E-Mail: lippikmkk@gmail.com

05 Mac 2009

Noraini Pantang Menyerah Kalah DRC Tubuh Pasaraya Perabot Jalan Raya Pertama Di Malaysia

Kejayaan usahawan wanita dalam bidang perniagaan yang dimonopoli kaum lelaki saban tahun semakin bertambah. Nama-nama seperti Datuk Maznah Hamid dan Noraini Sutan membuktikan kemampuan daya saing wanita dalam bidang yang selama ini dikuasai oleh lelaki. Noraini Ishak, Pengarah Urusan Double Road Care Sdn Bhd juga tidak kurang hebatnya. Beliau adalah antara usahawan wanita yang semakin menginjak nama dalam industri pembuatan perabot jalan raya.

Memulakan kerjaya sebagai eksekutif dan setiausaha di beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa, beliau mengakui bekerja di syarikat-syarikat tersebut mendedahkannya dengan selok-belok perniagaan. “Setiap syarikat mendedahkan saya dengan teknik berdepan dengan pelanggan sama ada secara formal atau informal. Malah melalui syarikat terakhir saya berpeluang mengenali industri perabot jalan raya. Sepanjang tiga tahun bersama syarikat itu, saya didedahkan dengan selok-belok industri dan berkenalan dengan pembekal-pembekal serta pelanggan utama dalam industri seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan PLUS,” katanya.

Menurut anak kelahiran Singapura ini, selepas tiga tahun mengharungi halangan dan cabaran demi cabaran, beliau mengambil keputusan drastik untuk berhenti kerja lalu membuka syarikat sendiri. Di sinilah bermula era beliau bersama DOUBLE ROAD CARE SDN BHD (DRC). Tanpa disangka-sangka beberapa minggu selepas mendaftarkan syarikat tersebut beliau telah ditawarkan satu kontrak membekalkan perabot jalan raya bernilai RM1.46 juta. Kontrak tersebut memerlukan Noraini membekal dan memasangkan perabot-perabot jalan raya.

Antaranya papantanda standard dan tunjuk arah, guardrial, road stud dan sebagainya bagi projek menaik taraf jalan dari Lencongan Barat Sungai Petani melalui Pekan Semeling ke Pekan Bedong di Kuala Muda, Kedah. “Menerima kontrak pertama dari JKR secara nominated sub-con umpama bulan jatuh ke riba. Mula-mula khuatir juga sebab tidak cukup modal. Tetapi, selepas difikirkan, ini rezeki yang datang bergolek. Saya terima kontrak tersebut,” kata Noraini.

Bagi mana-mana kontraktor, pemberian nilai kredit daripada pembekal adalah modal yang paling berharga, apatah lagi bagi usahawan yang baru berniaga. Namun, bagi Noraini, ketelusan berniaga adalah umpama modal yang membuka luas pelbagai pintu peluang. “Sebaik memperoleh kontrak JKR itu, saya berjumpa dengan seorang pembekal dan pengilang bernama Chua untuk berbincang mengenai pembelian dan penghantaran bahan mentah. Oleh kerana syarikat saya baru pertama kali berurusan, saya diminta untuk membeli secara CBD (cash before delivery). Secara jujur, saya beritahu saya tiada modal untuk membeli bahan mentah yang bernilai hampir 1/2 juta ringgit.

Apabila diminta untuk memberikan post dated cheque sebagai cagaran, sekali lagi saya beritahunya dengan jujur, buku cek syarikat hanya siap seminggu lagi. Lama dia tenung muka saya. Kemudian, dia keluarkan borang maklumat kredit. Hari itu juga saya memperolehi kredit fasiliti bernilai RM500 000. Tiga hari kemudian material dihantar ke tapak,” katanya tersenyum. Tambah Noraini, beberapa bulan kemudian beliau bertanya kepada Chua faktor yang menyebabkan dia bersedia memberi kredit walaupun tahu Noraini baru berniaga. “Kata Chua, dia somehow or rather boleh menilai air muka seseorang.

Apabila dia pandang muka saya, dia nampak ketelusan dan kejujuran. Katanya, jarang sekali hari ini orang boleh bercakap secara terus-terang yang mereka tidak punya duit. Bia-sanya kita suka menutup kelemahan dan kekurangan kita dengan bercakap besar. Semenjak itu, saya pastikan ketelusan menjadi amalan berniaga,” kata Noraini bersungguh-sungguh. Noraini mengakui pada awal perniagaan, dia tiada modal dan hanya menggunakan wang saku yang agak minimal untuk bergerak.

Hanya setelah lebih 80 peratus kerja-kerja pemasangan perabot jalan dengan JKR siap barulah beliau memohon dan memperolehi kontrak pembiayaan daripada MARA sebanyak RM250 000. Malah, di salah satu taklimat perniagaan di MARA, beliau diperkenalkan dengan Skim Kilang SME Bank (SKB). “Memandangkan sebelum ini kami beroperasi di lot rumah kedai, SME Bank mempelawa kami menyertai SKB. Melalui SKB, syarikat memperolehi pembiayaan sebanyak RM800 000 untuk pembelian mesin dan modal berputar.

Semenjak berpindah ke kompleks kilang SME Bank (KKB) di Ipoh pada tahun 2007, saya berupaya mengikuti banyak seminar bertaraf antarabangsa menggunakan geran yang disediakan,” kata Noraini yang baru sahaja mengikuti seminar Profesional Presentation and Public Speaking oleh Dr Alistair King. Noraini mengakui kepakarannya hasil daripada kerja keras mempelajari setiap aspek teknikal dan cara pemasangan produk.

Malah, personaliti Noraini yang sentiasa mahu maju ke depan memberi kelebihan kepadanya apabila berhadapan dengan pelanggan. “Saya ambil masa untuk belajar mengenali ratusan produk perabot jalan raya. Saya sendiri pergi ke tapak pembinaan dan tengok pekerja buat kerja dari mula sehingga habis. Walaupun saya berada dalam industri yang dimonopoli oleh kaum lelaki, kepakaran dan sikap profesional, juga telus, membuatkan majoriti pelanggan selesa untuk berurusan dengan saya. “Mempunyai kilang membuat papan tanda jalan raya memberi satu kelebihan yang meletakkan saya ke hadapan daripada kontraktor yang lain.

Kebanyakan kontraktor terutama kontraktor pembinaan jalan raya lebih selesa memberi kerja-kerja pemasangan perabot jalan raya secara sub contract,” katanya. Kelebihan itu ditambah dengan pengalaman Noraini telah meletakkan DRC ke tahap yang membanggakan. Ini jelas apabila DRC menerima beberapa kontrak yang telah dimeterai bernilai RM6 juta. Menurut Noraini, beliau pantang menyerah kalah apabila menerima tentangan apatah lagi apabila seseorang mengatakan ‘tidak boleh’ kepada ideanya.

Prinsip inilah yang memberi Noraini kekuatan dan lonjakan kepada idea penubuhan pasaraya perabot jalan raya pertama di Malaysia. “Pasaraya yang kami namakan DRC Cash n Carry akan memulakan operasi pada Disember 2008. Ia akan memuatkan perabot-perabot jalan raya yang kami usahakan seperti papan tanda jalan, produk keselamatan jalan raya dan lain-lain aksesori. Selain itu, bagi menjadikan pasaraya ini mesra pelanggan dan sesuai digunakan oleh semua golongan, kami turut menempatkan jenama terkenal Mr. Mark Tools (M) Sdn Bhd dan Colourland Paint,” kata Noraini.

Menurut Noraini, beliau percaya menjelang akhir tahun 2009, DRC Cash n Carry akan mempunyai outlet di setiap negeri di Malaysia. Bagi tujuan itu, syarikatnya telah bekerjasama dengan MARA di bawah program mentor-mentee untuk menjadikan impiannya satu realiti. “MARA sudah meluluskan pembiayaan bernilai RM1.5 juta untuk memperkasakan mentor. Di mana main outlet DRC Cash n Carry di Ipoh akan menjadi mentor.

Saya mengalu-alukan para usahawanBumiputera yang berminat dan mempunyai lokasi sesuai untuk mengambil peluang ini untuk menjadi mentee dengan membuka outlet di setiap negeri. Pembiayaan bernilai RM250 000 boleh didapati daripada MARA. Kami mahu mentee membesar sebagaimana DRC. Lagi besar, lagi bagus, sekurang-kurangnya kami dapat menolong kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera,” jelasnya.

Selain pembiayaan daripada MARA dan SME Bank, DRC juga telah menerima geran bagi pembelian mesin peningkatan proses bernilai RM67 500 daripada SMIDEC. “Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan dan rasa terima kasih kepada Dato’ Hafsah Hashim, selaku CEO SMIDEC kerana sudi melawat kilang kami tempoh hari. Dato’ juga berkesempatan meluangkan masa kira-kira tiga jam untuk berbincang dan bertukar-tukar pendapat. Hasilnya melalui SMIDEC juga kami bakal memperolehi geran permulaan perniagaan untuk pasaraya bernilai RM100 000.

Malah, kami juga sudah menandatangani kerjasama untuk program one-to-one coaching daripada ActionCoach hasil kerjasama SMIDEC dan Perak Enterpreneur Skill Development Corporation (PESDEC),” katanya. Noraini percaya sikapnya yang tidak suka bertangguh membuat keputusan memberinya kekuatan untuk terus maju dalam industri ini. Malah, beliau juga berpesan kepada bakal usahawan supaya jangan terlalu lama membuat kajian pasaran sehingga akhirnya menghasilkan gambaran negatif mengenai bidang yang ingin dimasuki. “Apabila timbul minat untuk menjadi usahawan, pilih bidang yang kita rasa mahir dan sesuai, masukkan kedua-dua kaki dan mulakan berniaga.

Membuat kajian demi kajian secara teori terlalu lama selalunya bakal menggagal dan menenggelamkan minat kita untuk berniaga. Adalah lebih baik teruskan berniaga. Buat sebaik mungkin dan jika gagal, bangun semula, jangan putus asa,” tegasnya. Noraini turut menegaskan kepentingan mencari ilmu dan menyelesaikan masalah secara bijak. Malah, beliau serius apabila ditanya mengenai bayaran balik hutang. “Saya percaya kepada perbinca-ngan dengan pembekal. Jangan sesekali lari daripada membayar hutang. Apabila sudah biasa lari daripada masalah, kelak susah untuk dapatkan kepercayaan.

Saya sendiri apabila menghadapi masalah pembayaran, lebih rela dimarahi pembekal daripada melarikan diri. Ini penting jika kita mahu berurusan untuk jangka masa panjang. Lari akan lebih menambahkan masalah sedia ada. “Sebagai usahawan, selain mencari peluang perniagaan, kita mesti ‘gali’ maklumat mengenai dana-dana dan geran yang disediakan oleh kerajaan. Jika ada Gerak Usahawan atau seminar keusahawanan, usahawan mesti pergi. Usahawan juga mesti membiasakan diri mengikuti persatuan.

Banyak maklumat yang boleh diperolehi. Melalui persatuan juga usahawan boleh belajar menangani masalah perniagaan,” kata Noraini yang juga ahli PENIAGAWATI dan Blue Mosque Fraternity di bawah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Sumber: Majalah Usahawan Sukses

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu