E-Mail: lippikmkk@gmail.com

26 Mei 2009

Industri ternak lintah berpotensi ke peringkat global

KUCHING: Industri penternakan lintah berpotensi cerah sekiranya diusahakan secara besar-besaran berikutan permintaan terhadap lintah di peringkat antarabangsa kini semakin tinggi terutama dalam industri kosmetik dan farmaseutikal.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Naroden Majais, berkata industri penternakan lintah yang masih baru di negeri ini, kini mula mendapat perhatian oleh penternak tempatan kerana mampu menjana pendapatan sedangkan penternakan lintah tidak memerlukan modal yang tinggi.

Beliau berkata, penternakan lintah amat mudah kerana tidak mempunyai risiko yang tinggi dan tidak memerlukan tapak serta ruang yang tidak terlalu luas.

"Penternakan lintah sangat mudah dan pulangan boleh diperoleh dalam masa enam bulan, asalkan mempunyai ruang cukup dan mempunyai sistem pemakanan serta suhu yang sesuai.

"Justeru itu, usahawan Bumiputera di negeri ini, perlu bijak mengambil peluang untuk menceburkan diri dalam industri ternakan lintah kerana ia boleh menambah pendapatan mereka dengan cepat," katanya ketika merasmikan Penutupan Program Keusahawanan Ternakan Lintah, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Oasis Agro Sdn Bhd (OASB), Adnan Gadu.

Naroden yang juga Menteri Muda Pembangunan Usahawan Bumiputera, berkata, usahawan Bumiputera Sarawak juga perlu memanfaatkan sepenuhnya hab halal di Tanjung Manis untuk mempertingkatkan keluaran produk dari lintah.

Beliau berkata ini untuk memastikan usahawan tidak terlalu memfokus kepada penternakan lintah semata-mata, sebaliknya mampu menghasilkan produk yang berasaskan lintah seperti kosmetik dan farmaseutikal.

Justeru itu, katanya, usahawan perlu bijak memilih spesis lintah untuk tujuan komersial dan bukan diperolehi daripada sawah atau kawasan kampung di negeri ini.

"Walaupun industri ini masih baru di negeri ini, tetapi potensinya amat besar asalkan usahawan kita berani mencuba dan bersikap positif dari semasa ke semasa.

"Malah sehingga kini, mungkin masih ramai yang jijik atau geli melihat lintah, sedangkan sebaliknya ia mempunyai banyak manfaat terutama dalam dunia perubatan," katanya.

Naroden berkata, khasiat lintah atau nama saintifiknya 'Hirudo Medicinali' mula dikesan oleh pakar perubatan dari Jerman. Kajiannya menunjukkan ia boleh menlancarkan sistem peredaran darah manusia.

Sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu