Pemilihan kota London sebagai tapak permulaan syarikat ini adalah bersesuaian dengan faktor penggunaan bahasa dan potensi memasuki pasaran yang lebih kondusif. Nama syarikat juga dipilih dengan mengambil kira semua aspek budaya dan pasaran antarabangsa. Billadam juga telah membuat anjakan paradigma mengenai idea bisnes terutama dalam membuat perubahan dari idea konvesional ke idea yang lebih dinamik.
Aplikasi kreatif yang direka dan dibangunkan oleh Billadam adalah menggunakan teknologi 3G bagi menukar peta yang boleh dimuat turun ke telefon bimbit. Billadam telah berjaya menarik minat beberapa syarikat di London untuk bekerjasama dengan syarikat mereka. Antaranya syarikat penerbit dan pencetak buku peta terbesar dan tersohor di London iaitu A-Z Map Co Ltd. Billadam menjalin usahasama sebagai rakan kongsi pintar bagi perekaan dan pembangunan aplikasi produk A-Z Map Mobile Content Map of London yang mana melalui kerjasama ini telah memberi keyakinan kepada syarikat-syarikat lain di London untuk mendapatkan khidmat Billadam.
Menurut pemilik Billadam Associates Sdn. Bhd., antara cabaran terbesar untuk memasuki pasaran Eropah dan United Kingdom adalah mendapatkan modal dari Malaysia terutama dengan pertukaran Ringgit ke Pound Sterling yang tinggi. Mereka terpaksa berbelanja besar terutama bagi kos penyelidikan dan pembangunan produk serta pasaran bagi penerokaan antarabangsa.
Penyelidikan adalah penting sebelum melabur dalam industri aplikasi kreatif telefon bimbit. Billadam sebuah syarikat bertaraf MSC menggunakan kemudahan Pusat Inkubator MDeC-MSC di Cyberjaya dan pejabat Pemasaran dan Pembangunan Kreatif di Accelarator,London Metropolitan University, London. Sokongan dari MDeC-MSC Malaysia, MOSTI dan MMU banyak membantu Billadam untuk memulakan operasi di Malaysia.
Mereka juga telah merancang untuk meluaskan empayar mereka ke Sepanyol, Germany, Perancis dan Itali. Oleh yang demikian, mereka sedang memperbaiki teknologi sedia ada dan memberi nilai tambah dengan teknologi aplikasi yang baru supaya hasil produk syarikat milik anak Malaysia ini dapat diterima di pasaran global.
Sumber: Majalah Usahawan Bilangan 52 (Tahun 9) PP10603/11/2007 . MICA (P) 159/05/2007 m/s 7 - 11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan