E-Mail: lippikmkk@gmail.com

28 Februari 2009

UMP Laksana Amalan 5S

KUANTAN 17 Feb. - Universiti Malaysia Pahang (UMP) diiktiraf sebagai universiti pertama melaksanakan amalan 5S dalam sistem pengurusannya oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) baru-baru ini.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Mohd. Nasir Ibrahim berkata, 5S (seiri, seiton, seiso, seiketsu dan shitsuke) atau sisih, sapu susun, seragam dan sentiasa amal itu merupakan kaedah pengurusan yang diamalkan oleh syarikat-syarikat di Jepun.

''Amalan 5S yang dilaksanakan ini mewujudkan persekitaran kerja yang berkualiti dalam organisasi, menentukan kepatuhan kepada piawaian serta memupuk usaha penambahbaikan yang berterusan.

''Budaya penambahbaikan berterusan perlu diterapkan dalam perkhidmatan awam bagi mempertingkatkan sistem penyampaian kepada pelanggan," katanya di sini semalam.

Daing Mohd. Nasir berkata, pengiktirafan daripada MPC itu dinilai dalam beberapa aspek seperti sistem fail, pengurusan setor dan inventori yang sistematik serta mengoptimumkan penggunaan ruang yang terhad di pejabat dan makmal.

Selain itu, kata beliau, pengiktirafan diambil kira daripada segi persekitaran kerja yang kondusif, bersih, ceria dan sistematik, pengurusan peralatan yang lebih cekap serta pengurusan stok yang lebih berkesan.

''Kaedah dan piawaian kerja yang lebih jelas dan persekitaran kerja yang selamat adalah selari dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994. Ia juga berkaitan imej positif kepada pelanggan dalaman dan luaran yang berurusan dengan jabatan tersebut," katanya.

Beliau berkata, kejayaan UMP memperoleh persijilan Amalan 5S adalah hasil daripada komitmen dan kesungguhan kakitangan universiti mengamal dan membudayakan kaedah itu secara konsisten sejak setahun yang lalu.

''Kakitangan berjaya mengenal pasti dan mengurangkan pembaziran di tempat kerja, meningkatkan keberkesanan menjalankan operasi dan meningkatkan semangat kerja berkumpulan," ujarnya.

Daing Mohd. Nasir memberitahu, antara jabatan yang memperoleh persijilan Amalan 5S (Persekitaran Kerja Berkualiti) ialah Pusat Pembangunan Staf Akademik (ASDC), Jabatan Bendahari, Makmal Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA) dan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta (JPPH).

Sumber: Utusan Malaysia Online


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu