E-Mail: lippikmkk@gmail.com

22 Februari 2009

Hikmah Di Sebalik Kebetulan

Maklumat usahawan ini diperolehi dari laman web berita harian online, sekiranya pembaca ingin maklumat lanjut berkenaan usahawan atau syarikat beliau sila lawat laman web berkenaan di http://www.norainis.com.my.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Bermula dengan kuih basah, Noraini kini miliki puluhan produk makanan, termasuk enam kilang usaha sama di Kazakhstan

“PEMBABITAN saya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan boleh disifatkan sebagai kebetulan atau tidak sengaja. Ia bermula apabila seorang pengusaha biskut, gagal menyediakan biskut raya seperti yang ditempah pelanggan.

“Tidak mahu menghampakan, saya dan beberapa orang pekerja mula membuat biskut untuk membantu. Mungkin sudah menjadi rezeki, pelanggan saya menggemarinya dan sejak itu bermulalah perniagaan biskut raya Noraini's,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Noraini, Noraini Ahmad yang kini memiliki enam syarikat. Syarikatnya kini aktif menghasilkan dan memasarkan produk makanan tempatan termasuk memiliki enam kilang usaha sama di Khazastan.

Banyak yang boleh dicungkil daripada wanita berusia 50-an ini. Matang daripada segi usia, bernas pula butir bicara pada pertemuan di pejabat urusannya yang juga menempatkan kilang biskut untuk pasaran tempatan dan luar negara di Subang, Selangor. Katanya, kadangkala kebetulan itu tersembunyi rezeki hanya Allah yang tahu, tetapi sebagai manusia memiliki akal perlu mempergunakan ke jalan benar.

“Bukan untuk keselesaan hidup semata-mata tetapi impian utama saya apabila berada pada tahap sekarang ini ialah untuk membolehkan jenama hasil usaha anak Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan jenama lain. Inilah yang selalu saya katakan kepada diri saya untuk menepis rasa tidak yakin orang lain terhadap usaha dilakukan ini.

“Banyak orang pada awalnya susah untuk menerima bahawa perniagaan saya ini akan membuahkan hasil yang baik. Mungkin masih ramai lagi yang berfikir sedemikian, tetapi nawaitu saya tidak setakat di situ sebaliknya saya melihat dengan lebih luas lagi.

“Menerusi perniagaan ini saya boleh membuka peluang perniagaan kepada anak Melayu, juga menyediakan makanan halal dan bersaing dalam dunia perniagaan global. Jadi adalah tanggungjawab anda semua untuk memberikan sokongan padu terhadap pengeluar makanan Halal Bumiputera untuk membolehkan kami terus menunaikan Fardu Kifayah ini.

"Kalau berhenti setakat ini bererti saya hanyalah seorang peniaga tetapi sebagai usahawan masih banyak lagi yang perlu saya lakukan,” katanya.

Pembabitan Noraini dalam dunia perniagaan agak lewat tetapi ia bukanlah sandaran kepadanya untuk sekadar cari makan. Pernah bekerja sebagai kerani dan mendirikan rumah tangga dengan Mohd Shamshi Ariffin. Selepas melahirkan tiga orang anak, beliau terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian terhadap tiga anaknya yang ketika itu masih kecil.

Beliau yang berkebolehan dalam dunia masakan di pelawa menyediakan kuih basah untuk pasaran hotel oleh rakan suaminya yang kebetulan ketika itu amat memerlukan. Pada 1984, tertubuhnya Noraini Enterprise untuk menghasilkan kuih basah. Daripada sebuah hotel hinggalah ke 14 hotel kuih basah dipasarkan.

Noraini berkata, pernah suatu ketika ditempelak chef sebuah hotel yang bukan saja membuang sedulang kuih yang kurang menjadi di depan matanya tetapi menyatakan, “Itulah, orang lain nak berniaga awak nak berniaga tetapi bodoh.”

Tetapi kata-kata itu saya melihatnya daripada segi positif dan banyak belajar daripada chef berkenaan. Sungguhpun pendapatan ketika itu agak lumayan tetapi keadaan seperti membuat kuih pada waktu malam dan dinihari masih tidak cukup membahagiakan saya.

“Bagaimanapun, selain membuat kuih basah, saya juga menjadi ejen biskut raya yang saya lakukan secara kecil-kecilan tetapi ia semakin rancak selepas berhenti kerja. Kebetulan ketika ingin menyambut hari raya, pembekal tidak dapat menyediakan biskut raya dan saya membuat sendiri biskut berkenaan yang membabitkan keuntungan puluhan ribu ringgit.

“Selepas membandingkan antara kerja membuat kuih basah dan biskut raya, saya dapati membuat biskut lebih menguntungkan. Bukan saja keuntungan yang diperoleh berlipat ganda tetapi lebih banyak masa dapat saya gunakan bersama keluarga kerana tidak perlu lagi berjaga pada waktu orang lain tidur.

“Maka saya memutuskan untuk serius dalam bidang pembuatan biskut dan tertubuhlah Noraini Enterprise Sdn Bhd pada 1994 dan diikuti jenama Noraini's Fresh Baked untuk menarik perhatian pembeli. Ketika itu juga saya dan suami giat menjalankan jual beli hartanah,” katanya.

Bagaimanapun perjalanan dunia perniagaannya itu tidak secerah disangkakan. Pada 1997 adalah ujian daripada Allah apabila kuihnya tidak terjual disebabkan kegawatan. Tambah membebankan anak sulungnya mendapat tawaran ke luar negara dalam bidang perubatan tetapi beliau tidak memiliki kewangan yang cukup dan hartanahnya tidak boleh dicairkan.

“Akhirnya pengeluaran kuih basah terpaksa dihentikan kerana biaya operasi yang besar dan banyak pembeli tidak membuat pembayaran seperti dijanjikan. Walaupun menjual biskut raya tetapi pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi.

“Dengan hutang yang banyak dan keperluan menyara lima orang anak ketika itu menyebabkan saya dan suami akhirnya kembali berniaga di pasar malam. Kami bermula semula dengan sifar kerana wang yang ada digunakan untuk menampung keperluan pendidikan anak-anak,” katanya.

Apabila terbabit dalam dunia perniagaan, Noraini berkata dia dan suami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pendapatan jualan di pasar malam, sebaliknya bertekad membuka sebuah kios di Plaza Angsana, Johor yang menjual makanan industri desa seperti kerepak, kek pisang, bahulu dan sebagainya.

Perniagaan ini berkembang baik dan kini memiliki 12 cawangan kios dan kafe di seluruh negara dengan nama Laksa Paradise. Hari ini Noraini semakin dikenali dan apakah rahsianya? Noraini berkata, dirinya berasa cukup bertuah kerana anak sulung dan kedua bersedia mengembangkan lagi perniagaan hingga sanggup mengorbankan kerjaya sebagai doktor dan jurutera semata-mata memberikan tumpuan dalam bidang perniagaan.

“Mungkin mereka berasakan perniagaan keluarga, maka mereka seharusnya memberikan bantuan. Bagaimanapun kadangkala saya menjadi sedikit gementar kerana tahu sajalah ‘darah muda’ semangat mereka membara-bara dan takut andai tidak terkejar pula,” katanya tersenyum.

Mengulas mengenai kejayaan di capai pada usia yang matang Noraini berkata, tidak pernah ada istilah terlambat dalam hidup sebaliknya, menyifatkan ada hikmah kerana sekiranya bermula pada peringkat muda tanpa jatuh bangun berniaga, beliau mungkin tidak berada di tempat sekarang.

“Saya berasa cukup bertuah kerana bersama keluarga membangunkan Noraini’s. Walaupun hari ini saya semakin sibuk tetapi sebagai ibu saya perlu membahagiakan masa dengan sebaik mungkin. Memahami minat suami, kami juga baru-baru ini membuka ladang untuk diuruskan oleh beliau.

“Seorang wanita yang ingin berjaya dalam dunia diceburi perlu mendapat sokongan daripada keluarga terutama suami. Dengan bantuan dan sokongan suami, usahawan wanita dapat berkembang lebih jauh dalam perniagaan dan inilah petua yang ingin saya kongsi bersama usahawan wanita yang lain.

“Menjadi wanita yang berjaya mencapai cita-citanya dalam dunia perniagaan ini terlalu banyak cabarannya dan setiap cabaran itu hanya wanita mengalaminya yang faham. Sememangnya sukar, malah dalam banyak keadaan wanita perlu memilih antara perniagaan dan keluarga. Itulah kesukarannya dan bagaimanapun itulah cabaran yang harus dilalui untuk mengejar kejayaan,” katanya.

PROFIL: Noraini Ahmad
Suami: Shamshi Ariffin
Anak: Lima orang berusia antara 13 hingga 30 tahun
Asal: Selangor
Minat: Membaca
Syarikat: Noraini Enterprise Sdn Bhd (ditubuhkan pada 1994).

INFO: Noraini Frozen Sdn Bhd
Noraini Frozen Food Sdn Bhd ditubuhkan untuk menyeragamkan kualiti rasa kuah laksa Noraini’s. Dengan konsep central kitchen, isi ikan kisar, pes laksa dihasilkan dan dibekukan dan kemudian diedarkan di kiosk dan kafe Noraini’s.

Noriaini Cookies Worldwide Sdn Bhd ditubuhkan untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran biskut Noraini’s dan pada 2004 selepas 20 tahun memulakan perniagaan dengan bantuan anak, Noraini’s kini beroperasi dengan sebuah pejabat dan kilang kecil di Subang 2. Biskut ini diedarkan di Vietnam, Kemboja, Singapura, Dubai, Mauritus, Maui, Hong Kong dan United Kingdom.

Pada 2006 Noraini’s menandatangani perjanjian kerjasama dengan sebuah syarikat pengeluar Muslim di Khazastan untuk menghasilkan biskut di sana dan menjadi Halal Hub. Noraini Shcuzinskii Sdn Bhd melalui anak keduanya, Ahmad, Hezir Effez sebagai pengurus projek diberi kepercayaan untuk memimpin syarikat kerjasama berkenaan untuk menghasilkan dan memasarkan produk lain seperti susu, yogurt, sosej, mentega, tepung gandum, cola dan biskut. Dengan bangganya nama Atameken Noraini (bermaksud kampung halaman Noraini menjadi jenama produk kerjasama ini)

Noraini Farm House Sdn Bhd ditubuhkan pada 2007, dan aktiviti syarikat ini memproses tanaman menjadi rempah sebelum diadun, dibungkus dan dipasarkan. Syarikat ini juga mengusahakan ladang bagi penyediaan bahan mentah seperti serai, daun kari, bunga kantan, daun kesum dan sebagainya. Maka terhasillah rempah ratus Noraini’s Laksa Paradise dengan 11 ramuan laksa, rendang dan sambal tumis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu