Encik Shaifulizam Mohd. Saleh, Pengarah Urusan Trisystems Engineering Sdn Bhd telah membuktikan bahawa keupayaan kaum Bumiputera dalam bidang keusahawanan terutama dalam bidang-bidang yang berteknologi tinggi seperti industri petroliam dan gas boleh dibanggakan. Dengan bantuan dan sokongan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Trisystems Engineering Sdn Bhd kini telah berjaya mencapai kedudukan yang membanggakan sekarang.
Trisystems Engineering mula beroperasi pada tahun 1995. Ia adalah sebuah syarikat perkhidmatan kejuruteraan elektrik untuk industri petroliam dan gas di Malaysia. Syarikat Trisystem Engineering berjaya melepasi dari Skim Keusahawanan PUNB pada 29th Mei, 2001.
Kini Trisystems Engineering berdiri kukuh dan mempunyai hampir 50 orang kakitangan. Ketika mula beroperasi dulu, modal berbayar hanya RM250,000 dan dikongsi bersama seorang rakan yang menjadikan pegangan ekuiti mereka sebanyak 70%; manakala selebihnya disumbangkan oleh PUNB. Oleh kerana peningkatan prestasi, pada tahun 1998, Trisystems Engineering telah menaikkan lagi modal berbayar kepada RM1,000,000 melalui penerbitan bonus ke atas saham-saham yang sedia ada. PUNB turut juga memberi kemudahan dalam bentuk stok pinjaman dan pinjaman modal pusingan dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM4,500,000. Kemudahan ini merupakan modal pusingan bagi Trisystems Engineering.
Ketika ditanya bagaimanakah timbul minat menceburi bidang yang cukup mencabar ini, Shaifulizam berkata minatnya itu datang setelah dia merasakan bahawa dia sudah mempunyai cukup pengalaman dan pengetahuan yang meluas dalam bidang ini. Shaifulizam adalah graduan dari California State University dan mendapat ijazah dalam kejuruteraan elektrik pada tahun 1985. Selepas tamat sahaja pengajiannya selama empat tahun di luar negera, beliau terus berkhidmat dengan Esso Production Malaysia Inc. selama hampir 9 tahun.
"Pengalaman selama 9 tahun di Esso dalam bidang yang berkaitan membolehkan saya memberanikan diri untuk membuka syarikat ini. Kelulusan saya, pengalaman kerja dan minat dalam industri ini juga memberi keyakinan kuat untuk saya bidang ini. Alhamdulillah, setelah hampir 8 tahun dalam perniagaan ini, saya tahu bahawa pilihan saya adalah tepat sekali. Memang ini cita-cita dan harapan saya," kata Shaifulizam dengan penuh yakin.
Seperkara lagi yang merangsang minatnya untuk menceburi perniagaan ini adalah apabila melihat tidak ramai orang Melayu yang terlibat dalam jenis perniagaan seperti ini. Walaupun kepakaran orang Melayu dalam bidang ini memang sudah terbukti, namun kebanyakan mereka masih lagi berkhidmat di Petronas, Exxon Mobil dan Shell. Oleh sebab itu, pembabitan mereka dalam perniagaan ini masih berkurangan dan perlu digalakkan.
Kini perkembangan Trisystems Engineering begitu membanggakan. Syarikat ini turut juga menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi hasil idea anak-anak tempatan. "Syarikat saya memberi perkhidmatan yang tertumpu kepada integrasi komputer untuk industri petrolium dan gas, contohnya sistem kawalan automasi, sistem pengera kebakaran dan gas serta sistem kawalan turbin gas. Kebanyakan sistem ini dipasang di pelantar minyak luar pantai dan di logi-logi penapisan di Kertih dan Bintulu. Boleh dikatakan hampir 90 peratus perkhidmatan syarikat adalah untuk industri petroliam dan gas," jelas Shaifulizam.
Cabaran dalam perniagaan
Sebagai sebuah syarikat Bumiputera yang masih menimba pengalaman sudah tentu banyak cabaran yang perlu ditempuhi. Menurut Shaifulizam, sama seperti usahawan yang lain, beliau juga telah melalui banyak cabaran dan dugaan untuk sampai ke peringkat yang ada pada hari ini. Cabaran yang datang selalunya berkaitan dengan masalah kewangan, tidak mendapat pesanan dan masalah yang berkaitan dengan kakitangan.
"Selain dari usaha sendiri, saya bersyukur kepada PUNB dan PETRONAS yang memberikan sokongan padu sehingga syarikat ini boleh berjaya," akui Shaifulizam.
Jelas Shaifulizam, beliau tidak menggunakan kelebihan di atas tiket Bumiputera untuk berjaya. Seperti orang lain juga, beliau perlu bersaing dengan syarikat-syarikat lain yang setanding termasuklah syarikat yang diusahakan oleh bangsa asing. Untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, sudah tentu kualiti dan mutu kerja yang tinggi perlu ditunjukkan dan perlu diperbaiki dari masa kesemasa. Persaingan inilah yang perlu diharungi oleh Trisystems Engineering.
Ciri-ciri usahawan berjaya
Menurut Shaifulizam, untuk menjadi usahawan yang berjaya, seseorang itu mesti rajin bekerja, berpengetahuan luas dalam bidang yang diceburi dan mempunyai sikap tekun serta tidak mudah berputus asa. Seperkara lagi, ramai orang beranggapan bahawa berniaga adalah untuk menjadi kaya. Jika konsep inilah yang menjadi amalan dan pegangan, maka adalah sukar bagi seseorang untuk mencapai kejayaan. Tetapi di sebaliknya, jika sesaorang itu berniaga untuk mencari rezeki, maka lebih mudah untuknya beroleh kejayaan.
"Saya berpendapat, berniaga ini serupa seperti kita bekerja makan gaji, cuma bezanya apabila kita berniaga, kita bekerja untuk diri sendiri. Jadi, saya mesti tekun, rajin dan berlaku adil pada kakitangan. Insya'allah dengan ini , syarikat akan menjadi lebih maju.
"Sebenarnya prinsip saya mudah sahaja. Berniaga untuk mencari rezeki. Kalau dengan berniaga, Tuhan memberikan rezeki yang lebih sikit bukan untuk diri sendiri semata-mata tetapi untuk di kongsi dengan pekerja-pekerja saya," jelas usahawan muda yang berwawasan tinggi ini.
Sungguhpun begitu, Shaifulizam tidak menafikan rezeki orang berniaga sememangnya banyak. Memang betul apa yang diperkatakan bahawa 9 daripada 10 rezeki itu datangnya melalui aktiviti perniagaan. Seperkara lagi, beliau berpendapat bahawa tidak perlu ada sesuatu keistimewaan dan keajaiban untuk berjaya dalam bidang perniagaan kerana apa yang penting ialah niat betul dan usaha yang gigih.
Keluarga dan masa lapang
Berasal dari Kampung Subang dan merupakan bapa kepada 4 cahayamata, beliau mendapat sokongan dan dorongan perniagaan dari keluarga. Di hujung minggu, beliau lebih suka menghabiskan masa di padang golf.
Sumber: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan