MM VitaoilsSdn Bhd (MM Vitaoils) telah ditubuhkan oleh Encik Mazlan Muhammad pada bulan Mei 1999 dan bermula sebagai sebuah syarikat perdagangan yang mengeksport barangan komoditi Malaysia seperti produk minyak sawit. Setelah perniagaan bertambah maju, Encik Mazlan mendapati terdapat permintaan pasaran yang besar bagi produk minyak sawit yang berkualiti, lalu beliau memasuki segmen perkilangan untuk memanfaatkan peluang daripada permintaan ini.
Sejak beberapa tahun, Encik Mazlan terus memberikan tumpuan terhadap usaha pembaikan proses perkilangan MM Vitaoils dan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kualiti dan rangkaian produk dan memasarkan produk-produknya. Kilang MM Vitaoils di Shah Alam mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 12,000 tan metrik dan kefleksibelan menggunakan berbagai bahan pembungkusan seperti dompet nylon, tab, tin, tin jerry, botol, karton, dram dan tangki fleksibel. Jenis bungkusan yang berbagai saiz telah membolehkan MM Vitaolis memenuhi permintaan pasaran yang lebih luas, daripada pengguna isi rumah hingga kepada pelanggan yang lebih besar seperti dalam industri makanan.
Sejak beberapa tahun, MM Vitaoils telah membangunkan pasaran eksport yang seimbang dan hampir kesemua produknya kini adalah untuk dieksport. Sehingga kini, kesemua produknya dieksport ke 63 negara di Asia, Eropah, Timur Tengah dan Afrika. Melalui pelaburan dalam teknologi untuk pembangunan produk, MM Vitaoils sehingga kini telah membangunkan lebih daripada 24 jenama sendiri seperti Palmas, Serimas dan Rise and Shine dan Qualitaste. Pertumbuhan perniagaan juga telah dibantu oleh program pemasaran dan penjenamaan yang berkesan yang dikatkan dengan produk berasaskan minyak sawit kualit tinggi yang dipromosikan sebagai alternative gaya hidup yang lebih sihat.
MM Vitaoils mendapat bantuan daripada berbagai-bagai skim dan program Kerajaan sepanjang pertumbuhannya yang menyumbang kepada kejayaannya mengembangkan perniagaan. MM Vitaoils mendapat pembiayaan daripada SMIDEC dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk pembangunan kualiti dan produk. Jabatan R&D dalaman MM Vitaoils saling berhubung dengan MPOB untuk menguji produk baharu di loji printis MPOB. Di samping itu, Geran Promosi Jenama MATRADE dan Geran Pembangunan Pasaran digunakan dalam usaha membangunkan pasaran eksportnya. Bantuan pemasaran juga diperoleh daripada MATRADE dan MPOB yang membantu menghubungkan MM Vitaoils dengan bakal pelanggan dari luar negara.
MM Vitaoils juga diberikan kelayakan taraf perintis daripada Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) yang membolehkan MM Vitaoils mendapat 70% pengecualian cukai pendapatan. Kakitangan MM Vitaoils daripada pelbagai jabatan telah berpeluang menghadiri sesi latihan percuma yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia.
Mengimbas kembali, Encik Mazlan berpendapat beberapa ciri penting yang membantunya menerajui kejayaan dalam perniagaanya ialah kesungguhan, pemikiran positif dan kekuatan dalaman. Encik Mazlan juga percaya bahawa PKS yang boleh mengenal pasti trend dan mengamalkan pendekatan yang tertumpu pada pelanggan akan lebih berkemungkinan berjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan