E-Mail: lippikmkk@gmail.com

03 Jun 2009

Sistem pengangkutan awam bersepadu di semua bandar

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah
bhnews@bharian.com.my


LPKP rancang naik taraf kemudahan penuhi keperluan rakyat

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah merancang mewujudkan sistem pengangkutan awam bersepadu di semua bandar dan pekan utama di negeri itu sebagai langkah utama menaik taraf kemudahan terbabit.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata sistem pengangkutan awam di seluruh negeri perlu diperbaiki bagi memenuhi keperluan rakyat, khususnya keselesaan kemudahan itu yang ketika ini berada pada tahap tidak memuaskan.

Katanya, kerajaan bertekad untuk mengubah keadaan itu dengan mewujudkan sistem pengangkutan awam bersepadu menerusi kerjasama pihak berkuasa tempatan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri.

"LPKP akan berbincang dengan semua pihak terbabit termasuk pada peringkat daerah untuk melaksanakan sistem pengangkutan awam bersepadu di setiap bandar dan pekan utama sebagai penyelesaian kepada masalah yang dihadapi sekarang.

"Ketika ini, pengangkutan awam di Sabah khususnya perkhidmatan bas tidak disediakan dengan teratur, manakala kemudahan terminal untuk bas dan pengguna dalam keadaan yang tidak sempurna," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan perkhidmatan bas di terminal Wawasan Plaza dan hadapan Kompleks Mahkamah di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Edmund Chong Ket Wah dan Pengarah LPKP Sabah, Ariffin Samsudin.

Liew berkata, pandangan orang ramai juga akan diambil kira untuk menentukan langkah bersesuaian menaik taraf sistem pengangkutan awam di Sabah, khususnya perkhidmatan bas.

"Orang ramai boleh menghantar pandangan atau aduan mereka menerusi laman web saya sendiri di www.vkliewoffice.info. Saya akan meneliti pandangan itu dan menjadikannya panduan ke arah melaksanakan pembaharuan dalam sistem pengangkutan awam di negeri ini," katanya. Bagi kawasan ibu negeri, katanya, langkah awal akan dilaksanakan ialah mewujudkan perkhidmatan bas bandar raya untuk menyediakan kemudahan bas selesa kepada pengguna di pusat bandar mulai 1 Jun ini.

Sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu