E-Mail: lippikmkk@gmail.com

05 Mac 2009

Dato' Hilmey menerajui bidang ICT

Dunia kini memasuki era globalisasi yang menyaksikan setiap negara merancang strategi mampan bagi memastikan rakyat mereka dapat bersaing dengan negara-negara lain. Malaysia, sebuah negara yang proaktif dalam merencana pertumbuhan ekonomi untuk kesenangan rakyatnya, telah melihat penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sebagai alat yang paling ideal bagi memenuhi hasrat tersebut.


datohilmi.jpg

Dato' Mohd Hilmey Mohd Taib

Pada mulanya, negara kekurangan peserta tempatan dalam industri ICT ini. Oleh kerana itu, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan galakan kepada usahawan-usahawan bumiputera untuk menerokai bidang yang berpotensi luas ini. Usaha pihak kerajaan telah mula menampakkan hasilnya apabila kini muncul beberapa usahawan bumiputera yang disegani dalam industri ini.

Antara usahawan Bumiputera yang berani menyahut seruan kerajaan ini adalah Dato' Mohd Hilmey Mohd Taib, bekas Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang kini merupakan Pengerusi Eksekutif HeiTech Padu Berhad, salah seorang peserta tempatan ICT yang disegani di negara ini.


Dato' Hilmey adalah seorang akauntan bertauliah dan pemegang ijazah ekonomi dalam jurusan perakaunan dari Universiti Malaya. Beliau juga mempunyai MBA dari Cranfield Institute of Technology, United Kingdom. Perjalanan karier beliau bermula sebagai Pegawai Bank di Malayan Banking Berhad. Selepas dua tahun menabur bakti, beliau berkhidmat pula di Messrs. Hanafiah, Raslan dan Mohamad sebagai Juruaudit Kanan. Pada tahun 1981, Dato' Hilmey telah diamanahkan jawatan akauntan di Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), di mana beliau memainkan peranan penting dalam kejayaan Skim Amanah Saham Nasional. Ini telah membawa kepada pelancaran skim amanah saham yang kedua, Amanah Saham Bumiputera (ASB).


Ketika ditanya bagaimana beliau boleh memilih bidang baru yang begitu asing (ICT) dari kemahiran dan pengalaman silamnya, Dato' Hilmey menjelaskan "cinta"nya pada dunia ICT berputik semasa beliau bertugas sebagai akauntan di ASNB.


"Sebagai akauntan, saya adalah salah seorang pengguna IT yang aktif. Saya dapati penggunaan IT sebagai cara terbaik yang berupaya menjadikan kerja lebih mudah, cepat dan berkesan," jelas beliau.


Pembabitan beliau secara aktif dalam bidang ICT bermula pada tahun 1989 apabila dipertanggungjawabkan untuk mengetuai projek pemodenan dan pengkomputeran ASN, ASB, Pos Malaysia dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan. Kejayaan yang dicapai melalui projek-projek ini menjadi pemangkin kepada beliau untuk terus menerokai bidang ICT yang pada masa itu masih baru. Sejak dari hari itu,beliau tidak lagi menoleh ke belakang dan ditambah dengan minatnya yang semakin mendalam, Dato' Hilmey tidak ragu-ragu menerima tanggungjawab untuk menubuhkan PNB Information Technologies (PNBIT), anak syarikat PNB yang terlibat dalam bidang teknologi maklumat.


Komitmen jitu bekas Ketua Eksekutif Kumpulan PNB ini dalam bidang ICT jelas terpancar apabila beliau memutuskan untuk mengambil alih pengurusan (Management Buy Out-MBO) ke atas PNBIT pada 31 Disember 1997.


"Tindakan saya meninggalkan PNB tidak dirancang. Kebetulan pula ketika itu PNB telah diarahkan oleh pihak kerajaan untuk menumpukan perhatian pada bidang pelaburan dan PNBIT pula melibatkan diri dalam projek IT kerajaan. Saya hanya merebut peluang yang ada di depan mata dan menawarkan diri untuk mengambil alih PNBIT," jelasnya lagi.


Menurut Dato' Hilmey, langkah pengambilalihan PNBIT turut dirangsang oleh saranan YAB Perdana Menteri yang menyeru teknokrat bumiputera untuk bergiat aktif dalam bidang-bidang perniagaan yang berpotensi.


Menyingkap kembali detik-detik semasa proses MBO, Dato' Hilmey menjelaskan bahawa kejayaan proses MBO banyak bergantung kepada bantuan dan sokongan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), selaras dengan fungsinya untuk membantu golongan usahawan bumiputera. PUNB telah membantu dari segi pinjaman kewangan dan turut menjadi pemegang saham pada masa itu. Alhamdulillah, dalam tempoh tiga tahun sahaja pinjaman tersebut telah berjaya dilunaskan. Secara peribadi, Dato' Hilmey merakamkan ucapan ribuan terima kasihnya atas sokongan PUNB sehingga menjadikan beliau seorang usahawan Melayu yang disegani dan berupaya mengemudi HeiTech sehingga kedudukan sekarang.


Selepas tiga tahun MBO, HeiTech Padu telah menjadi syarikat bumiputera IT pertama yang disenaraikan di papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Penyenaraian HeiTech di BSKL adalah kejayaan terbesar beliau sebagai usahawan tempatan dalam industri ICT di Malaysia. Lebih membanggakan lagi apabila HeiTech telah muncul antara lima teratas di kalangan syarikat-syarikat ICT termasuklah syarikat ICT multinasional yang lain.


Menurut Dato' Hilmey, kini selepas lima tahun berdikari, HeiTech masih utuh dan semakin berkembang. Transformasi daripada 'air craft carrier' semasa bernaung di bawah PNB kepada 'assault boat' di HeiTech sekarang telah memberi pengalaman dan nilai yang amat berharga.


Bercakap mengenai resipi kejayaan HeiTech Padu, Dato' Hilmey menjelaskan kepercayaan kepada diri sendiri merupakan kunci utama untuk berjaya.


"Kejayaan kita adalah kerana kita sebagai orang tempatan berani untuk membangun dan melaksanakan sistem komputer sendiri. HeiTech telah menghubungkan jurang antara insan dan teknologi melalui produk dan perkhidmatan yang dibangunkan daripada permulaan oleh kakitangannya sendiri. Kita telah memberi perubahan kepada gaya hidup rakyat Malaysia. Melalui sistem-sistem pengkomputeran yang dibangunkan oleh HeiTech seperti pengkomputeran pejabat pos, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara, perjalanan kehidupan harian rakyat Malaysia menjadi lebih mudah. Ini secara tidak langsung menjadikan rakyat Malaysia lebih efektif dan berdaya saing. Pencapaian dan kejayaan ini amat membanggakan seluruh warga HeiTech," jelas Dato' Hilmey.


Tambah beliau lagi, kakitangan HeiTech perlu sentiasa peka dan terkini terhadap perubahan dan perkembangan teknologi ICT. Justeru, HeiTech menggalakkan kakitangannya supaya terus belajar bagi meningkatkan lagi profesionalisma mereka.


"HeiTech memerlukan kakitangan yang bukan sahaja tahu mengenai sesuatu teknologi tetapi mahir dan menguasai teknologi berkenaan. Saya percaya hasil yang berkualiti lahir daripada cetusan idea dan hasil kerja kakitangan yang berkualiti," jelas Dato' Hilmey.


HeiTech katanya sungguh bertuah kerana mempunyai kakitangan yang berdedikasi dan berani untuk mencuba dan melaksanakan sendiri idea dan kerja mereka. Kakitangan HeiTech terlibat sepenuhnya dalam sesuatu projek dari awal hingga akhir. Kini mereka juga adalah usahawan kerana diberi peluang untuk memiliki saham dalam syarikat itu.


Bercakap mengenai strategi untuk mengukuhkan lagi kedudukan syarikat, Dato' Hilmey menjelaskan HeiTech telah menyusun strategi yang mampan bagi memastikan kejayaan jangka masa panjang.


Kita tak mahu kelihatan sebagai terlalu besar tetapi tidak mampan. Kita perlu terus cemerlang kerana semua orang tahu cara-cara untuk bertahan tetapi hanya segelintir sahaja tahu cara-cara mencatat kegemilangan. Inilah masanya untuk membezakan kita dengan orang lain," jelas beliau.


Menurut Dato' Hilmey, harapannya terlalu tinggi pada HeiTech Padu Berhad dan ingin melihat syarikatnya terus berdiri kukuh, 'berdiri sama tinggi duduk sama rendah' dengan gergasi-gergasi ICT antarabangsa.


Beliau percaya usaha murni syarikatnya untuk membantu kerajaan dalam usaha membudayakan penggunaan ICT dalam kehidupan seluruh rakyat Malaysia akan menjadi kenyataan.


Dato' Hilmey dikurniakan lima orang cahayamata dan isternya, Datin Salbiah Hussein, surirumah sepenuh masa banyak memberi sokongan moral atas kejayaannya selama ini.


Beliau yang berasal dari Sentang, Kertau, sebuah perkampungan kecil yang berhampiran dengan Sungai Pahang memang gemar dengan sukan golf dan memancing.


"Saya suka dengan sukan golf. Sekiranya tidak ada komitmen kerja di sebelah pagi, saya akan bermain golf di Kelab Golf Negara Subang sebagai satu senaman. Selain itu, satu atau dua kali setahun saya akan masuk ke hutan tempatan untuk memancing.Bukanlah jumlah tangkapan yang penting tetapi masa untuk menenangkan fikiran bersama kawan-kawan itu yang amat bermakna," jelas usahawan yang murah dengan senyuman ini.


Sumber: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu