E-Mail: lippikmkk@gmail.com

03 Mac 2009

Dasar Ekonomi Baru

Dasar Ekonomi Baru adalah satu dasar yang telah digubal pada tahun 1970. Dasar ini telah menjadi satu dasar pembangunan negara bermula dari tarikh ianya diperkenalkan hinggalah tahun 1990. Melihat dari aspek tujuan utama pelaksanaan ini sebenarnya bertujuan untuk menggalakkan penstrukturan asas politik dan sosial dan bukan sahaja tertumpu kepada perhubungan ekonomi antara kaum. Dasar ini juga dilihat sebagai satu dasar yang berupaya untuk menjamin hasil daripada pembangunan negara seterusnya akan dibahagikan kepada seluruh lapisan masyarakat dengan adil.

“...After Tunku Abdul Rahman voluntary stepped down from the post of Prime Minister and Tun Abdul Razak took over from him on 22 september 1970, it became increasingly obvious that he new Federal cabinet under Tun Razak was directing its energy to the need to redress the unfulfilled part of the ‘bargain’, that the Malays and other bumiputeras be uplifted to achive economic parity and balance with the non-indigenous communities in Malaysia. The princial means adopted was the New Economic Policy (NEP)..”.

(James P. Ongkili, Nation-Building in Malaysia 1946-1974)

Sebenarnya telah banyak tafsiran dan juga penerimaan mengenai matlamat dan tujuan utama dasar ini digubal. Oleh yang demikian, adalah lebih mudah untuk ditegaskan disini bahawa secara umumnya dasar ini pada matlamatnya itu adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dalam konteks serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira latar belakang kaum dan seterusnya menyusun semula masyarakat. Hal ini penting kerana apa yang telah berlaku sejak sekian lama ialah ekonomi negara ini bersifat perkauman. Bagi memudahkan kita untuk memahami matlamat murni penggubalan dasar ini, mari kita lihat objektif tersebut satu per satu.

Membasmi Kemiskinan
Satu daripada matlamat serampang dua mata dasar ini ialah membasmi dan memerangi kemiskinan di negara ini. Ekonomi negara sebelum merdeka memperlihatkan kepada kita akan wujudnya ketidakstabilan dari segi peranan ekonomi dan juga dasar-dasar yang tidak secara menyeluruh dilaksanakan oleh pihak penjajah yangmana seterusnya hal ini menyebabkan kemajuan dan peluang ekonomi itu tidak dapat dikecapi semua lapisan rakyat secara menyeluruh. Natijah daripada hal yang demikian ini menyebabkan wujudnya jurang kemiskinan yang sangat ketara di negara ini dan hal ini tidak keterlaluan dikatakan sehingga kini masih berterusan.

Situasi ini sebenarnya lebih meruncing khususnya di kawasan luar bandar. Sejak zaman penjajah lagi, kita semua sedia maklum bahawa hanya kawasan yang mempunyai kepentingan ekonomi sahaja mendapat perhatian mereka dan akan dibangunkan serta dilengkapkan dengan infrastruktur yang lebih menjurus kepada kemajuan. Dengan itu, corak pengelibatan antara kaum dalam ekonomi juga berbeza dan ini menyebabkan kedudukan sosio-ekonomi tidak seimbang.

Peluang-peluang ekonomi yang wujud ekoran dari perkembangan tersebut hanya tertumpu di kawasan-kawasan tertentu sahaja dan mereka yang menerima faedah daripada perkembangan ini juga hanyalah mereka-mereka yang berada di kawasan tersebut. Keadaan ini berbeza sekali dengan kawasan luar bandar yang tidak diberi penekanan khasnya dari aspek pembangunan. Ekonomi di luar bandar hanya berkisar dalam pengeluaran pertanian dan perikanan sahaja dan kebanyakannya tidak produktif. Hal sedemikian terjadi kerana penggunaan sistem tradisional masih menjadi kaedah utama bagi masyarakat ini mengeluarkan hasil ekonomi. Maka dengan itu, jurang kemiskinan itu dapat dilihat dengan merujuk kepada hal ini.

Bagi memastikan jurang kemiskinan di negara ini berjaya di atasi, kerajaan dibawah Dasar Ekonomi Baru ini telah merangka beberapa langkah seperti membuka tanah-tanah baru untuk penanaman tanaman-tanaman pertanian yang mempunyai nilai komersil yang tinggi seperti getah dan juga padi. Agensi-agensi seperti FELDA, FELCRA dan RISDA contohnya telah ditubuhkan kerajaan bagi memastikan pembangunan tanah bari dilaksanakan dengan adil dan berkesan. Langkah ini dilihat mampu untuk meningkatkan pengeluaran hasil dan mampu untuk menjana pertumbuhan ekonomi bagi mereka yang berada di luar bandar khususnya. Dalam masa yang sama, kerajaan juga telah berusaha memastikan agar petani-petani yang terlibat secara langsung dalam rencana tersebut didedahkan dengan teknik penanaman baru beserta dengan penggunaan teknologi yang lebih moden agar hasil pertanian dapat ditingkatkan.


Hal ini boleh dilihat dengan jelas apabila kerajaan melancarkan strategi pembangunan luar bandar yang menyaksikan sejumlah besar peruntukan dibelanjakan oleh kerajaan untuk membangun sektor pertanian. Melalui Rancangan Malaysia kedua sehingga Rancangan Malaysia kelima, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM157.98 bilion untuk sektor pertanian ini sahaja. Jumlah peruntukan yang besar ini adalah bagi menampung ekonomi hampir 80 peratus daripada jumlah penduduk miskin yang mendiami kawasan luar bandar.

Keadaan tersebut akan membawa kepada perubahan dari segi budaya kerja dan juga taraf hidup masyarakat luar bandar. Hakikat yang perlu diakui ialah situasi berkenaan samada secara langsung atau pun tidak akan membawa perubahan kepada masyarakat kerana mereka terpaksa menyesuaikan diri dan perlahan-lahan akan menikmati faedahnya.

Menyusun Semula Masyarakat
Dasar pecah dan perintah yang sekian lama telah menjadi cara untuk penjajah sebelum ini menguruskan negara telah menjadi faktor paling dominan yang menyebabkan wujudnya jurang antara masyarakat di Tanah Melayu sebelum merdeka dan Malaysia khasnya hingga kini. Hal ini menjadi lebih ketara jika kita merujuk kepada perbezaan dari aspek sosial dan ekonomi. Sebelum tercetusnya tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang meninggalkan satu titik hitam dalam lembaran sejarah negara ini, hal ini amat ketara sekali apabila ianya telah menjadi satu identiti yangmana kaum bumiputera dan melayu terkebelakang ekonominya berbanding kaum lain seperti Cina dan juga India.

Jika merujuk kepada taraf hidup purata masyarakat negara ini khususnya selepas tahun 1969, apa yang dapat dilihat ialah pendapatan dan hak milik, pekerjaan yang berfaedah dan peluang-peluang pekerjaan lebih tinggi untuk kaum Cina dan India berbanding kaum bumiputera yang amat terkebelakang jika dilihat secara perbandingan relatifnya. Apa yang cuba ditekankan di sini sebenarnya jurang antara kaum di negara ini amat jelas sekali dan situasi inilah yang menjadi kebimbangan kepada rakyat amnya dan pemimpin-pemimpin negara khasnya.

Situasi sedemikian rupa jika tidak ditangani dengan berhati-hati dikhuatiri akan menyebabkan peristiwa lalu seperti rusuhan kaum berulang kembali. Hal ini kerana ketidakseimbangan dan jurang yang wujud antara kaum di negara ini jika tidak ditangani boleh menambahkan perasaan curiga-mencurigai dikalangan kaum. Jelasnya, persaingan sudah pasti berlaku dalam usaha untuk menguasai ekonomi dan dalam hal ini, campur tangan kerajaan merupakan satu-satunya langkah terbaik bagi memastikan persaingan yang tidak sihat wujud. Justeru, pelancaran Dasar Ekonomi Baru dilihat mampu untuk melaksanakan dan seterusnya menjamin pembangunan yang adil.

Melalui strategi penyusunan semula masyarakat ini, ia dilihat sebagai satu cara untuk kerajaan mewujudka penyertaan seimbang antara semua kaum di negara ini dalam setiap kegiatan ekonomi yang menuntut penyertaan mereka. Melalui matlamat penyusunan semula masyarakat ini, kerajaan telah memberi penekanan terhadap dua aspek utama iaitu menstruktur semula corak guna tenaga dalam setiap sektor ekonomi dan setiap peringkat pekerjaan dan satu lagi adalah mempastikan pembahagian pemilikan saham modal dalam syarikat berhad berubah nisbahnya antara bumiputera, bukan bumiputera dan asing. Oleh itu, pengaruh kerajaan dan perusahan-perusahan awam dalam memastikan usaha ini tercapai amat adalah amat luas.

Ironinya, Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan ini merupakan satu-satunya langkah terbaik yang pernah dilaksanakan kerajaan sejurus berlakunya peristiwa berdarah tragedi 13 mei 1969. Merujuk kepada matlamat akhir dasar ini adalah menjurus ke arah perpaduan yang merupakan elemen terpenting dalam mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu dari segenap aspek tidak kira dari segi politik, sosial mahupun ekonominya.

Justeru, harus diingati disini bahawa dasar ini digubal bukanlah hanya untuk kepentingan bumiputera mahupun melayu sahaja. Persoalan yang lazimnya timbul seperti dasar ini digubal untuk kepentingan dan kedudukan istimewa bumiputera dan melayu harus ditolak. Walaupun dasar tersebut memang jelas memperlihatkan penekanan yang lebih kepada bumiputera dan melayu, akan tetapi kita haruslah berbalik semula kepada matlamat dasar tersebut yang bertujuan membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa melihat perbezaan kaum dan kebetulan yang miskin dan terbelakang itu kebanyakan terdiri daripada bumiputera dan melayu khususnya di luar bandar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu