E-Mail: lippikmkk@gmail.com

03 Mac 2009

Jimat Cermat ialah Faktor Kejayaan

Dato’ Haji Illias Haji Hussain, Pengarah Urusan Enconvision Industries (M) Sdn Bhd., sebuah syarikat yang terlibat dalam pemasangan barangan elektronik dan elektrik ,adalah di antara usahawan Bumiputera yang berjaya dibangunkan hasil pembiayaan PUNB.

ilias.jpg

Dato’ Haji Illias Haji Hussain

Dengan dana modal teroka bernilai RM1.4juta. EncoVision merupakan bekas syarikat usahasama PUNB dan telahpun berjaya melepasi dari skim keusahawanan PUNB pada 4 Oktober 2000.

Walaupun jumlah tersebut tidak mencukupi untuk membiayai sepenuhnya operasi perniagaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa, namun ia sudah mencukupi untuk menyediakan tapak permulaan untuk mengembang syarikatnya.


Memiliki wawasan, bersifat kental dan dinamik serta minat dalam perniagaan merupakan aset beliau dalam menerajui Encovision. Beberapa orang jurutera dan profesional yang mempunyai pengalaman lebih dari 25 tahun dalam sektor elektrik dan elektronik menjadi tulang belakang kejayaan beliau.


Sebelum menjadi usahawan, beliau yang memiliki ijazah ekonomi dari Universiti Malaya pada tahun 1974 pernah berkhidmat dalam sektor awam dan jawatan terakhirnya ialah Ketua Unit Pengurusan dan Pembangunan Usahawan RISDA. Beliau menceburi bidang perniagaan setelah menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran (MBA) dalam bidang pemasaran sebagai pengkhususan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1989.


Hari ini Kumpulan Encovision telah menjadi syarikat tempatan terbesar mendapat kontrak pemasangan barangan elektrik dan elektronik. Syarikat-syarikat subsidiarinya turut terlibat dalam aktiviti hiliran termasuk membuat komponen barangan elektrik dan menjadi pengedar produk elektrik serta elektronik di negara ini.


Bercakap mengenai falsafah pengurusan syarikat , beliau mengamalkan pendekatan sentiasa bersedia untuk menghadapi masalah yang bakal dihadapi.


“Jangan ingat semasa sedang banyak wang, selama-lamanya kita ada banyak wang,” tegas beliau. Kalau hendak berniaga, kita hendaklah berjimat cermat dan tidak boros membelanjakan wang syarikat untuk bermewah-mewah.


Bagi beliau, keuntungan yang diperolehi hendaklah dibelanjakan mengikut keperluan sahaja. Kita tidak perlu membeli kereta besar, rumah besar, pejabat besar dan menggajikan setiausaha peribadi kerana semua ini memerlukan kos yang tinggi dan akan membebankan kewangan syarikat kita sendiri. Sekiranya kita boleh melakukan kerja tersebut tanpa bantuan orang lain, ianya sudah cukup baik dan ini akan menjimatkan kos operasi. Wang yang lebih itu boleh dilaburkan semula ke dalam syarikat untuk mengembangkan syarikat kita ke tahap yang lebih tinggi.


Beliau turut mengariskan beberapa kriteria yang perlu untuk berjaya sebagai usahawan. Antaranya ialah mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang diceburi serta mempunyai jaringan perhubungan perniagaan yang luas.


“Kemahiran dan penguasaaan dalam bidang perniagaan yang kita ceburi merupakan faktor yang sangat penting. Perniagaan tidak akan berjaya jika kita tidak tahu apa yang kita lakukan ataupun jika kita berniaga mengikut cara orang lain berniaga. Begitu juga dengan jaringan perhubungan,” katanya.


Bagi saya untuk maju dalam bidang perniagaan, kita perlukan jaringan perhubungan yang luas dan kuat. Sebagai contohnya, kakitangan yang diambil bekerja dalam syarikat ini mempunyai jaringan perniagaan yang boleh membantu memperkembangkan syarikat. Selain dari itu juga, kami telah mengambil alih sebuah syarikat di Singapura yang mempunyai jaringan perniagaan yang luas dengan pelanggannya. Ini secara langsung memberi ruang untuk kami bertapak perniagaaan di Singapura,” katanya.


Dato’ Ilias menambah bahawa untuk berjaya seseorang usahawan perlu bermula dari bawah. Usahawan yang bermula dari bawah tahu asas-asas pengurusan, masalah yang timbul dan tahu bagaimana menanganinya kerana usahawan ini mempunyai pengalaman yang luas berbanding dengan usahawan yang bermula dari atas,” tegasnya sambil menyatakan bahawa dahulu syarikatnya bemula secara kecil-kecilan dan membeli peralatan perniagaan yang pun telah digunapakai.


Mengakhiri perbualan, Dato’ Illias selanjutnya berharap agar PUNB dapat meneruskan khidmatnya membangunkan usahawan yang berpotensi.


Beliau berpendapat bahawa PUNB harus menumpukan peranan untuk membangunkan usahawan yang baru untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan. Ini adalah kerana, jika usahawan baru memohon bantuan kewangan dari pihak bank tanpa mempunyai rekod yang baik, kemungkinan besar permohonan mereka akan ditolak. Di sinilah PUNB memainkan peranan yang penting dan sebagai pemegang saham dalam syarikat yang diusahakan oleh usahawan baru yang berpotensi akan lebih menyakinkan pihak bank untuk memberi pembiayaan perniagaan.


“Jadi konsep dan matlamat penubuhan PUNB, memang strategik kerana ia memberi kesan dalam melahirkan usahawan seperti kami. Bagi mereka yang tidak berjaya, jangan salahkan PUNB. Mungkin projek yang diceburi tidak berdaya saing, pengurusan kewangan bermasalah ataupun mungkin usahawan itu sendiri bermasalah.” Jelasnya lagi, walaupun sudah mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan namun, beliau belum merasa puas terhadap segala usaha dan penat lelah dalam membangun dan memajukan syarikatnya. Perkataan puas dan bangga tidak ada dalam kamus hidupnya. Sebagai usahawan, Dato’ Haji Ilias selalu menekankan semangat untuk terus berkerja keras.

Sumber: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu