E-Mail: lippikmkk@gmail.com

Memaparkan catatan dengan label Info IT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Info IT. Papar semua catatan

10 September 2009

Blog niaga suri rumah

Menjadi suri rumah tidak bererti seseorang itu tidak mampu menyumbang kepada ekonomi keluarga.

TANGGUNGJAWAB sebagai seorang isteri dan ibu memerlukan kebijaksanaan dalam pembahagian masa dan komitmen, terutamanya bagi golongan yang bekerja.

Jika dahulu, ibu yang tidak bekerja digelar suri rumah sepenuh masa dan lazimnya bergantung pada sumber kewangan suami. Tetapi kini, menjadi suri rumah tidak bererti seseorang itu tidak mampu menyumbang kepada ekonomi keluarga. Terima kasih kepada dunia Internet yang penuh dengan 1001 peluang untuk menambah pendapatan.

Bagi Sabariah Mohd Norahim, 31, meninggalkan profesion sebagai jurutera rangkaian komputer di sebuah syarikat multinasional terkemuka di tanah air bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dibuat.

Namun keutamaan terhadap keluarga dan keinginan untuk melihat anak membesar di hadapan mata sendiri membuatkan Sabariah tekad meninggalkan dunia pekerjaan itu.

"Sebelum saya buat keputusan untuk berhenti kerja, pelbagai kajian telah saya jalankan tentang wanita yang bekerja dari rumah. Ini termasuklah produk-produk dan perkhidmatan yang lazim ditawarkan dan cara mereka menjalankan perniagaan," jelas Sabariah.

Menggunakan perkhidmatan blog percuma daripada Blogspot.com sebagai platform perniagaan, Sabariah mula membangunkan blog niaga itu sejak Januari 2008 secara sambilan ketika masih lagi bekerja. Blog yang diberi nama Pikoshop ini boleh diakses melalui http://pikoshop.blogspot.com.

Antara produk yang ditawarkan adalah tudung De Zahra dan produk penjagaan badan Victoria Secret. Jelas Sabariah lagi, menjelang musim perayaan, permintaan terhadap produk jualannya meningkat berbanding dengan hari-hari biasa.

Selain itu katanya, permintaan turut bertambah pada musim cuti sekolah kerana ramai yang mahukan produk itu untuk dijadikan hantaran perkahwinan.

Seorang lagi ibu, Salha Md. Zain, 28, turut menjalankan perniagaan secara dalam talian dari rumah. Blog niaga miliknya, Salhazain.com telah beroperasi sejak tahun lalu. Dibangunkan hasil bantuan suaminya yang bertugas di sebuah agensi kerajaan, Salhazain.com menggunakan WordPress sebagai enjin blognya.

Produk utama yang ditawarkan ialah korset wanita keluaran Hai-O Marketing. Blog niaga itu turut menawarkan aneka kuih raya bersempena ketibaan Syawal tidak berapa lama lagi. Namun, bukan hanya pada Hari Raya Aidilfitri, kuih raya Salha turut mendapat permintaan sewaktu perayaan lain seperti Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Jualan kuih raya menerusi Salhazain.com itu secara tidak langsung membantu ibunya yang sudah lebih 20 tahun berniaga kuih raya di Johor Bahru.

Menggunakan kaedah Online Banking sebagai kaedah pembayaran, Salha berpendapat kaedah itu sebenarnya memerlukan kredibiliti penjual, selain kepercayaan antara kedua-dua belah pihak iaitu penjual dan pembeli.

Menurut Salha lagi, pendapatan hasil jualan kuih rayanya boleh mencecah sehingga RM4,000 sebulan berdasarkan jualan tahun lalu. Jualan korsetnya pula mampu mencecah sehingga RM7,000.

Wan Rohani Wan Ismail, 30, berkongsi sebab yang sama dengan Sabariah kenapa dia bekerja dari rumah secara sepenuh masa. Sebenarnya, dia pernah bertugas sebagai pegawai teknologi maklumat di salah sebuah badan berkanun dan pernah menjadi jurutera di sebuah syarikat telekomunikasi.

"Anak-anak menjadi punca utama mengapa saya tekad untuk berhenti kerja sebagai jurutera pada April 2008 dan memulakan karier sendiri sebagai perunding insurans Takaful.

"Saya berjinak-jinak dengan perniagaan online sekadar untuk memenuhi masa terluang ketika berada di rumah. Akhirnya ia bertukar menjadi serius apabila saya mendapat permintaan daripada pelanggan. Pendapatannya juga agak memberangsangkan," ujarnya.

Blog niaga itu dibangunkan secara rasmi pada tahun 2009 semasa dia sedang sarat mengandung anak ketiga. Pada ketika itu, Wan Rohani banyak menghabiskan masa di rumah. Dia kemudiannya terfikir untuk meraih pendapatan sampingan, selain menjadi perunding insurans Takaful.

Blog milik Wan Rohani yang beralamat di http://comellotecollection.blogspot.com/ itu menawarkan pelbagai jenis pakaian kanak-kanak termasuk kasut.

Sungguhpun masih baru dalam dunia perniagaan Internet, dia mampu meraih lebih RM1,000 sebulan.

Bagi pemilik blog niaga Dechaqner, Liyana Zainal, 28, biarpun perniagaan itu baru dibangunkan beberapa bulan yang lalu secara sambilan, ia terbukti mampu menjana pendapatan tambahan. Menjadikan coklat sebagai produk jualan utama, Liyana mengusahakan pembuatan coklat itu bersendirian.

Sumber: Kosmo


09 September 2009

Laman sosial undang jenayah

MENGHAMPIRI Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi, pengguna laman web sosial kian rancak berbalas mesej, bermaaf-maafan dan berpesan pada halaman seperti Facebook, MySpace, Twitter serta banyak lagi.

Tulisan di 'Wall' umpamanya sarat dengan mesej 'Salam Lebaran', 'Selamat Menyambut Syawal' yang membuatkan Facebook aktif dan diperbaharui hampir setiap minit.

Laman web sosial seperti Facebook, MySpace, Twitter dan banyak lagi ibarat mengeratkan aur dengan tebing, merapatkan isi dengan kuku selain mendekatkan yang jauh.

Namun tanpa disedari, laman web sosial sebegitu mampu berubah wajah menjadi musuh dalam selimut atau udang di sebalik batu.

Kepopularan laman web sosial mengundang rasa terliur si penjenayah siber, seterusnya memancing mereka mensasarkan panah ke arah penghubung komunikasi terbabit dengan anak panah 'scam' atau phishing.

Ia tidak mustahil berlaku memandangkan penjenayah siber turut mengikut aliran semasa dan menyedari laman web sosial sebagai lubuk baru menguji pengguna Internet.

Kegiatan menyalahgunakan teknologi kini dikesan menular kepada laman web sosial seperti dilaporkan vendor perisian keselamatan F-Secure menerusi F-Secure Response Labnya, baru-baru ini.

Makmal itu memberi contoh akaun seorang blogger pro-Georgia, Cyxymu yang diserang dengan Distributed Denial of Service (DDoS) mengakibatkan jutaan pengguna Facebook dan Twitter lumpuh.

Kegiatan itu menyebabkan pengguna menghadapi masalah dengan rangkaian halaman mereka yang lembab dan berada dalam kedudukan 'offline' atau tidak boleh dibuka pada hari terbabit.

Ketua Pegawai Penyelidik F-Secure, Mikko Hypponen, berkata sasaran penjenayah siber hanya membabitkan individu tertentu, namun ia mempengaruhi keseluruhan komuniti.

"Kita tidak akan tahu siapa dalang di sebalik serangan ke atas Cyxymu, lebih memburukkan keadaan, mereka memiliki akses terhadap lebar jalur tertentu," katanya.

Komunikasi melalui Facebook bersangkut-paut dengan hubungan peribadi terhadap komuniti dan rakan mengaitkan pelbagai tahap kepercayaan apabila pengguna menerima mesej menerusi 'Wall' daripada rakan yang lain.

Tentunya penerimaan spam dan e-mel tidak diketahui dalam laman web sosial terbabit memburukkan tahap kepercayaan kita terhadap kerahsiaan platform digunakan yang disifatkan tidak selamat.

Apatah lagi Facebook kini memiliki 250 juta pengguna di seluruh dunia, fakta disedari penjenayah siber yang sudah pasti menjadikan laman web sosial ini sebagai sasaran.

Penasihat Keselamatan F-Secure, Sean Sullivan, berkata kelemahan menetapkan kata laluan adalah salah satu 'lubang' penjenayah siber yang pantas menggali rangkaian sosial untuk tujuan tertentu.

"Tujuan mereka mudah, dapatkan kata laluan dan loloskan diri ke dalam halaman sosial individu sebelum mencuri maklumat peribadi seperti nombor telefon rakan si pengguna, senarai hubungan dan banyak lagi.

"Kemudian penjenayah siber terbabit akan menjualnya data terbabit kepada penjenayah spam atau menggunakannya sendiri bagi mendapatkan duit melaluinya," katanya.

Sullivan berkata, kerosakan akibat akaun Facebook yang digodam akan menjadi lebih teruk sekiranya kata laluan sama digunakan untuk mengakses akaun e-mel lain.

"Lebih parah, si penjenayah yang sudah memperoleh kata laluan akan menukar semua kata laluan si pengguna pada laman web lain sebelum mendapatkan maklumat perbankan dan cuba menyelesaikan soalan keselamatan pada aplikasi," kata Sullivan.

Katanya, pengguna sendiri tidak akan menyangka jawapan kepada soalan keselamatan dalam e-mel atau akaun lain sebenarnya mudah didapati pada laman web Facebook seperti nama tengah, alamat rumah atau nama binatang kesayangan.

Sullivan menasihatkan pengguna agar menetapkan kata laluan berbeza bagi setiap akaun e-mel, laman sosial dan sebagainya.

"Pengguna Facebook perlu memasukkan alamat e-mel untuk membuka laman web sosial mereka. Oleh itu, mereka perlu memberikan kata laluan berbeza bagi setiap laman web sosial.

"Lagi baik sekiranya, pengguna mempunyai akaun e-mel berbeza yang digunakan untuk perniagaan, akaun e-mel utama atau laman web sosial lain," katanya.

Tahun ini juga menyaksikan siri mesej palsu dalam 'inbox' Facebook' dihantar daripada 'rakan' yang menuntut pertolongan dari segi kewangan.

"Pengguna perlu berhati-hati dengan mesej sebegini dan menyiasat terlebih dahulu status rakan sebelum mengirim duit seperti dimohon," ujar Sullivan.

Sullivan berpendapat, keselamatan dalam laman web sosial juga memiliki aspek positif, tidak seperti jenayah e-mel klasik yang boleh menghantar surat berantai selama bertahun-tahun.

"Pergaulan pengguna dalam Facebook secara tidak langsung memberi kesedaran kepada mereka mengenai serangan jenayah siber terkini yang diperoleh menerusi rakan lain dalam laman sosial," katanya.

Menurut beliau, pergaulan komuniti salah satu faktor penting dalam memberi publisiti kepada maklumat terkini keselamatan yang berguna dan mengambil langkah sepantas mungkin untuk menanganinya.

Sumber: Harian Metro

Perlindungan telefon pintar

VENDOR keselamatan, Kaspersky memperkenalkan sistem pertahanan untuk telefon bimbit pintar atau pembantu peribadi digital (PDA) yang mempamerkan beberapa ciri baru termasuk kawalan ibu bapa dan antispam.

Kaspersky Mobile Security 8 (KMS8) menawarkan perlindungan daripada pencuri dengan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang membolehkan pengguna menghalang akses kepada fail, mencari telefon bimbit serta membersihkan data sebaik mengetahui ia dicuri.

Ia juga mempunyai sistem SIM Watch menghalang kad sim baru dimasukkan ke dalam telefon dan menghantar maklumat mengenai kad sim baru yang cuba dimuatkan.

>Spesifikasi

PRODUK: Kaspersky Mobile Security 8

HARGA: RM79

ENKRIPSI: Melindungi data untuk telefon dan kad memori

ANTI-SPAM: mod 'blacklist'

KAWALAN IBU BAPA: Menghalang panggilan tidak munasabah, mengesan anak anda (telefon dengan fungsi GPS)

KEPERLUAN: Symbian OS 9.1, 9.2, 9.3 Siri 60, Microsoft Windows Mobile 5.0, 6.0, 6.1

Sumber: Harian Metro

08 Julai 2009

Facebook perkenal kawalan baru rahsia peribadi

NEW YORK 3 Julai - Facebook sedang membaik pulih sistem kawalan kerahsiaan, dalam beberapa minggu akan datang sebagai usaha memudahkan keupayaan mengawal oleh penggunanya untuk menentukan golongan pengguna yang boleh atau tidak boleh melihat maklumat yang dikongsi dalam laman itu.

Kerahsiaan sudah menjadi perkara utama dan sering menjadi isu sensitif bagi Facebook kerana ramai orang menggunakannya untuk berkongsi maklumat peribadi dengan rakan-rakan dan keluarga serta orang lain.

Namun, setelah perkhidmatan rangkaian sosial yang berusia lima tahun itu memperluaskan pangkalan pengguna dan ciri-cirinya telah ditambah, menyebabkan kawalan kerahsiaan menjadi semakin rumit.

Syarikat Palo Alto yang berpusat di California semalam berkata, penyediaan kawalan baru itu akan memberikan pengguna lebih banyak keupayaan untuk mengawal sebarang gambar, mengemas kini maklumat dan maklumat peribadi yang mereka kongsi dengan rakan-rakan, keluarga dan orang yang tidak dikenali di dalam Facebook dan seterusnya melalui Internet.

Bagi menghasilkan kawalan yang lebih mudah, Facebook telah menggabungkan enam halaman rahsianya dan lebih daripada 30 kawalan menjadi satu halaman rahsia tunggal.

Pilihan itu juga akan diselaraskan bagi setiap kawalan supaya pilihan itu sentiasa sama, sesuatu yang tidak berlaku sebelum ini.

Ini bermakna bahawa untuk setiap bahan kandungan, pengguna boleh menekan butang ikon kunci untuk memilih sama ada mahu menunjukkannya kepada semua orang, atau hanya kepada rakan-rakan mereka atau rakan kepada rakan, teman sekerja atau sekolah atau kumpulan orang yang senarai terpilih.

Sebelum ini, pengguna terpaksa melayari dari satu halaman ke satu halaman untuk membolehkan atau menidakkan seseorang memasuki halaman mereka dan melihat gambar-gambar mereka, maklumat yang dikemas kini atau rangkaian yang dikongsi.

Dan kerana kawalan kerahsiaan itu telah tersebar dalam halaman-halaman yang berbeza-beza, malah selepas menghasilkan profil yang hanya boleh dilihat oleh rakan-rakan sahaja, gambar-gambar dalam profil tersebut masih boleh dilihat oleh orang lain.

Ketua Pegawai Kerahsiaan Facebook, Chris Kelly memberitahu persidangan yang dihadiri pemberita, berkata, perubahan tersebut tidak ada kaitan dengan pengiklanan atau maklumat Facebook yang akan dibuka kepada pengiklan.

Tambahnya, laman itu mahu orang ramai "boleh berkongsi maklumat dengan ramai orang atau hanya dengan orang yang mereka pilih sahaja."

Satu daripada kebanyakan rahsia penting Facebook yang telah disalah guna ialah alat pengesan yang dikenali sebagai Beacon iaitu pada lewat 2007, yang disiarkan oleh stesen penyiaran mengenai kegiatan pengguna di luar laman web itu, termasuk aktiviti pengguna membeli hadiah percutian bagi mereka yang boleh melihat maklumat tersebut

Syarikat akhirnya membenarkan pengguna untuk menutup Beacon itu. - AP

Sumber: Utusan Malaysia

02 Julai 2009

Ancaman baru telefon murah

Tindakan India mengharamkan jualan telefon murah buatan China dan Taiwan kerana tiada IMEI mendedahkan bahaya senyap yang tidak disedari pengguna sejak sekian lama.

JIKA anda berhasrat hendak berniaga di India, antara produk yang mungkin sesuai dijual di pasaran negara itu ialah telefon bimbit. Jangan terkejut, pengguna talian mudah alih di negara rantau Asia Selatan itu kini mencecah lebih 415 juta orang.

Angka itu baru meliputi 36 peratus daripada keseluruhan penduduknya yang berjumlah 1.2 bilion. Jirannya, Pakistan turut mencatat senario yang sama dengan memiliki 93 juta pengguna telefon selular atau 58 peratus daripada jumlah penduduk.

Tetangga miskin, Bangladesh tidak kurang hebat apabila merekodkan 46.5 juta pelanggan atau 29 peratus daripada keseluruhan penduduknya. Sekadar perbandingan, Malaysia agak jauh ketinggalan dengan cuma 20 juta pengguna.

Bagaimanapun pada minggu lalu, dunia gempar dengan tindakan drastik kerajaan India mengharamkan pengimportan telefon mudah alih dari China dan Taiwan. Alasannya ialah sebagai antara langkah keselamatan domestik.

Ini kerana telefon buatan dua buah negara itu dikesan tidak dilengkapi dengan International Mobile Equipment Identity (IMEI). Ironi, kod siri 15 digit itu sebenarnya bukan syarat standard pembuatan produk telekomunikasi.

Namun tidak ramai tahu bahawa tanpa IMEI, pengguna boleh melakukan sabotaj kerana panggilan yang dibuat gagal dikesan oleh operator telekomunikasi. Malah pihak berkuasa juga tidak dapat menjejaki rekod mesej pesanan ringkas (SMS) yang dikirim si penjenayah.

Langkah berani itu dipuji Presiden Persatuan Selular India, Pankaj Mohandroo yang sekian lama meminta pihak kerajaan berbuat demikian.

“Kami sudah letih berkempen mendesak kerajaan menyekat kemasukan telefon bimbit dari China dan Taiwan, bahkan ada bukti suspek pengganas siri serangan di Mumbai juga menggunakan produk telekomunikasi ini kerana ia tiada IMEI,” jelas beliau.

Ketiadaan siri itu yang biasanya dilekatkan di belakang telefon bimbit turut mendedahkan pengguna kepada risiko jika berlaku kecurian. Data di dalam telefon juga boleh dieksploitasi penjenayah untuk memintas dengar perbualan.

Hakikat yang tidak disedari ramai ialah telefon tanpa IMEI sebenarnya banyak terdapat di pasaran. Ia menerima permintaan tinggi kerana berharga murah. Di India, telefon sedemikian dijual dari serendah RM60 sehingga RM120 sebuah.

Kelebihan IMEI

Di Malaysia, telefon jenis ini lazim dikenali sebagai AP iaitu rujukan kepada telefon selular bukan tulen yang dipasang dalam negara. Ia tiada jaminan jika rosak dan berbeza dengan produk asli biasanya disebut sebagai Zitron atau Avax.

Sehingga kini, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu IMEI. Singapura yang terkenal dengan undang-undang ketat juga belum mewajibkan IMEI.

Tidak hairanlah republik itu menghadapi lambakan telefon bimbit tanpa IMEI yang dijual murah. Ada secara sinis berkata, ketiadaan IMEI membolehkan suspek militan berbahaya, Mas Selamat Kastari gagal dikesan sebelum dia meloloskan diri ke Johor.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat ini tidak memberi apa-apa ulasan berkenaan tindakan keras India itu. Malaysia cuma mewajibkan pendaftaran untuk pengguna baru sama ada pakej prabayar atau pascabayar.

Situasi sebegini bakal mendedahkan negara kepada risiko pemalsuan data pengguna kerana rekod pendaftaran boleh diubah suai. Bahkan peraturan mengenai IMEI tidak dinyatakan secara terang termasuk menerusi laman web SKMM sendiri.

Ini bermakna pemasangan kod IMEI adalah tertakluk kepada budi bicara pengeluar telefon bimbit. Mungkin ada berpendapat, IMEI mengganggu hak asasi individu kerana pergerakan dan data peribadi pengguna dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

Ia ada kebenaran tetapi perkembangan semasa membuktikan IMEI lebih banyak kebaikan daripada keburukan terutama aspek keselamatan. Di Eropah, mangsa culik atau sesat di hutan mudah dijejaki dengan bantuan IMEI dari telefon bimbit.

Bayangkan walaupun bateri telefon itu sudah habis, pihak berkuasa dapat mencari mereka kerana frekuensi IMEI dipancar melalui isyarat bateri kecemasan. Jika dicuri, telefon tersebut masih boleh dikesan waima ditukar kad sim pemilik.

Sumber: Kosmo

Saintis Malaysia pecah teori sains

SAINTIS tempatan, Dr Gabriel Walter melakar sejarah dalan dunia saintifik apabila mencipta Transistor Pemancar Cahaya (LET) yang mampu beroperasi pada gelombang 4.3GHz dan 7GHz jika menggunakan Diod Pemancar Cahaya (LED).

Sebelum ini, industri sains mempercayai perkakasan cahaya spontan yang efisien tidak boleh beroperasi pada gelombang melebihi 1GHz namun selepas lima tahun kajian dijalankan, Walter memecahkan teori terbabit.

Beliau yang juga pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif Quantum Electro Opto Systems (QEOS) Sdn Bhd, berkata LED QEOS berkelajuan gigabit adalah perkakasan unik kerana kosnya yang rendah untuk dihasilkan serta mudah digunakan seperti didapati pada mentol lampu.

"Tentunya ia akan mencetuskan tekanan pada harga produk berkaitan dalam pasaran elektronik," katanya yang bekerjasama dengan universiti terkemuka, University of Illinois Urban Champaign (UIUC) bagi penemuan itu.

Katanya, bagi penggunaan gentian optik, LED mampu memberi penjimatan tenaga sebanyak 90 peratus berbanding dengan penyelesaian optikal sedia ada.

"Ketika masyarakat bercakap mengenai penjimatan tenaga dan isu pemanasan global, penemuan ini dilihat penting dalam teknologi alam sekitar dengan menawarkan produk 'hijau' yang menawarkan kos berpatutan.

"LED berkelajuan tinggi itu bakal merubah senario biasa yang dilihat pada kabel konvensional pada televisyen dan monitor. Ia bakal merubah segala-galanya," kata Walter.

Penyelidikan Walter turut terpilih untuk dimuatkan dalam jurnal teknikal yang memiliki edaran paling tinggi di dunia, Applied Physics Letters bagi edisi 15 Jun 2009.

Walter berkata, penerbitan kejayaan LET kelajuan tinggi 4.3 GHz dalam jurnal itu satu pencapaian yang besar kerana perkakasan berkenaan mempunyai kemampuan tambahan untuk menyatukan optoelektronik.

"Seperti juga transistor kepada dunia elektronik, alat ini memberi fungsi yang sama kepada dunia optoelektronik. Potensi aplikasinya tiada batasan," katanya.

Sekurang-kurangnya empat paten penting difailkan pasukan QEOS-UIUC untuk melindungi penemuan berkenaan.

Sumber: Harian Metro

25 Jun 2009

Platform terbaru Google cari peta Malaysia

GOOGLE Inc (Google) melancarkan platform pencarian terbarunya, Google Maps Malaysia yang mementingkan kandungan tempatan bagi kemudahan penduduk negara ini.

Malah, organisasi enjin carian Internet itu mewujudkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan bagi membolehkannya dipindah turun ke telefon bimbit.

Ketua Pemasarannya, Derek Callow berkata, Google Maps Malaysia menawarkan inovasi bercirikan tempatan dalam arah tuju pemanduan, pencarian lokasi, perniagaan tempatan, peta dan aplikasi telefon bimbit.

"Oleh itu, kami bekerjasama dengan Maxis Communications Bhd yang menyediakan platform pencarian untuk mengesan alamat dan memandu arah dengan pindah turun melalui m.google.com.my/maps," katanya.

Dalam pada itu, Google turut membuka peluang kepada organisasi tempatan untuk bekerjasama dengan mereka yang mampu meningkatkan kualiti perkhidmatannya di negara ini.

Ia dinyatakan Pengurus Produk Google Asia Tenggara, Andrew McGlinchey yang mahu memastikan maklumat dan kandungan dalam Google Map Malaysia sentiasa diperbaharui.

"Walaupun kami belum beoperasi di negara ini, pelancaran Google Maps Malaysia mungkin satu permulaan yang baik," katanya.

Google Maps Malaysia menawarkan platform carian maklumat jalan, alamat dan perniagaan bagi memudahkan pengguna yang mahukan maklumat lebih komprehensif, cepat dan mudah.

Platform itu menyediakan kandungan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Cina dan Tamil untuk membolehkan rakyat tempatan dan pelancong menyumbang kandungan daripada teks kepada foto atau video, sekali gus meningkatkan kualiti peta secara online yang mampu dilayari pengguna lain.

Aplikasi Google Maps Malaysia boleh diakses melalui laman web http://maps.google.com.my dengan perkhidmatan ditawarkan secara percuma.

Sumber: Harian Metro

Virus telefon bimbit

Oleh Salmiah A Hamid

SATU ketika dulu jika memiliki sebuah telefon bimbit sudah dianggap gah walaupun ia bersaiz besar dan berat kerana peranti berkenaan mahal untuk dimiliki.

Apabila teknologi semakin berkembang, telefon bimbit membanjiri pasaran umpama cendawan yang tumbuh melata, malah ia ditampilkan dengan pelbagai bentuk, aplikasi, saiz, berat dan warna yang bersesuaian dengan kemajuan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pastinya ramai yang tersenyum dengan perubahan alat telekomunikasi hari ini yang dipelopori organisasi terkemuka dalam perindustrian seperti Sony Ericsson yang bermula pada 2001 apabila mengeluarkan telefon pintarnya yang pertama melalui siri P, jenama Nokia menerusi siri N, diikuti pelbagai jenama lain lagi termasuk HTC dan yang terbaru iPhone.

Ledakan teknologi memberi kesan positif kepada masyarakat kerana perkembangan itu bertindak sebagai pemacu ke arah kemunculan teknologi telefon bimbit yang semakin memenuhi pasaran negara, namun senario berkenaan turut dikaitkan dengan kehadiran virus dan penggodam atau penceroboh komputer.

Ia wujud dengan sifatnya yang menyerang ribuan komputer menerusi penyebaran pelbagai jenis virus yang mampu mendatangkan kerosakan kepada sistem pemproses komputer.

Kini telefon pintar menjadi tarikan penggodam yang sama ada sengaja menyebarkan virus atau cuba mencuri maklumat di telefon dan mensasarkan ruang telekomunikasi untuk menyebarkan kerosakan dari satu telefon ke satu yang lain.

Virus pertama yang dikesan dikenali sebagai SymbOS Cabir dari Czech Republic dan Slovakia pada 2004.

Cabir dihantar ke syarikat perisian keselamatan Kaspersky Lab di Rusia dan dianggap sebagai 'bukti' bahawa virus boleh ditulis dan disebarkan menerusi telefon bimbit.

Ia dibina untuk telefon bimbit yang menggunakan aplikasi Symbian Series 60 dan bertindak menerusi Bluetooth (dalam lingkungan 30 meter) dengan menghantar dirinya sendiri yang menyamar sebagai fail keselamatan.

Selepas penerima memasang fail terbabit, perkataan 'Caribe' akan terpamer di telefon bimbit.

Sekiranya telefon yang dijangkiti itu aktif, Cabir akan melancarkan dirinya sendiri dan mengimbas frekuensi untuk menghantar dirinya ke telefon bimbit yang lain. Proses imbasan ini yang melemahkan tenaga bateri telefon yang dijangkiti.

Selain Bluetooth, telefon bimbit turut dijangkiti menerusi inframerah, penukaran kad memori, SMS, MMS, GPRS dan pindah turun menerusi 'over-the-air-programming' (OTA) iaitu cara terbaru memindah turun perisian ke telefon bimbit.

Hampir 400 virus telefon bimbit dikesan dan dijangkakan meningkat dengan kedatangan teknologi telefon pintar.

Masyarakat hari ini berlumba-lumba ingin memiliki telefon pintar kerana dibekalkan dengan pelbagai alternatif untuk berhubung seperti WiFi, Bluetooth, port USB, CD/DVD dan slot memori kad 'flash' bagi memudahkan pemindahan data yang pelbagai.

Pengarah Teknikal Kaspersky Lab APAC, Nathan Wang, berkata pengguna harus berhati-hati jika ingin muat turun atau naik pelbagai data seperti klip video, gambar dan nada dering kerana cara penyebaran dan jangkitan virus ini adalah sama seperti melalui komputer.

"Pada 2005, virus pertama yang menyerang menerusi Mobile Messaging System (MMS) dikenali sebagai CommWarrior menerusi aplikasi Symbian Series 60. Podloso pula dikesan sebagai virus pertama yang menyerang iPod pada 2007.

"Statistik 2007 menunjukkan virus telefon bimbit berkembang pantas hingga 110,000 telefon bimbit dijangkiti virus. Manakala trojan Viver menjangkiti hampir 500 telefon bimbit dalam sehari.

"Berdasarkan penyedia perkhidmatan Vimpelcom, Kaspersky Mobile Security berjaya menghentikan hampir 1000 MMS yang dijangkiti dalam sehari," katanya.

Menurut Nathan, pengguna mempunyai banyak maklumat peribadi di dalam telefon berbanding e-mel maka tidak menghairankan jika penularan virus merebak lebih banyak di kalangan pengguna telefon bimbit berteknologi pintar yang mempunyai aplikasi terbaru menyerupai komputer peribadi.

"Pengguna telefon bimbit suka menyimpan pelbagai data penting menerusi Short Messaging System (SMS) atau MMS seperti maklumat akaun bank dan butiran peribadi kerana mudah untuk dirujuk jika terlupa.

"Ia menjadi tarikan penggodam untuk memasuki telefon pengguna seterusnya menggunakan data terbabit untuk kepentingan sendiri.

"Laporan daripada media turut mempengaruhi pemikiran pengguna yang beranggapan virus hanya menyerang komputer dan tiada penekanan mengenai kecurian data telefon bimbit.

"Berita mengenai serangan virus di telefon bimbit agak kurang diperkatakan. Justeru, ia perlu ditekankan agar pengguna sentiasa berhati-hati dengan serangan virus yang tiada kesudahan," katanya.

Atas dasar ini Kaspersky memperkenalkan Kaspersky Mobile Security 8.0 (KMS) sebagai langkah keselamatan bagi semua telefon bimbit yang bertindak melindungi ancaman virus yang mampu mencuri dan memadam maklumat, menyalin senarai nombor telefon, membeku serta memusnahkan fungsi telefon.

Program yang mesra pengguna ini menawarkan perlindungan masa nyata bagi melindungi telefon bimbit daripada semua sumber iaitu MMS, SMS, Bluetooth, kad memori flash, data sync dan Wi-Fi.

Seperti mana jangkitan di komputer, pengguna diberi pilihan untuk membiarkan, kuarantin atau membuang fail yang dijangkiti.

Kad memori dan memori dalaman akan diimbas untuk dilindungi daripada sebarang virus.

Sementara untuk menghentikan spam, pengguna perlu menentukan sumber yang diperoleh sama ada mahu menerimanya atau tidak.

Sekiranya pengguna pernah menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali atau mendapat spam, bolehlah menempatkan nombor terbabit di kalangan senarai hitam.

Menurut Nathan, selain bertindak sebagai antivirus Kaspersky merupakan satu-satunya perisian keselamatan yang turut menawarkan perlindungan antikecurian.

Sama ada telefon bimbit hilang secara tidak sengaja atau ia dicuri, pastinya pemilik telefon berhadapan dengan risiko kerana maklumatnya kini terdedah.

"Tiga pertahanan untuk antikecurian telefon membabitkan SMS Block, SMS Clean dan Subscriber Identity Module Watch (SIM Watch).

"Sekiranya telefon didapati hilang, pemilik telefon boleh menghantar SMS tersembunyi yang memberi arahan kepada telefonnya untuk menghalang data daripada diakses ataupun terus menyingkirkan data daripada memori dalaman dan kad memori," katanya.

SIM Watch berperanan dengan menghantar isyarat ke nombor telefon baru apabila pencuri menukarkan kad sim asal dengan yang baru di telefon bimbit yang dicuri. Secara automatik, telefon terbabit akan menghantar nombor telefon baru kepada pemiliknya tanpa pengetahuan si pencuri.

SMS Find pula membolehkan pemilik asal mengesan lokasi telefon bimbitnya melalui SMS yang diterima yang menggunakan aplikasi Global Positioning System (GPS).

Selepas menghantar SMS ke telefon bimbit yang hilang, pemilik akan disambungkan ke peta Google dengan koordinat yang tepat.

Menarik dan berbaloi dengan adanya antikecurian yang disediakan dalam KMS.

Ini bermakna pengguna dan pencuri akan saling berhati-hati sama ada untuk menjaga telefon bimbit atau jika berniat mencuri telefon bimbit kerana pastinya berhadapan dengan hukuman dan undang-undang.

KMS sememangnya direka memenuhi platform telefon bimbit dan secara praktikalnya amat sesuai untuk kedua-dua jenis sistem pemproses, Symbian dan Windows Mobile. Interaksinya amat mudah untuk digunakan, tidak memerlukan ruang penyimpanan yang besar, malahan tidak mengganggu bateri telefon bimbit.

Sama seperti mengendalikan jadual mengimbas virus di komputer, pengguna mudah mengendalikan jadual imbasan mengikut masanya sendiri ataupun secara automatik.

Imbasan ini meliputi semua objek, direktori, sektor dan keseluruhan cakera dan mempunyai pilihan untuk membuang atau kuarantin virus terbabit.

Manakala, hasil tindakan dan imbasan akan disimpan dan dilaporkan dalam log aktiviti.

Pengguna juga digalakkan untuk mengemaskini pangkalan data antivirus termasuk menerusi penyelarasan dengan komputer bagi membolehkan ia mengemaskini program dan bertindak ke atas virus dengan berkesan.

Komponen terbaru seperti 'parental control' membolehkan ibu bapa mengehadkan mesej terima dan hantar di telefon bimbit anak-anak bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Ibu bapa juga boleh menggunakan SMS Find untuk mengetahui lokasi anak mereka.

Kita tidak mampu mempertikaikan kebolehan antispam yang dibekalkan menerusi KMS 8.0 ini.

Sistem saringan spam mampu menghalang mesej dan panggilan telefon yang tidak dikenal pasti, malah menyelamatkan pengguna daripada penipuan iklan.

Versi ini membolehkan pengguna membuat penyaringan panggilan dan mesej menerusi mod senarai putih (menerima panggilan dan mesej daripada nombor sedia ada) dan senarai hitam (menerima panggilan dan mesej daripada nombor yang tiada dalam senarai putih).

Fungsi firewall turut dikemas kini antara langkah keselamatan untuk mengelakkan serangan penggodam dan cecacing mobil yang merebak menerusi penyambungan Bluetooth dan Wi-Fi.

Lambakan telefon bimbit pintar bakal menjadi perhatian pengguna hari ini namun kawalan keselamatan dalam telefon yang harus diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang kecurian dan kerugian. Tidak salah jika kita berhati-hati sekarang daripada menyesal di kemudian hari.

Sumber: Harian Metro

23 Jun 2009

Measat-3a kini jelajah orbit

BAIKONUR, Kazakhstan - Satelit terbaru Malaysia, MEASAT-3a berjaya dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome mengikut jadual pada pukul 5.50 pagi waktu Malaysia di sini semalam.

Satelit komunikasi bernilai AS$165 juta (RM582.4 juta) itu yang dilancarkan dalam cuaca sejuk dan berangin untuk meningkatkan kapasiti satelit Measat Satellite Systems Sdn. Bhd.

Syarikat itu kini mempunyai empat satelit di orbit.

MEASAT-3a sepatutnya dilancarkan pada Ogos tahun lepas tetapi kemalangan kren merosakkannya semasa persediaan untuk pelancaran dan terpaksa dibawa kembali ke Dulles di Washington untuk dibaiki.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, yang mengetuai kumpulan 50 anggota menyaksikan pelancaran satelit keempat Measat itu gembira dengan kejayaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu lagi peningkatan kemampuan penyiaran Malaysia.

Sumber: Kosmo

03 Jun 2009

Syarikat Internet Rusia labur dalam Facebook

NEW YORK 27 Mei - Sebuah syarikat Internet Rusia telah melabur sebanyak AS$200 juta (RM701 juta) dalam Facebook, menjadikan laman web rangkaian sosial itu bernilai AS$10 bilion (RM35 bilion).

Syarikat Digital Sky Technologies (DST) bukan saja membeli hampir dua peratus pegangan dalam Facebook malah menawarkan untuk membeli sekurang-kurangnya AS$100 juta (RM350.4) juta saham yang dimiliki pekerja dan bekas pekerja Facebook.

Pembelian 1.96 peratus pegangan dalam laman web rangkaian sosial dengan 200 juta pengguna oleh DST itu adalah jumlah terbesar pernah dilakukan syarikat Palo Alto yang berpangkalan di California.

Syarikat komputer Amerika Syarikat (AS), Microsoft telah membeli 1.6 peratus saham Facebook pada harga AS$240 juta (RM841 juta) pada 2007, satu pembelian yang menjadikan nilai syarikat itu kepada AS$15 bilion (RM52.6 bilion) ketika itu.

Walaupun bilangan penggunanya bertambah dengan cepat, Facebook masih gagal untuk 'menterjemahkan' trafik pengguna kepada keuntungan.

Ketua Eksekutif DST, Yuri Milner berharap dapat menggunakan pengalaman syarikatnya dalam mengendalikan laman web rangkaian sosial di negara lain untuk mencari keuntungan.

Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg yang mengasaskan Facebook lima tahun lalu semasa masih lagi seorang pelajar di Universiti Harvard, enggan mendedahkan kadar keuntungan laman web itu. - AFP

Sumber Petikan: Utusan Malaysia

Teknologi selamat untuk komputer riba

KINI semakin banyak komputer peribadi yang tahan lasak dan boleh digunakan bagi mereka yang sering ke lapangan terlibat dalam bidang seperti penyelidikan, pembinaan, keselamatan awam dan ketenteraan.

Pengeluar komputer terkemuka, Lenovo memperkenalkan ThinkPad x200, X301, X200s, X200 Tablet, T400, T500, R400 dan komputer riba SL300 yang menepati ujian spesifikasi ketenteraan dengan reka bentuk unik seperti sistem perlindungan seperti beg udara.

Oleh kerana komputer yang digunakan di lapangan memerlukan skrin yang berkualiti tinggi, Lenovo menambahkan pilihan baru dengan panel kejelasan 680-nit kepada komputer riba terkemuka, ThinkPad T400.

Ujian komputer tiba ThinkPad

*Tekanan rendah operasi ujian pada 4,572 meter

*Kelembapan sehingga kitaran 95 peratus kelembapan dalam persekitaran

*Gegaran komputer riba boleh menahan gegaran

*Suhu tinggi boleh menahan suhu sehingga 60C (140F)

*Suhu rendah sehingga -15C (-4 F)

*Habuk

Seorang pengguna komputer riba ThinkPad, Pasquale Scaturro berkongsi pengalamannya membawa peralatan berkenaan selama 180 hari setahun ke hutan, gunung dan kawasan kutub.

Beliau yang juga seorang pengembara, pakar geofizik dan ketua ekspedisi mendedahkan komputernya kepada pelbagai keadaan dengan serangga, kelembapan, pasir dan habuk, panas dan dingin.

"Saya mendedahkan ThinkPad pada persekitaran yang ekstrem berbanding orang lain dengan ketinggian Gunung Everest sehingga Lembah Nil.

"Sistem Perlindungan Aktif merupakan sesuatu yang wajib dalam persekitaran lasak," katanya.

Beliau juga menggunakan ThinkPad bagi membantunya dalam navigasi dalam hutan Afrika dan menghantar e-mel dari Gunung Everest.

"Saya amat bergantung kepada ThinkPad untuk tugasan geofizikal dan untuk berhubungan dengan keluarga serta sahabat," katanya.

Pengurus Negara, Perniagaan Komersial Lenovo Malaysia, Khoo Hung Chuan berkata, ThinkPad dikenali kerana kualiti, ketahanan dan teknologi inovasi yang selamat bagi pengkomputeran bisnes.

"Kami sentiasa membina komputer riba tahan lasak dalam pelbagai keadaan daripada hutan hujan di Amazon sehingga kepada terbang di angkasa,'' katanya.

Komputer riba ThinkPad T400 dengan skrin lebih jelas telah berada di pasaran.

Sumber: Utusan Malaysia

Berhibur dengan teknologi


LH 50 Lg menjanjikan tontonan dengan kualiti seperti di pawagam.

DALAM usaha mengubah gaya tontonan ketika menikmati hiburan di kaca televisyen, syarikat pengeluar produk elektronik, LG Electronics (LG), baru-baru ini menampilkan rangkaian televisyen Plasma dan LCD berteknologi tinggi.

Antara model yang ditawarkan dengan kepelbagaian ciri moden adalah LCD berdefinisi tinggi (HD) LH50 LG yang bakal memberi pengalaman tontonan seumpama di pawagam dari ruang kediaman sendiri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LG Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd., Ko Tae Yeon, kesemua model televisyen tersebut bakal menyajikan paparan video dan audio yang berkualiti dan menakjubkan.

Menerusi teknologi TruMotion 200Hz, ia bakal mengurangkan kekaburan imej walaupun ia bergerak dengan kelajuan yang pantas.

Bagi paparan imej yang lebih terang pula, model tersebut disempurnakan dengan kelebihan HD penuh 1080p selain menyokong permainan cakera padat Blu-ray dan permainan video seperti PlayStation 3.

Bukan setakat itu, bagi memastikan paparan yang bertenaga dan dinamik dikeluarkan, ia didatangkan dengan teknologi Dual XD bersama nisbah kontra 150,000: 1.

Kesemua model itu juga mengetengahkan fungsi mesra alam sekitar melalui sensor pintar untuk penjimatan kuasa yang mana tahap kecerahan paparannya ditentukan secara automatik oleh pencahayaan di kawasan keliling.

Kelebihan lain yang ditawarkan adalah seperti tiga input HDMI pelbagai saiz, slot USB serta pembesar suara terlindung.

Bagi pengguna yang menggemari aktiviti menonton wayang menerusi televisyen pula, model televisyen ini merupakan pilihan yang baik kerana melalui inovasi DivX, pelbagai fail video, muzik dan juga foto boleh dimuat turun secara terus dari Internet.

Model-model lain yang turut ditawarkan adalah seperti LH70, LH35, PQ30, PQ70, LH20R dan LH70YR.

Untuk LH50, ia didatangkan dalam dua saiz iaitu 42 inci dengan tawaran harga RM5,399 dan 47 inci untuk RM7,299. Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web www.lge.com.

Sumber: Utusan Malaysia

13 Mei 2009

Kecil tapi kukuh



MEMAHAMI keperluan golongan profesional, pengeluar produk teknologi, HP memperkenalkan portfolio baru untuk komputer HP Mini dengan tawaran pengalaman pengkomputeran terbaik menerusi saiznya yang kecil dan mudah alih.

Dengan mengetengahkan ciri-ciri menarik, HP Mini 2140 disempurnakan dengan bingkai aluminium yang berkilat, kukuh serta ringan iaitu hanya 1.19 kilogram (kg).

Komputer riba itu turut didatangkan dengan skrin LED diagonal HP Illumi-Lite tahan calar yang bersaiz 10.1 inci selain mempunyai papan kekunci QWERTY mesra pengguna serta pilihan cakera keras berkapasiti tinggi 80 gigabit (GB).

Selain kelebihan dari segi kekukuhan dan rekaannya, produk pengkomputeran terbaru ini turut diintegrasikan bersama fungsi inovatif untuk kegunaan di mana-mana sahaja.

HP Mini 2140 digerakkan secara produktif oleh pemproses Intel Atom yang mempunyai kelebihan untuk fungsi penyejuk, menjimatkan tenaga serta memperbaiki jangka hayat bateri.

Rekaan sofistikatednya juga membenarkan pengguna melayari Internet menerusi teknologi wayarles seperti Wi-Fi dan WLAN serta sambungan Bluetooth 2.0.

Di samping itu, ia turut dilengkapi dengan kamera web VGA binaan dalam untuk kemudahan aktiviti merakam imej, persidangan video dan juga mesej pantas melalui video.

Aksesori yang ditampilkan bersama model berkenaan pula adalah termasuk stesen pelabuh USB, pembesar suara audio USB mudah alih dan pemacu cakera optik untuk menulis dan membaca dalam format cakera padat (CD) dan cakera video digital (DVD).

HP Mini 2140 kini boleh diperolehi dengan tawaran harga RM1,699 untuk sistem operasi Windows XP Home dan RM2,299 untuk Windows XP Professional.

Sumber: Utusan Malaysia

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu