E-Mail: lippikmkk@gmail.com

21 Ogos 2009

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 Dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia
20 Ogos 2009


Dimaklumkan sehingga 20 Ogos 2009 jam 9.00 pagi sejumlah 1533 pesakit influenza like illness (ILI) sedang dirawat di 104 buah hospital termasuk 4 hospital swasta di seluruh negara. Dari jumlah tersebut, 195 telah disahkan positif H1N1. Pada masa yang sama seramai 188 kes telah di discaj.

Dari 195 kes yang disahkan H1N1, 35 kes berada di ICU dimana 4 kes merupakan kemasukan baru sementara 5 kes dipindah keluar dari ICU. Daripada 35 kes yang sedang dirawat di ICU, 20 kes (57%) mempunyai faktor risiko iaitu diabetes (4), penyakit kronik (5), asma (2), hamil dan bersalin (4), obesiti (1), kanak-kanak istimewa (2) dan kanak – kanak di bawah setahun (2).

Untuk makluman, satu kematian didaftarkan pada hari ini, iaitu seorang wanita berusia 33 tahun yang sedang hamil 34 minggu.Kes telah mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke wad hospital swasta di Johor Bahru pada 8 Ogos 2009 setelah mengalami demam dan batuk selama satu hari. Walau bagaimanapun lima hari kemudian (12 Ogos 2009) pesakit dirujuk dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru kerana mengalami sesak nafas dan rawatan Tamiflu terus dimulakan. Walau bagaimanapun kes meninggal dunia keesokan harinya (13 Ogos 2009) kerana severe pneumonia dan respiratory failure. Kes disahkan positif influenza A(H1N1) pada 14 Ogos 2009.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan pandemik H1N1 di dunia masih lagi aktif dan melibatkan 182 buah negara. Sehingga 20 Ogos 2009 jam 8.00 pagi, terdapat peningkatan kes jangkitan influenza A(H1N1) sebanyak 3,354 kes menjadikan jumlah kes terkumpul 231,269 dengan peningkatan kes kematian sebanyak 207 menjadikan jumlah kematian terkumpul 2,353.

Untuk makluman, orang ramai diminta mengambil maklum perbezaan gejala selesema biasa dengan jangkitan influenza. Di antara perbezaan yang ketara ialah apabila dijangkiti influenza, individu akan mengalami demam yang tinggi (>38°C) sehingga 3 ke 4 hari, sakit kepala, sakit tekak, kerap letih, sakit badan yang biasanya teruk, letih lesu dan batuk tanpa kahak di peringkat awal. Manakala selesema biasa pula jarang mengalami demam atau demam ringan (<38°c),>

Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa rawatan antiviral hanya diberikan kepada 3 kumpulan berikut tanpa perlu menjalani ujian pengesahan influenza A(H1N1):

  1. Individu yang mempunyai simptom influenza-like illness (ILI) dan mempunyai faktor risiko seperti wanita mengandung, obesiti, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetik dan golongan dengan imuniti rendah.

  2. Individu yang mempunyai simptom ILI, tanpa mempunyai faktor risiko tetapi mempunyai demam yang tinggi (>38°C) berpanjangan (lebih daripada 2 hari).

  3. Individu yang telah menjalani ujian “rapid test” serta didapati positif, mereka akan diberikan rawatan antiviral jika mengalami simptom jangkitan menjadi teruk dalam masa 48 jam.

Orang ramai juga terus diminta untuk sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-­88810200 dan 03-­88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 20 Ogos 2009


Sumber:http://h1n1.moh.gov.my.

20 Ogos 2009

Harga Maksimum Borong & Runcit Topeng Muka (Surgical / Medical) Mengikut Jenis Di Seluruh Negara

JENIS

HARGA MAKSIMUM BORONG (RM)
HARGA MAKSIMUM RUNCIT (RM)

Topeng Muka (surgical/medical)



1 ply – earloop

(100 pcs x 1 kotak)

5.00 sekotak 7.00 sekotak

2 ply – earloop

(100 pcs x 1 kotak)

8.00 sekotak

10.00 sekotak

0.20 seunit

3 ply – earloop

(50 pcs x 1 kotak)

25.00 sekotak 0.80 seunit

3 ply – tie-on

(50 pcs x 1 kotak)

30.00 sekotak 0.80 seunit

N95

(20 pcs x 1 kotak)

100.00 sekotak 6.00 seunit


Sumber: http://www.kpdnkk.gov.my/


Senarai Penerima APC MARA Sabah Tahun 2008

Khamis, 20 Ogos 2009: MaJlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MARA Sabah 2008 telah diadakan bertempat di Dewan Besar IKMKK. TAHNIAH kepada penerima APC tersebut.


1. PUSAT IKM KOTA KINABALU

  • EN. ABDUL RAHIM BIN MOHD. SULAIMAN
  • CIK NOORZARINA BT. ABAS
  • EN. MOHD SYUKRI BIN ABDULLAH
  • EN. GEORGE BIN MAJUYA
  • EN. AJAHAR BIN ABD LATIP
  • EN. MOHD SAFFREY BIN EDDIN

2. PUSAT PEJABAT MARA NEGERI SABAH
  • EN. ROSLAN BIN ABU BAKAR
  • EN. RICHARD JIMMY
  • PN. SALMIAH BT. HAMID
  • PN. HASNAH BT. MOHD NOOR
  • EN. ABDUL HALIM BIN MOHAMMAD
  • PN. SUHANI BT. MAIMIN

3. PUSAT MRSM KOTA KINABALU
  • PN. NOOR AIZIZAH BT. MOHD RAIS
  • EN. M. SUDIRMAN BIN MURSID
  • PN. JUHAIDA BT. MUHAT ANUAR
  • PN. SITI ARZIRAH BT. BASIR
  • PN. SAIMAH BT. AHMAD
  • EN. SUIMI BIN HIJUS
  • PN. IFAH NAZIRAH BT. OSMAN

4. PUSAT MRSM TAWAU
  • PN. MEK ESAH BT. AWANG
  • EN. MATLIN BIN MAT HASSAN
  • EN. MOHD ZAHAR BIN MOHD NOR


18 Ogos 2009

Kementerian cadang tubuh Kolej Kemahiran Tinggi MARA di Semporna

Sumber: New Sabah Times

Muhyiddin mahu penutup hidung, mulut jadi barang kawalan

BUKIT MERTAJAM 17 Ogos - Penularan wabak selesema babi yang semakin membimbangkan menyebabkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan negara kini berada dalam keadaan seakan darurat kesihatan.

Sehubungan itu, beliau mahu supaya penutup hidung dan mulut diwartakan sebagai barang kawalan bagi memastikan ia dapat diperoleh pada harga yang munasabah berikutan pemakaiannya adalah satu keperluan pada ketika ini.

''Setidak-tidaknya kita jadikan penutup hidung dan mulut sebagai barang kawalan sehingga wabak ini berakhir. Dengan itu rakyat akan mudah dapat bekalan dengan harga munasabah.

''Alat itu adalah keperluan sekarang dan maka sepatutnya dalam kesulitan seperti ini, tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan," katanya pada sidang akhbar ketika menghadiri proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, hari ini.

Turut hadir bersama Muhyiddin pada sidang akhbar tersebut ialah Menteri Kesihatan, Datuk SeriLiow Tiong Lai dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Mereka turut memakai topeng muka pada sepanjang sidang akhbar berkenaan. Rata-rata pemimpin parti politik dan penyokong kedua-dua parti yang bertanding di DUN berkenaan turut memakai penutup hidung dan mulut.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai penutup hidung dan mulut yang melambung tinggi dengan alasan yang diberi peniaga bahawa bekalan tersebut sukar diperolehi daripada pembekal.

Sementara itu, Muhyiddin mengingatkan para peniaga supaya tidak sesekali melakukan pengambilan untung dengan menjualnya pada harga yang tidak masuk akal.

Katanya, perbuatan mencekik darah dengan menjual penutup hidung dan mulut berlipat kali ganda daripada harganya yang sebenar di saat orang lain berhadapan kesulitan adalah sangat dikesali.

''Saya tak fikir masalah bekalan tak cukup, ini adalah pengambilan untung berlebihan. Harganya yang sebenar sebelum ini hanyalah 30 sen tetapi sekarang ada yang menaikkan sehingga RM4, RM5 seunit.

''Ini sebenarnya mencekik darah. Sebab itu dengan perakuan yang diberi Kementerian Kesihatan maka sudah sepatutnya Akta Kawalan Harga digunakan atas tafsiran keadaan sudah semacam darurat kesihatan untuk memastikan bekalan penutup muka mencukupi dan harga yang dikenakan berpatutan," jelasnya.

Kata Timbalan Perdana Menteri, apabila penutup muka diwartakan sebagai barang kawalan maka tindakan boleh diambil ke atas mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan dengan menjualnya melebihi pada harga yang ditetapkan.

''Dan kemudian diadakan sistem pelesenan iaitu siapa nak edar kena ada lesen. Bila habis wabak esok (nanti), kita keluarkanlah dari senarai barang kawalan.

''Ini supaya tiada pihak ambil kesempatan. Mustahak untuk kita pastikan bekalan ada dan harga berpatutan kerana pemakaiannya sudah keperluan untuk dipakai pada ketika ini," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia


Ekonomi kembali positif suku keempat 2009 - Zeti

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Ekonomi Malaysia dijangka kembali positif pada suku keempat tahun ini bersandarkan tanda-tanda pemulihan semasa yang memberangsangkan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata, terdapat angka-angka awal yang menunjukkan terdapatnya tanda-tanda pemulihan yang positif.

Bagaimanapun, Zeti menyifatkan semakan semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini masih terlalu awal untuk dilakukan.

"Namun begitu, kami pasti menjelang suku keempat ini, kami akan menyaksikan pertumbuhan positif," katanya selepas pelancaran platform perdagangan komoditi antarabangsa berlandaskan Syariah iaitu, Bursa Suq Al-Sila', di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai laporan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa nilai mata wang ringgit adalah di bawah nilai, Zeti enggan mengulas lanjut berkata, kadar pertukaran asing terutamanya aliran pergerakannya ditentukan oleh pasaran.

"Bagaimanapun secara keseluruhan, ringgit adalah stabil berbanding nilai mata wang lain di rantau ini," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan pembangunan Bank Islam Mega, beliau berkata, pelbagai pihak dari seluruh negara telah menunjukkan minat masing-masing untuk mengemukakan permohonan yang akan ditutup pada Oktober ini.

"Sejurus selepas itu, kami akan membuat pengumuman berdasarkan penilaian daripada permohonan itu yang juga dibuka untuk bank konvensional," ujarnya.

Bank Islam Mega yang dijangka dilancarkan sebelum akhir tahun ini akan mempunyai modal permulaan sebanyak AS$10 bilion (RM35 bilion) menerusi beberapa tawaran awam permulaan dan pilihan saham persendirian.

Sumber: Utusan Malaysia


Ekonomi pulih lebih pantas jika dolar turun nilai - MIER

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Mata wang AS yang kukuh merupakan halangan kepada ekonomi global untuk kembali pulih kepada sedia kala, kata seorang pakar ekonomi kanan.

Justeru itu, Amerika Syarikat perlu membenarkan dolar AS diturun nilai bagi pemulihan ekonomi dunia yang lebih pantas.

"Krisis ekonomi dunia itu sendiri mempunyai penyelesaiannya tetapi malangnya krisis itu amat perit," kata Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohammed Ariff Abdul Kareem,

Beliau berkata, penguncupan ekonomi AS berlarutan lebih lama daripada yang sepatutnya, menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi masih tidak dapat diselesaikan.

"Masalah itu juga berpunca daripada dolar. Dolar AS terlalu kukuh bagi memastikan pemulihan. Justeru itu, AS perlu membenarkan dolar diturun nilai.

"Amat malang dolar AS masih kekal terlalu kukuh kerana ia sebenarnya di luar kawalan AS. Dolar telah diglobalisasikan, diniagakan di peringkat antarabangsa dan bukan AS yang menentukan nilai mata wang.

"Ia negara-negara seperti China, Jepun, Korea Selatan dan kebanyakan negara Asia Timur lain yang memegang kertas dalam nilai dolar yang besar, yang tidak mahu melihat dolar lemah. "Dolar yang lemah bermakna kerugian modal besar bagi mereka. Dolar yang lemah juga bermakna eksport ke AS akan menjadi tidak kompetitif. Jadi untuk pelbagai alasan, negara-negara lain mahu melihat dolar yang kukuh, tetapi dolar yang kukuh menghalang pemulihan ekonomi global," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif.

Mohammed Ariff berkata: "Dolar yang kukuh menghalang pemulihan ekonomi global. Jadi inilah sebabnya mengapa saya rasa pertumbuhan China lebih banyak daripada segi dalaman. Ia bukan luaran seperti dalam kes AS.

"Jadi itulah sebabnya mengapa kita terpaksa perlu menunggu ekonomi AS pulih tetapi pemulihan hanya sebahagian kerana AS tidak akan kembali kepada laluan pertumbuhan sebelum krisis.

"Jika ia berlaku, secara tidak diduga atau secara kebetulan, ia tidak akan bertahan lama kerana masalah dengan AS adalah ia menggunakan terlalu banyak dan menyimpan terlalu sedikit," katanya sambil menambah pelarasan perlu dimulakan.

"Jadi saya rasa AS tidak akan kembali semula kepada sikap penggunaan lamanya. Jika ekonomi terbesar dunia itu tidak mampu kembali semula kepada pendekatan penggunaan lamanya, ia tidak akan mengimport sebegitu banyak seperti sebelum ini.

"Ini bermakna kita tidak akan dapat mengeksport ke AS sebanyak seperti sebelum ini. Dengan kata lain, mereka mungkin mengambil laluan pertumbuhan rendah berbanding seperti sebelum krisis.

Sumber: Utusan Malaysia


Kerap makan rangsang bakteria dalam mulut

RAMAI daripada kita gemar berkongsi makanan menggunakan sudu yang sama dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang mana tanpa disedari kita juga sebenarnya turut berkongsi bakteria di dalam mulut.

Memang itulah hakikat yang terjadi sekiranya seseorang itu tidak mengamalkan tabiat tidak berkumur atau memberus gigi setiap kali selepas makan.

Tabiat terlalu kerap makan juga sebenar tidak elok kerana ia secara tidak langsung memberi bekalan makanan kepada bakteria menerusi cebisan makanan yang tertinggal di dalam mulut .

Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr. Lee Soon Boon berkata, sebaiknya individu mengubah gaya pemakanan mereka untuk kesihatan gigi dan gusi yang optimum.

"Tidak bermakna kita perlu mengubah selera makanan kerana itu pilihan masing-masing tetapi kita disarankan untuk mengambil langkah-langkah yang mengurangkan kehadiran bakteria dalam mulut.

"Sebagai contoh, lebih baik makan banyak tetapi tidak kerap berbanding makan sedikit tetapi terlalu kerap kerana bakteria lebih mudah membiak dalam keadaan itu sebegitu," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran berus gigi Oral-B CrossAction Pro-Health, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr. Soon Boon menambah, kerap makan makanan yang mengandungi karbohidrat juga tidak begitu dibaik kerana ia adalah makanan untuk bakteria.

"Kita sering menganggap bahawa kaviti berpunca daripada gula tetapi sebenarnya ia berpunca daripada bakteria.

"Dalam mulut manusia terdapat berjuta-juta bakteria dalam pelbagai spesies, saiz dan bentuk. Antara jenis bakteria yang terdapat dalam mulut ialah lactobacillus acidophilus, actinomyces viscosus dan streptococcus mutans," jelasnya.

Bagaimana untuk mengetahui kewujudan bakteria dalam mulut?

Menurut Dr. Soon Boon, bakteria wujud dalam lapisan melekit, sedikit licin, kekuningan dan amat jelas di atas permukaan gigi yang tidak diberus selama beberapa jam selepas makan.

"Jangan biar selepas tujuh hingga lapan jam selepas makan baru hendak gosok gigi kerana kelewatan tersebut menggalakkan pertumbuhan bakteria di dalam mulut.

"Apabila populasi bakteria bertambah maka akan terhasil bahan buangan bakteria iaitu sejenis asid yang menjadi penyebab kepada kerosakan gigi," ujarnya.

Untuk memastikan mulut bebas daripada bakteria terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh diikuti iaitu berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan pastikan juga ia efektif.

"Selain pemilihan berus gigi yang baik teknik memberus juga mesti betul. Berus gigi yang baik perlulah diperbuat daripada bahan yang berkualiti dan helaian berusnya juga perlu rapat agar lebihan ubat gigi tidak mudah masuk ke dasar dan mengakibatkan pertumbuhan kulat.

"Langkah penjagaan lain meliputi tabiat penggunaan flos gigi untuk membuang cebisan makanan di antara gigi dan lakukan pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun," tambahnya.

Sumber: Utusan Malaysia


17 Ogos 2009

Dari pengajar kepada usahawan berjaya

MR Enterprise merupakan sebuah syarikat bumiputera Sabah yang merupakan syarikat yang menjual dan membekalkan peralatan kejuruteraan dan bahan termasuk alatulis ke agensi kerajaan dan swasta. Pemiliknya Puan Merlin Binti Gondoloi merupakan mantan pengajar kursus bangunan di Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan bangunan sebagai pengajar maupun kontraktor. Ini memandangkan Puan Merlin pernah bekerja dengan syarikat pembinaan, mengajar dan skarang menjadi usahawan sepenuh masa. Kini Puan Merlin mempunyai premis yang terletak di Salut Commercial Center, Sepangar bersebelahan dengan Restoran Kak Tini.

Hadapan Premis MR Enterprise yang bersebelahan
dengan Restoran Kak Tini
.


Kelihatan seorang pelanggan bersama Puan Merlin (baju warna biru),
beliau seorang yang cepat mesra dan berdedikasi.


Pelanggan setia dan juga rakan lama
Puan Merlin semasa mengajar di IKMKK.


Jamuan Hari Raya Pengakap Kelana Sesi Jul-Dis 2007

Sabtu, 15 Ogos 2009: Semasa saya sedang 'membuang' fail-fail dan data lama dalam laptop terjumpalah satu fail yang penuh dengan gambar majlis jamuan hari raya Persatuan Pengakap Kelana IKMKK. Tersenyumlah juga saya melihat telata mereka bersama guru-guru penasihat mereka. Yang mana mereka ini telah selesai 'berkonvo' pada 10 Ogos 2009 yang lalu. Oleh itu saya terfikir untuk memasukkan gambar ini dalam blog Jabatan Pengajian Am dan mantan pelajar-pelajar ini boleh melihat telata mereka semasa menuntut di IKMKK terutamanya semasa menjadi ahli Persatuan Pengakap Kelana IKMKK.












13 Ogos 2009

MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-5 IKMKK

Pada 10 Ogos 2009, telah berlangsung dengan jayanya Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu kali ke-5 bertempat di Dewan Besar IKMKK. Seramai 290 para graduan menerima sijil masing-masing. Mjalis ini telah disempurnakan oleh Y.B Datuk Joseph Entulu Belaun, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah (KKLW). Majlis ini telah diserikan lagi dengan persembahan kulintangan dari pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Kinabalu. Tapak pameran juga dibuka untuk ibu bapa melihat hasil kerja pelajar IKMKK.


Para Graduan yang diraikan


Para Ibubapa dan staf IKMKK


Ahli Senat IKMKK bersama
Y.B Datuk Joseph Entulu Belaun


Penyampaian sijil kepada para graduan


Penyampaian sijil kepada para graduan


Graduan terbaik sesi Januari - Jun 2009 bersama
Y.B Datuk Joseph Entulu Belaun dan Pengarah IKMKK


Ramah mesra bersama Pengerusi MARA, Dato' Seri Idris bin Jusoh.

Pada 28 Julai 2009, IKMKK bertuah kerana Pengerusi MARA, Dato' Seri Idris bin Jusoh serta rombongan sudi datang ke IKMKK. Antara rombongan yang hadir ialah Datuk Zamani bin Md Noor, Tn Hj Mohd Yunus bin Razali, Pengarah MARA Negeri Sabah dan ramai lagi. Perjumpaan dengan Pengerusi MARA telah diadakan di Dewan Syarahan IKMKK pada pukul 1.30 petang. Taklimat IKMKK kepada Pengerusi MARA telah disampaikan oleh Pengarah IKMKK, En Kamaruzdzaman bin Md Ali. Selepas itu, Pengerusi MARA berucap dan beramah mesra dengan para staf. Pengerusi MARA turut sudi merasmikan Galeri IKMKK dengan menandatangani plak perasmian.


Tenaga pengajar IKMKK.


Pengerusi merasmikan Galeri IKM Kota Kinabalu.


Pengerusi sedang menandatangani plak perasmian
Galeri IKM Kota Kinabalu.


Pengerusi MARA beramah mesra bersama staf IKMKK.


11 Ogos 2009

Suasana Majlis Konvokesyen Kali Ke-5 IKMKK

Selasa: Majlis Konvokesyen Kali Ke-5 IKMKK telah diadakan pada 10 Ogos 2009 (Isnin) bertempat di Dewan Besar IKMKK. Seramai 287 pelajar telah menerima sijil teknologi masing-masing selepas menimbah ilmu selama 2 tahun atau 3 tahun mengikut kursus yang mereka pilih.

Untuk kursus / sijil teknologi senibina, bangunan, baikpulih badan kenderaan, automotif dan penghawa dingin mengambil masa selama 2 tahun termasuk 6 bulan latihan industri. Manakalah bagi kursus / sijil teknologi penjaga jentera elektrik-A1 mengambil masa 3 tahun termasuk 1 tahun latihan industri.

Berikut beberapa gambar yang sempat diambil semasa majlis konvokesyen....... suasana di luar dewan konvo.... gambar di dalam dewan tak sempat ambil........ tetapi akan dimasukkan dalam blog ini sekiranya gambar tersebut telah siap diproses oleh pihak unit multimedia.












Tips Persahabatan

Pandai Simpan Rahsia.
Dalam persahabatan, kepercayaaan untuk menyimpan apa jua rahsia amatlah penting. Jangan sia-siakan kepercayaan yang diberi oleh sahabat dan pastikan rahsia tersebut disimpan dengan baik.

Tahan Bergurau Senda.
Adat bergurau adakalanya gurauan menjadi terlebih sehingga kadangkala boleh mengguris perasaan sahabat. Pastikan setiap sahabat saling boleh menerima gurauan itu dan berfikir sebelum ia berlaku.

Jangan Terlalu Mengkritik.
Jika sahabat melakukan kesalahan, jangan terburu-buru mengkritik atau memarahinya, kerana kita sendiri tidak semestinya bagus dan betul dalam semua hal. Sebaiknya jadilah sahabat yang memberi nasihat dan tempat sahabat meluahkan pendapat.

Terima Kelebihan dan Kekurangan.
Terima kelebihan dan kekurangan sahabat seadanya kerana setiap manusia tidak sempurna. Dalam persahabatan perlu melengkapi antara satu sama lain.

Menghormati Hak dan Kehidupan Peribadi.
Jika sahabat dilanda masalah, mungkin dia memerlukan masa untuk bersendirian. Berada disampingnya ketika susah menunjukkan kamu seorang yang prihatin. Namun jika dia meminta sedikit ruang, berilah dia hak itu.

Jangan Pentingkan Diri Sendiri.
Seorang sahabat yang baik tidak mementingkan diri sendiri, sebaliknya sentiasa membantu sahabatnya dalam apa jua situasi. Kamu juga sanggup mengetepikan kepentingan diri demi menjaga hubungan persahabatan.

Bersikap Terbuka.
Sifat ini adalah landasan yang penting dalam persahabatan. Persahabatan tidak boleh berlaku dengan baik jika hati penuh dendam. Berbincang secara terbuka dari hati ke hati tentang masalah yang dihadapi dan pilih waktu yang sesuai.

06 Ogos 2009

Bekas guru hasilkan baja

PADA Karnival Jualan Mega 2009 anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Tawau, Sabah baru-baru ini, kelihatan ramai pengunjung tertumpu di gerai yang dikendalikan guru bersara, Ismail Sulaiman.

Pengunjung jelas tertarik melihat dua pokok kacang bendi yang ditanam di dalam dua pasu di hadapan gerai itu.

Pokok kacang bendi di dalam sebuah pasu, nampak kurus dan tumbesarannya terencat berbanding pokok bendi di dalam pasu satu lagi yang tumbuh subur daunnya lebar, menghijau segar dan batang yang besar dan ketinggiannya jauh melebihi pokok bendi pertama.

Pokok kacang bendi yang subur dan tinggi itu menggunakan baja organik buatan Ismail, yang dinamakannya 'HBO' iaitu 100 peratus bio-organik.

Jika berkunjung ke rumah dan kebunnya di Kampung Sungai Imam, anda akan berpeluang menyaksikan kesuburan tanaman lain seperti pokok tomato melalui penggunaan baja organik buatan beliau.

Pada masa ini, Ismail, 60, bekas pengetua di SMK Abaka, Tawau, Sabah adalah pengusaha tunggal baja organik Bumiputera di Tawau. Beliau bersara daripada kerjaya guru pada tahun 2005.

"Selepas menghadiri taklimat tentang baja organik anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Tawau, minat saya menceburi bidang ini timbul. Saya kemudian menghadiri kursus membuat baja organik menggunakan tahi ayam di Johor.

"Sekembali dari kursus, saya terus memulakan usaha mengeluarkan baja organik secara manual dengan modal permulaan RM20,000 daripada pinjaman bank dan hasil wang pencen.

"Bagaimanapun saya berhadapan dengan masalah kerana tidak seperti tahi ayam, tahi kambing tidak mudah dihancurkan menggunakan tangan sebaliknya perlu menggunakan mesin khas.

"Pengeluaran ketika itu cuma antara lima hingga enam guni baja sehari. Jadi, ketika itu walaupun saya masih boleh mengeluarkan baja organik berasaskan tahi kambing namun baja berkenaan cuma untuk kegunaan kebun sendiri kerana kualitinya belum sampai ke tahap boleh dipasarkan.

Bagaimanapun, atas bantuan LPP, beliau memperoleh mesin penghancur tahi kambing bernilai RM10,000 dan kini mampu mengeluarkan antara 40 hingga 50 tan baja organik sebulan.

Dengan khidmat nasihat LPP, pembungkusan baja organik keluaran Ismail kini jauh lebih baik berbanding sebelum ini yang menggunakan guni-guni terpakai.

"Saya kini dalam proses untuk mendapatkan mesin yang mampu memproses sehingga satu tan baja organik sejam," katanya yang berhasrat memasarkan baja organik buatannya ke seluruh Sabah.

Ismail turut membekalkan bajanya kepada sebuah ladang yang mengamalkan penanaman organik.

Beliau kini berusaha mendapatkan pensijilan baja organik dari beberapa buah negara termasuk Thailand, Jepun, Australia, Switzerland, Britain dan Amerika Syarikat kerana Malaysia sendiri belum mengeluarkan sijil seperti itu.

"Sebenarnya, saya melakukan semua ini bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah dengan menyediakan baja yang dijamin halal dan bersih kepada pekebun-pekebun yang beragama Islam.

"Pada masa ini, ramai kalangan umat Islam tidak mengetahui secara pasti kandungan sebenar baja termasuk baja organik yang mereka gunakan sama ada dibuat berdasarkan syariat Islam.

"Sehubungan itu, saya berharap baja HBO ini akan menjadi baja organik alternatif kepada umat Islam yang memerlukan baja organik yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan yang tidak meragukan," katanya.

Menurut Ismail, potensi pasaran masa depan baja berasaskan organik amat cerah dan beliau sudah menghantar kertas cadangan kepada kerajaan Sabah melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah agar menjadi- kan Sabah sebagai negeri baja organik.

Katanya, melalui moto pengeluaran bajanya Go Green From Today (Hijau mulai hari ini), beliau berharap kesedaran orang ramai tentang pemeliharaan alam semula jadi melalui penggunaan baja organik dapat ditingkatkan. - Bernama

Sumber: Utusan Malaysia


Mulanya tanam suka-suka, kini menguntungkan


Menerima pelawaan membuat liputan mengenai tanaman malberi menimbulkan pelbagai persoalan mengenai pokok yang menjadi santapan ulat sutera ini.

Bertemu dengan mantan guru, Khadijah Mustapa, 58, merungkai segala persoalan yang terbuku sejak seminggu.

Memulakan bicara, Khadijah bercerita, sebatang ranting malberi yang dibawa oleh seorang ahli keluarga sekembali dari United Kingdom (UK) mengubah kehidupannya sekeluarga.

Katanya, pokok malberi tumbuh subur di UK bagaikan kawasan semak dan buahnya yang masam-manis enak dimakan terutama bagi pelajar negara ini.

"Dengan sebatang dahan, suami saya, Abdul Jalil Nong menanamnya secara suka-suka kerana kami sekeluarga memang gemar bertani," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Rasa Tambahan, Rasa, Hulu Selangor, Selangor.

Apabila pokok malberi yang ditanam mula mengeluarkan hasil, Khadijah membuat jem serta jus dan memberikannya kepada guru sekolah di tempatnya mengajar.

"Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ramai yang ingin membeli produk baru ini," katanya sentiasa mendapatkan maklumat mengenai malberi melalui Internet.

Mendapati pokok dan buah malberi mempunyai banyak kegunaan, Khadijah mula menghasilkan jus, jem, teh dan dadih bagi kegunaan sendiri.

Bagaimanapun rakan serta keluarga yang berkunjung ke rumah dan merasai produk malberi hasilan tangan Khadijah menggalakkan beliau mengkomersialkannya.

Bermula dengan menjual pada rakan dan sahabat di sekolah serta jiran berhampiran, Khadijah mula terfikir mengkomersialkannya.

Setelah lima tahun mengusahakan jem malberi secara kecil-kecilan, setelah bersara Khadijah mula mengambil langkah membesarkan perniagaannya.

Menerima nasihat rakannya Zainon Ariffin, Khadijah meminta khidmat nasihat Jabatan Pertanian bagi meningkatkan mutu produk jem buatannya selain menghasilkan produk lain seperti jus, teh dan topping dadih.

"Jabatan Pertanian membantu memberikan khidmat nasihat mengenai pembuatan jem, teh, jus dan dadih.

"Saya juga menggunakan kemudahan di Jabatan Pertanian Rasa bagi menghasilkan produk," katanya yang menghasilkan dan mengeluarkan produk di bawah syarikat DMJ Enterprise.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah, Khadijah yang sekarang mengusahakan tanaman malberi di tanah seluas suku ekar kini mula menanamnya di kawasan seluas kira-kira empat hektar (11 ekar) di Batang Kali, Selangor.

Khadijah menanam pokok malberi secara berperingkat bagi membolehkan hasil dituai secara berterusan.

Ditanya mengenai pengurusan tanaman malberi, beliau berkata, malberi mudah ditanam dan dijaga tetapi tanaman ini menarik ulat beluncas dan burung.

"Pokok malberi, pokok renek seakan-akan semak mengambil masa tiga bulan untuk berbuah dan biasanya buah yang pertama kali tidak digunakan.

"Kami menggunakan buah yang terhasil pada kali ke dua dan seterusnya bagi memastikan mutu," katanya yang mendapat bantuan pelbagai agensi kerajaan seperti Mara, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian.


ulat sutera

Memandangkan daun malberi adalah makanan ulat sutera, musuh semulajadinya adalah ulat beluncas.

Bagi menghalang ulat beluncas, Khadijah tidak menggunakan racun serangga sebaliknya hanya hanya membuang serangga yang ada.

Mengenai ancaman burung pula, Khadijah tidak menggunakan malberi sisa makanan burung dan hanya buah yang sempurna.

Mencari maklumat mengenai pokok malberi, Khadijah mendapat tahu, buah malberi masak boleh dimakan mentah.

Selain itu, buah malberi juga boleh digunakan dalam masakan seperti pai, tart dan minuman kordial.

Buah malberi hitam yang biasa terdapat di barat daya Asia, manakala malberi merah yang ditemui di Amerika Utara mempunyai rasa yang kuat.

Malberi hitam, merah dan putih terdapat dengan banyaknya di India, Azerbaijan, Syria, Armenia, Pakistan, Iran dan Afghanistan dipanggil malberi unggul.

Buah malberi hitam pula diimport ke Britain dalam abad ke-17, atas alasan membantu industri ulat sutera.

Bagaimanapun malberi banyak digunakan dalam perubatan tradisional terutama untuk merawat kurap.

Pokok malberi dibawa ke negara ini oleh pedagang Cina sebagai makanan ulat sutera dan sebagai ramuan ubatan tradisional.

Malahan tumbuhan ini mempunyai pelbagai khasiat dalam perubatan tradisional cina sejak 1800 tahun lalu.

Keseluruhan pokok boleh dimanfaatkan, di mana buahnya boleh dimakan mentah atau dibuat jem, daunnya dijadikan teh dan batang serta akar boleh direbus untuk diminum.

Khasiatnya paling popular dalam formulasi tradisional bagi mengelakkan kencing manis, mengurangkan tekanan darah tinggi serta merendahkan paras kolestrol dalam darah.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk malberi boleh menghubungi Khadijah Mustapa di 012-9026676 atau 03-60579197.


Info pokok malberi

Malberi atau morus merupakan 10 hingga 16 jenis spesies pokok daun luruh yang biasa terdapat di kawasan temperat panas dan subtropikal di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika dengan majoritinya di Asia.

lBerkait rapat dengan genus Broussonetia juga dikenali dengan malberi atau Paper mulberry, Broussonetia papyrifera.


Klasifikasi saintifik

Alam: Plantae

Filum: Magnoliophyta

Kelas: Magnoliopsida

Order: Rosales

Famili: Moraceae

Kumpulan: Moreae

Genus: Morus


Sumber: Utusan Malaysia


337 mati akibat selesema babi di Argentina

BUENOS AIRES 6 Ogos - Sebanyak 337 mati akibat selesema babi atau influenza A (H1N1) di Argentina, meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh dua minggu.

Ini sekali gus mengesahkan Argentina sebagai negara yang mencatatkan kematian kedua tertinggi di dunia akibat wabak selesema tersebut selepas Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Menteri Kesihatan Argentina, Maximo Diosque berkata, lebih 700,000 daripada 763,000 kes selesema yang dikesan di negara itu adalah selesema babi.

Walaupun jumlah kematian di negara itu hampir sama banyak dengan AS tetapi penduduk negara latin itu hanya kira-kira 40 juta berbanding AS sekitar 300 juta orang. - AFP

Sumber: Utusan Malaysia


Sambutan AS1M menggalakkan


Orang ramai menunggu untuk melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia yang dibuka semalam untuk semua rakyat Malaysia di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 5 Ogos - Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) yang mula dijual kepada orang ramai hari ini mendapat sambutan menggalakkan sehingga ada yang menunggu seawal pukul 2 pagi di Ibu Pejabat Permodalan Nasional Bhd. (PNB) di Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kaunter-kaunter jualan di PNB mulai dikunjungi orang ramai sejak ia dibuka pada pukul 8 pagi.

AS1M dengan saiz dana sebanyak 10 bilion unit dijual pada harga RM1 setiap unit dan disasarkan kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan pelaburan minimum 100 unit dan pelaburan tambahan minimum serendah satu unit.

Dana ekuiti itu mempunyai ciri-ciri seperti dana harga tetap lain iaitu Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman ketika ditemui di PNB berkata, sambutan awal terhadap AS1M hari ini merupakan permulaan yang baik terhadap saham tersebut.

"Anda lihat sendiri betapa ramainya yang datang, tetapi apa yang lebih penting ialah penerimaan AS1M oleh semua masyarakat di negara ini.

''Peluang ini diberikan kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

AS1M dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Julai lalu.

Sementara itu difahamkan, ada antara pelanggan yang datang ke PNB bersama ahli keluarga dan rakan-rakan sejak awal pagi lagi kerana tidak mahu terlepas peluang melanggan unit saham terbesar yang ditawarkan itu.

Malah beberapa pelabur juga telah berada di pekarangan Ibu Pejabat PNB sejak pukul 2 pagi lagi.

Langganan unit itu tertakluk pada peruntukan 50 peratus untuk bumiputera, 30 peratus Cina, 15 peratus India dan baki lima peratus untuk kaum minoriti lain.

Sementara itu, seorang pegawai insurans, Yee Wee Lin, 27, berkata, dia tiba sebelum pukul 7 pagi dan terpaksa menunggu serta berbaris di pekarangan bangunan PNB sehingga kaunter dibuka pada pukul 8 pagi.

Katanya, dia terpaksa bertolak awal dari rumah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas semata-mata mahu melanggan unit saham AS1M.

''Saya berbangga dan mengalu-alukan pendekatan kerajaan memperkenalkan dana saham untuk semua rakyat Malaysia.

''Saya bangga menjadi rakyat Malaysia kerana kerajaan begitu prihatin dalam memberi peluang untuk sama-sama melabur dan mendapat manfaat daripada pelaburan ini selaras dengan gagasan 1Malaysia," katanya.

Pen Sew Lin, 31, pula bercadang membuat pelaburan awal sebanyak RM2,000 dan percaya AS1M bakal menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk melabur kerana kadar dividen yang lebih tinggi serta mudah diurus selain dijamin kerajaan.

"Saya percaya ramai kaum Cina akan melabur dan mendapat manfaat daripada pelaburan ini selain bersama-sama membantu kerajaan membangunkan negara," katanya.

Seorang pelajar, Nur Atikah Edy, 21, berkata, pulangan tinggi dalam pelaburan yang dikendalikan PNB itu mendorongnya untuk melabur dalam AS1M.

"Pulangannya lebih tinggi berbanding simpanan tetap. Masyarakat harus menggunakan peluang ini untuk masa depan mereka.

"Langkah memperkenalkan AS1M oleh Perdana Menteri memberi inspirasi kepada saya untuk sama-sama terlibat dalam pelaburan walaupun masih belajar," katanya.

Seorang eksekutif sebuah bank, V. Revathy, 28, pula yakin kaum India di negara ini tidak akan ketinggalan untuk melanggan saham amanah itu.

"Walaupun kaum India tidak melabur banyak, saya percaya mereka akan sama-sama terlibat.

"Kami juga yakin dengan keadaan ekonomi kaum India yang semakin baik, ia turut membantu kami untuk terus melabur dan memacu pembangunan negara, " katanya.

Sumber: Utusan Malaysia


Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu