PULAU PINANG, 21 Julai (Bernama) -- Setelah menempa nama dalam perniagaan francais steamboat dan dim sum halal, Syazanaz Multi Corporation (M) Sdn Bhd kini mengembangkan sayapnya dalam perniagaan restoran pelancongan dan pusat hiburan.
Dengan lokasi perniagaan yang strategik di pesisiran pantai Persiaran Gurney, di sini, Syazanaz yang menggunakan jenama perniagaan, Medusa Gold Bistro, memperkenalkan konsep baru perniagaan yang menggabungkan elemen restoran, hiburan, spa dan refleksologi di bawah satu bumbung.
Pengarah Urusan Syazanaz Che Azman Zainal Abidin berkata, sesuai dengan kedudukan Medusa Gold di jajaran tumpuan pelancong, restoran itu akan dipromosikan sebagai hub hiburan di Pulau Pinang serta pusat untuk melatih remaja dan usahawan muda dalam perniagaan berkaitan.
Ketika ditemui Bernama di sini, beliau berkata, syarikatnya akan bekerjasama dengan beberapa agensi di bawah kendalian Mara untuk melatih usahawan yang berminat dalam pengendalian restoran dan Makanan dan Minuman (F&B), spa dan refleksologi serta industri pelancongan.
"Sambil bekerja, kita melatih mereka dalam bidang yang mereka minati supaya lebih ramai usahawan Bumiputera dapat menceburi bidang perniagaan dan merebut peluang dari skim-skim bantuan yang disediakan kerajaan untuk mereka memulakan perniagaan," katanya.
Bermula dengan pelaburan RM2 juta, Medusa Gold, yang akan memulakan operasinya pada 26 Julai ini, bukan sahaja menjadi tempat untuk pelancong bersantai, malahan menyediakan pelbagai kemudahan untuk golongan usahawan berbincang mengenai perniagaan mereka, katanya.
Restoran pelancongan yang boleh memuatkan kira-kira 600 orang pada satu masa itu, membahagikan aktivitinya kepada beberapa bahagian iaitu sudut hiburan dengan persembahan muzik secara langsung, ruang mesyuarat, perpustakaan, restoran dan spa.
Che Azman berkata Medusa Gold juga akan dilengkapi dengan kemudahan WiFi bagi membolehkan pengunjung melayari internet sambil menikmati keenakan makanan barat yang disediakan di situ.
"Keistimewaan restoran Medusa Gold ini terletak pada pizza rangupnya dan terdapat 23 menu pizza disediakan untuk pengunjung menjamu selera," katanya.
Beliau berkata sasaran utama Medusa gold ialah menarik rakyat asing yang bekerja dan menetap di Pulau Pinang untuk mengunjungi restoran itu.
Buat permulaan, katanya, seramai 30 pekerja, yang 90 peratus daripadanya adalah penduduk tempatan, digaji untuk mengendalikan operasi restoran yang turut menggarapkan konsep kehijauan tumbuh-tumbuhan sebagai penyegar suasana.
Restoran yang dibuka mulai pukul 3.00 petang hingga 3.00 pagi setiap hari itu menyasarkan perolehan RM6 juta setahun, katanya.
Selain menawarkan francais steamboat dan dim sum halal, Shazanaz mengendalikan perniagaan batik, mengeluarkan jus buah pala serta menjadi pakar runding penjenamaan dan pembungkusan untuk usahawan Bumiputera.
Sumber: BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan