E-Mail: lippikmkk@gmail.com

03 Jun 2009

Umat Islam perlu waspada cara halus pesong akidah

BATU PAHAT: Umat Islam perlu sentiasa berusaha dan memastikan ikatan ukhwah sesama mereka kukuh, bagi mengelak wujud ruang kelemahan yang boleh dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerah, Datuk Ariss Samsudin, berkata langkah itu perlu kerana musuh Islam sentiasa mengintai dan mencari peluang dengan menggunakan pelbagai cara seperti memesongkan akidah, untuk melemah dan menguasai mereka.

Beliau berkata, mereka menggunakan logik mudah untuk memesongkan akidah seperti mengatakan pembacaan surah Yassin pada majlis tertentu, sebagai satu bidaah.

"Walaupun ancaman ini belum sampai ke tahap serius, namun umat Islam perlu sentiasa berwaspada dan melaksana usaha untuk mengukuhkan perpaduan serta mengelak sebarang bibit perpecahan.

"Kemusnahan dan hilangnya sesebuah tamadun Islam seperti pernah berlaku sebelum ini berpunca daripada kegagalan mereka membendung bibit perpecahan yang dirancang secara halus pihak tertentu.

"Malah, usaha membendung atau mengekang niat buruk pihak terbabit untuk menghancurkan Islam itu tidak terletak atas bahu satu pihak tertentu saja, ia adalah tanggungjawab semua umat Islam," katanya. Ariss berkata, cara halus yang diguna pihak terbabit untuk mencapai hasrat mereka itu turut mencakupi tindakan menjerumuskan umat Islam dalam pelbagai masalah atau gejala sosial.

Beliau berkata demikian pada program Jabatan Mufti Bersama Masyarakat dan Pelancaran Tabung Masjid Negeri Johor Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, di Masjid Jamek Kampung Mampan, dekat sini, kelmarin.

Hadir pada majlis anjuran bersama Jabatan Mufti Johor, Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) DUN Semerah, Pejabat Agama Daerah dan Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Mampan itu ialah Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin.

Selain RM10,000 sumbangan JPMM DUN Semerah, tabung itu turut berjaya mengumpul lebih RM2,000 yang diperoleh daripada umat Islam, pada majlis berkenaan. Ariss berkata, umat Islam perlu bangun dan menegakkan syiar Islam melalui pembabitan secara aktif dalam pelbagai aktiviti keagamaan, termasuk menyumbang tenaga atau harta untuk membina masjid.

"Saya difahamkan, kerajaan negeri akan melaksana projek pembinaan bagi menggantikan semua masjid dan sekolah agama di Johor yang berusia lebih 40 tahun, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

"Sebahagian besar kemudahan berkenaan sudah uzur dan ia perlu diganti dengan bangunan baru, bagi memberi keselesaan kepada umat Islam.

"Saya berharap semua penggerak serta ahli jawatankuasa masjid dalam DUN Semerah meningkatkan usaha, untuk menggalak orang ramai menyumbang pada tabung berkenaan," katanya.

Sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu