JOHOR BAHARU 8 Ogos - Walaupun industri hiliran automotif di Johor dianggarkan bernilai RM3 bilion setahun, penglibatan pengusaha bumiputera dalam sektor itu adalah amat kecil, demikian menurut kajian Persatuan Pengusaha Automotif Bumiputera Negeri Johor (Protif).
Presidennya, Mustakim Sihap berkata, walaupun nilai industri automotif di Johor termasuk sektor huluan dan hiliran itu adalah lumayan, apa yang mendukacitakan ialah hanya dua peratus dikuasai oleh pengusaha bumiputera.
‘‘Industri automotif amat berdaya maju dan berpotensi untuk mewujudkan usahawan-usahawan bumiputera.
‘‘Kami berharap kerajaan dan agensinya dapat melakukan sesuatu untuk meningkatkan pegangan pasaran pengusaha automotif bumiputera dalam industri tersebut di Johor,’’ katanya kepada Bernama dalam temuramah di sini hari ini.
Kajian yang dijalankan oleh Protif pada tahun lepas itu, katanya, menunjukkan potensi dan peluang yang amat besar kepada pengusaha sedia ada dan bakal pengusaha bumiputera di Johor untuk melibatkan diri dalam industri automotif.
Peluang tersebut, menurutnya, adalah lebih besar dan lumayan jika ia turut mengambil kira ribuan kenderaan Singapura, motosikal dan kereta yang memasuki Johor setiap hari atas pelbagai urusan.
Menurut Mustakim, berdasarkan kepada kajian Protif pada tahun lepas mengenai perbelanjaan kereta setahun di Johor, pengguna kenderaan di negeri ini membelanjakan kira-kira RM3.1 bilion untuk empat perkara.
Katanya, pengguna kenderaan di Johor katanya, dianggar membelanjakan RM948 juta untuk servis dan alat ganti, RM1.137 bilion untuk aksesori serta alat ganti, RM948 juta untuk tayar dan rim serta RM94 juta untuk kereta potong.
Walaupun industri automotif di Johor telah bermula sejak tahun 1960-an dan negeri ini diakui sebagai tapak permulaan industri automotif negara, ia dikuasai oleh usahawan bukan bumiputera dan pelabur asing, katanya.
Melalui kajian itu, katanya, persatuan mendapati usahawan automotif bumiputera di Johor ketinggalan agak jauh berbanding rakan-rakan bukan bumiputera mereka terutamanya di dalam soal penjualan.
Mustakim berkata, Protif mendapati usahawan bumiputera hanya mampu mencapai penjualan sekitar RM15,000 sebulan berbanding rakan bukan bumiputera yang mana penjualan sebulan mereka mencapai antara RM100,000 hingga RM200,000 sebulan.
‘‘Mereka perlu meningkatkan penjualan bagi memastikan perniagaan usahawan automotif bumiputera bukan sahaja stabil untuk jangka masa pendek dan sederhana tetapi juga berkembang pada jangka masa panjang,’’ katanya.
Untuk menggalakkan usahawan bumiputera menceburi bidang ini, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi terutamanya Majlis Amanah Rakyat (Mara) boleh membantu dengan mewujudkan program-program keusahawanan automotif, katanya.
Salah satu program yang berjaya mengasah bakat usahawan Bumiputera di dalam industri automotif adalah menerusi program yang dinamakan Putek atau Program Usahawan Teknologi kelolaan Mara, kata Mustakim.
Di bawah program tersebut, setiap usahawan yang berkelayakan akan menerima bantuan kewangan antara RM30,000 hingga RM250,000 serta modal pusingan bagi membantu mereka memulakan perniagaan.
Sumber: Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan