E-Mail: lippikmkk@gmail.com

21 Februari 2009

Peranan Usahawan

Usahawan merupakan pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Maju dan mundur ekonomi sesebuah negara adalah bergantung kepada usahawan yang dinamis dan berpandangan jauh. Mereka adalah individu yang unik dan berbeza dengan insan biasa. Ciri-ciri keusahawanan yang ada pada individu usahawan berupaya membangunkan bukan sahaja diri usahawan sendiri, tetapi juga bertanggungjawab kepada pembangunan masyarakat dan negara. Malah hasil usahawan mampu memberi kesejahteraan kepada masyarakat seluruh dunia. Ini adalah kerana usahawan merupakan daya penggerak yang mewujud, memulakan dan sentiasa berusaha memperkembangkan sesuatu usaha teroka yang diceburi.

Jesteru itu mereka dapat mencipta pekerjaan kepada penduduk sesebuah negara. Ini seterusnya dapat mengatasi atau mengurangkan masalah pengangguran negara. Usahawan juga berperanan untuk meningkatkan pendapatan dan meninggikan taraf hidup masyarakat secara keseluruhan.

Secara ringkasnya bolehlah dikatakan bahawa usahawan itu berperanan seperti berikut:-

Menyumbangkan Idea dan Pembaharuan
Dalam konteks perhubungan usahawan dengan firmanya, usahawan adalah sumber utama idea dan pembaharuan. Idea dan pembaharuan tidak semestinya terlalu unik, peningkatan daripada idea yang sedia ada juga merupakan sesuatu yang bernas. Untuk memainkan peranan ini usahawan harus sentiasa berpemerhatian dan berfikiran terbuka.


Merancang
Daripada idea dan penyerlahan peluang, usahawan merancang. Perancangan strategik harus mengambilkira apa yang ada, yang tiada dan yang bakal ada. Perancangan menentukan apa yang diperlukan. Oleh itu penggembelingan faktor pengeluaran, harta, tenaga dan modal harus menyusul.


Mengurus / Mengeluar / Mengedar / Menanggung Risiko
Sumber-sumber seterusnya diurus, dikeluarkan hasil dalam bentuk barangan atau perkhidmatan dan diedar. Penentuan hasil pengeluaran dan sasaran pasaran amat penting. Sepanjang usaha usahawan itu, dari mula terbitnya idea hingga ke penawaran barangan atau perkhidmatan, ianya tidak dapat lari dari berbagai ketidakpastian dan inilah yang dikatakan risiko. Sebaik mana sekalipun perancangan, kekuasaan manusia memang terbatas. Risiko-risiko yang banyak dan kadang-kadang tidak terduga adalah menjadi tanggungan usahawan.


Menawarkan Peluang Pekerjaan
Usahawan menawarkan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja yang sesuai. Dengan ujudnya industri dari pihak usahawan secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan kesannya kadar pengangguran semasa akan menurun.


Menyediakan Pilihan Dan Penawaran Serta Memenuhi Kehendak Pengguna
Penggunaan tenaga kerja yang bersesuaian dan peningkatan kemahiran tenaga kerja dari masa ke semasa akan mempertingkatkan produktiviti. Hasilnya usahawan dapat pula menyediakan pilihan dan penawaran yang lebih banyak dan lebih baik kepada pengguna. Pengguna mempunyai citarasa yang pelbagai dan adalah menajdi tugas seorang usahawan untuk memenuhi kehendak dan keperluan tersebut.


Menyumbang kebajikan dan kepimpinanan
Memenuhi keperluan asas masyarakat akan menyumbang ke arah peningkatan kebajikan masyarakat. Sumbangan peribadi dalam bentuk derma, zakat dan sebagainya juga merupakan bentuk kebajikan. Dalam memainkan peranan-peranannya, usahawan sesungguhnya menunjukkan kepimpinannya. Peluang kepimpinan tidak semestinya dalam dunia perniagaan semata-mata. Kepakaran dan pengalaman usahawan juga diperlukan dalam pendidikan, pentadbiran negara dan sosial.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu