KUALA LUMPUR 17 Ogos - Ekonomi Malaysia dijangka kembali positif pada suku keempat tahun ini bersandarkan tanda-tanda pemulihan semasa yang memberangsangkan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
Beliau berkata, terdapat angka-angka awal yang menunjukkan terdapatnya tanda-tanda pemulihan yang positif.
Bagaimanapun, Zeti menyifatkan semakan semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini masih terlalu awal untuk dilakukan.
"Namun begitu, kami pasti menjelang suku keempat ini, kami akan menyaksikan pertumbuhan positif," katanya selepas pelancaran platform perdagangan komoditi antarabangsa berlandaskan Syariah iaitu, Bursa Suq Al-Sila', di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai laporan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa nilai mata wang ringgit adalah di bawah nilai, Zeti enggan mengulas lanjut berkata, kadar pertukaran asing terutamanya aliran pergerakannya ditentukan oleh pasaran.
"Bagaimanapun secara keseluruhan, ringgit adalah stabil berbanding nilai mata wang lain di rantau ini," katanya.
Mengulas mengenai perkembangan pembangunan Bank Islam Mega, beliau berkata, pelbagai pihak dari seluruh negara telah menunjukkan minat masing-masing untuk mengemukakan permohonan yang akan ditutup pada Oktober ini.
"Sejurus selepas itu, kami akan membuat pengumuman berdasarkan penilaian daripada permohonan itu yang juga dibuka untuk bank konvensional," ujarnya.
Bank Islam Mega yang dijangka dilancarkan sebelum akhir tahun ini akan mempunyai modal permulaan sebanyak AS$10 bilion (RM35 bilion) menerusi beberapa tawaran awam permulaan dan pilihan saham persendirian.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan