E-Mail: lippikmkk@gmail.com

03 Mac 2009

NadiBiz: Karipap Kart's Tembusi Pasaran Global

Oleh Azli Ayob

Mohd Fairuz terap budaya kerja Jepun hasilkan produk makanan tempatan

ROTI canai, karipap, roti paratha dan pau memang antara makanan popular di negara ini, tetapi untuk membawanya ke pasaran dunia bukan satu tugas yang mudah.

Penyelidikan pasaran yang teliti perlu dilakukan selain kesungguhan bagi memastikan mutu produk kekal tinggi menepati piawaian antarabangsa. Ini adalah tugas penting yang harus dipikul Mohd Fairuz Abdullah, peneraju Kart Food Industries Sdn Bhd (KFI), syarikat yang mengeluarkan pelbagai produk makanan sejuk beku untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kita perlu mempunyai strategi pemasaran yang betul untuk memasarkan produk ini kerana banyak pengeluar lain mengeluarkan produk yang sama,” katanya. Ketua Eksekutif KFI itu berkata, cabaran utama dalam memasarkan produk keluaran syarikat itu adalah untuk meyakinkan pasar raya besar antarabangsa bahawa ia dikehendaki oleh pengguna. “Diakui sedikit sukar untuk membawa masuk produk jenis ini ke pasar raya berkenaan. Kami terpaksa memastikan mutu makanan, pembungkusan dan harga yang tepat sebelum diterima. “Tetapi, syukur, berkat kerja kuat semua kakitangan, produk kami diterima di kebanyakan pasar raya besar di dalam dan juga luar negara,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Shah Alam, baru-baru ini. Menggunakan jenama Kart’s, produk keluaran KFI kini sudah boleh didapati di Tesco, Carrefour, Giant, Cold Storage, Sogo, Jusco dan kebanyakan pasar raya utama di seluruh negara.

Lebih membanggakan, produk makanan dingin beku syarikat itu, juga berada sebaris dengan jenama makanan sejuk beku keluaran syarikat antarabangsa di pasar raya luar negara. Ia kini dijual di United Kingdom, Perancis, Kanada, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Brunei, Singapura, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Australia.

Tumpuan KFI dalam aspek kebersihan dan mutu dalam setiap produk keluarannya membolehkannya mendapat kelulusan pihak berwajib di negara ini bagi pelbagai ujian keselamatan dan mutu makanan. “Sebagai pengeluar makanan, adalah penting untuk kami mendapatkan sijil keselamatan makanan daripada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Haiwan bagi pengesahan kebersihan daging sembelihan yang digunakan dalam produk kami.

“Tanpa sijil-sijil ini terutama sijil pengesahan halal, agak sukar untuk memasarkan produk yang kami keluarkan,” katanya yang baru saja menerajui syarikat itu sejak lapan bulan lalu. Beliau dilantik sebagai Ketua Eksekutif sebaik KFI diambil alih sebuah syarikat milik Bumiputera sepenuhnya, Meriah Saujana Sdn Bhd daripada pemilik terdahulu, Amtek Bhd pada September tahun lalu. Walaupun masih baru dalam syarikat itu, namun ia tidak menghalang Mohd Fairuz membuktikan bakatnya sebagai ahli perniagaan sejati.

Dalam tempoh hanya kira-kira tiga bulan bersama syarikat itu, beliau telah berjaya membawa masuk produk Kart’s ke pasaran baru di luar negara, iaitu Sepanyol, Jerman, Kanada dan Hong Kong. Kira-kira seminggu lalu, beliau juga baru saja memeterai perjanjian dengan wakil pengedar di Kemboja bagi mengedarkan jenama Kart’s di negara itu. “Saya tidak pernah jemu mengikuti misi perdagangan anjuran agensi kerajaan seperti Matrade.

“Dari situlah saya belajar cara bagaimana hendak menembusi pasaran luar,” kata bekas jurutera elektronik di beberapa syarikat antarabangsa itu. Mengakui masih baru dalam dunia keusahawanan dan masih banyak perkara perlu dipelajari, Mohd Fairuz berkata, beliau tidak pernah segan-silu bertanyakan kepada usahawan lain cara mempertingkatkan perniagaannya. “Banyak perkara yang boleh saya belajar daripada usahawan lain. Jika saya ada kemahiran atau pengalaman berguna lain yang boleh dikongsi bersama, saya akan berkongsi dengan mereka.

“Melalui cara inilah saya dapat memperbaiki kelemahan diri kerana masih baru dalam dunia perniagaan yang mencabar ini,” katanya. Di bawah terajunya, KFI kini mempunyai logo dan pembungkusan baru yang lebih menonjol yang lebih menarik perhatian pembeli. “Perniagaan jenis ini terlalu banyak persaingan. Bukan saja dari pengeluar tempatan tetapi juga dari syarikat asing.

Justeru saya perlu memikirkan strategi pemasaran dan teknik pembungkusan yang terbaik,” katanya. Antara usaha lain yang dilakukan dalam aspek pembungkusan ialah membuang semua tulisan dalam bahasa Cina pada pembungkusan produk. Langkah itu, katanya adalah perlu kerana pembeli Islam terutama kaum Melayu amat sensitif dalam perkara seperti itu.

“Kira-kira 70 peratus daripada pembeli kami adalah orang Melayu. Jadi kami perlu mengambil kira sensitiviti mereka. “Apabila syarikat ini diambilalih tahun lalu untuk menjadi syarikat milik Bumiputera sepenuhnya, kami membuat pembaharuan pada logo dan pembungkusan bermula November 2006.

“Ini untuk menukar imej syarikat daripada pembungkusan sebelum ini yang dikaitkan dengan syarikat milik usahawan Cina kepada pemilikan Bumiputera,” katanya. Tidak cukup di situ saja, bagi meneroka pasaran lebih meluas, Mohd Fairuz turut memperkenalkan beberapa produk tambahan kepada barisan produk sedia ada.

“Antara yang paling baru yang akan dipasarkan tidak lama lagi ialah ‘Roti Bom’,” katanya. Beliau menjelaskan, pengenalan produk baru akan dibuat setiap suku tahunan supaya pengguna mendapat lebih banyak pilihan. Perkara lain yang amat dititik-beratkan adalah dari segi harga. Mohd Fairuz berkata, harga produk tidak boleh terlalu mahal atau terlalu murah sehingga boleh menjejaskan margin keuntungan.

“Mengikut kajian yang kami jalankan, produk kami boleh dijual agak tinggi sedikit di sesetengah negara kerana pendapatan penduduknya yang tinggi,” katanya. Petuanya dalam menentukan harga adalah dengan meneliti harga di restoran makanan segera KFC dan McDonald’s.

“Jika saya ke luar negara, saya meneliti harga McDonald’s atau KFC. Jika kedua-dua syarikat ini boleh menetapkan harga mereka pada satu paras tertentu dan penduduk mampu membeli, paras harga itulah yang akan saya jadikan harga penanda aras bagi pasaran di negara berkenaan,” katanya. Berdasarkan harga penanda aras itulah, beliau menetapkan harga produk Kart’s di pasaran baru seperti Indonesia.

“Jika mereka mampu membayar untuk sebiji burger McDonald’s pada harga tertentu, sudah tentu mereka mampu membeli produk saya pada paras harga yang sama,” katanya. Ditanya perancangannya untuk KFI ddalam tempoh lima tahun akan datang, beliau berkata: “Sudah tentu, saya mahu menyenaraikan syarikat di bursa saham selain turut mengeluarkan produk minuman jenama Kart’s,” katanya yang bertanggungjawab mengawasi 106 kakitangan di bawah syarikat itu.

Mengenai gaya pengurusan, Mohd Fairuz berkata, memandangkan beliau pernah bekerja dengan syarikat elektronik Jepun, banyak budaya kerja dari negara itu diterapkan dalam operasi harian KFI. “Antaranya setiap Isnin kami akan mengadakan perhimpunan pagi bagi memberi peluang setiap kakitangan menyuarakan pandangan mengenai operasi syarikat. “Selain itu, acara senaman pagi juga diadakan sebelum mereka mula bekerja yang ternyata baik untuk melancarkan kerja harian,” katanya.

KFI yang ditubuhkan pada 1988 di bawah beberapa pemegang saham sebelum ini, mempunyai dua kilang iaitu di Seksyen 24, Shah Alam dan sebuah lagi di Kota Bharu yang mengkhusus dalam pengeluaran roti canai segera.

INFO:
Sejarah KFI 1988-Menjadi syarikat pertama memperkenalkan roti canai segera sejuk beku ke pasaran tempatan menerusi kilangnya, di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
1989-Memperkenalkan piza, murtabak, charkoay dan roti bawang putih sejuk beku.
1990-Mula mengeksport produknya ke luar negara iaitu Singapura dan Brunei.
1994-Menjadi syarikat pertama memperkenalkan pau sejuk beku. 1997-Pengeluar makanan sejuk beku terkenal Eropah, Dr. Oetcker mengambilalih KFI
2002-Amtek Bhd mengambilalih KFI September, 2006-Meriah Saujana Sdn Bhd (syarikat 100 peratus milik Bumiputera) mengambilalih KFI

Sumber: Berita Harian Online

2 ulasan:

  1. SAJAK
    AMANAH DAN AMARAH RAKYAT
    (25 TAHUN MARA)

    Majlis Amanah Rakyat
    Sebuah nama keramat
    Lahir dari percikan amarah suatu bangsa
    Yang mundur sosio-ekonominya
    Masih menadah tangan menjadi peminta
    Ditanah airnya yang hampir
    sepuluh tahun merdeka


    Bermula di zaman penjajah
    dikenal dengan
    RIDA – Lembaga Kemajuan Kampung
    Dan Perusahaan
    Suatu bayangan tipis cara inggeris
    Melonggarkan
    Kritik tajam rakyat terhadap dasar
    Penjajahan. RIDA yang berdetik pada tahun 1953
    Ketika bara nasionalisma marak menyala
    Tidak mampu menampung ghairah
    rakyat merdeka
    Suara Bumiputera yang semakin
    keras bergema
    Kemunduran dan kemiskinan yang ketara.


    Tahun seribu Sembilan ratus enam
    puluh lima
    Kongres Ekonomi Bumiputera Yang Pertama
    Merumuskan segala duka nestapa bangsa
    Bahwa kita memiliki telaga
    Mengapa masih memegang talinya
    Sedang orang mencapai timba
    Maka segala gaung amarah dileburkan
    Menjadi sumpah amanah suatu wawasan
    Pada detik 1966 yang menentukan
    RIDA pun dikerandakan dalam sejarah
    Untuk sebuah nama baru yang keramat
    Majlis Amanah Rakyat

    Kini 25 tahun telah berdetik
    MARA mencapai kedewasaan usia
    Mungkinkah bakal tiba kongres Ekonomi
    Bumiputera
    Penyelarasan jalur wawasan dua ribuan
    Menilai kembali keberkesanan
    AMARAH dan Amanah Rakyat yang
    dipahatkan.


    USMAN AWANG
    November 1991

    BalasPadam
  2. terima kasih dengan sumbangan anda yang mempunyai semangat MARA....

    BalasPadam

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu