan keluarga. Menerapkan unsur-unsur jati diri, cekal dan tidak mudah menangis dan melatah apatah lagi jauh meminta-minta. Lakukanlah pengorbanan dan berilah satu jangkamasa buat diri agar dapat membuktikan sesuatu. insya' Allah, jika dipraktikkan pasti membuahkan kejayaan.

KAREKTOR
Sejak kecil tidak pandai duduk diam. Dalam erti kata lain agresif. Suka berfikir dan mencari idea-idea yang mencabar. Suka buat kejutan dan membuktikan bahawa ‘Jika orang lain tak boleh, saya boleh!” Tiada apa yang tak menjadi sekiranya tidak mencuba.

TIPS ROZITA IBRAHIM
  1. Tegas dan prihatin dalam menitikberatkan risiko terhadap sesuatu keputusan.
  2. Menggunakan psikologi, sifat kesabaran dan kematangan dalam apa jua tindakan.
  3. Semua pelaburan yang dibuat hendaklah dikaji dari sudut kesan dan tindakan susulan.
  4. Jangan suka berhutang.
  5. Jangan terlalu berfikir mengenai keuntungan sendiri, wujudkan sifat peri kemanusiaan dan kasih sayang terhadap pengguna.
  6. Letakkan diri pada tempat pengguna.
  7. Suka berfikir dan mencari ketenangan.
  8. Jujur pada diri sendiri dan kepada orang lain.
  9. Berpegang kepada prinsip diri.
  10. Penuh dengan visi, mengkaji baik buruk sebelum melihat pada benda yang baik.
  11. Jangan sombong, takbur dan riak.
  12. Sentiasa mencari kelemahan diri dan memperbaiki dengan cara mengawal diri dan mencari apa yang kita mahukan dalam kehidupan kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu