KEHIDUPAN remaja hari ini penuh dengan pelbagai permasalahan sosial yang bukan sahaja merunsingkan ibu bapa tetapi juga pemimpin negara. Banyak cara dan kaedah telah digunakan untuk menarik mereka ini ke arah kebaikan untuk menjadi insan berguna namun jalan yang salah dan hitam juga mereka pilih. Kes rogol, ragut, penyalahgunaan dadah, berpeleseran di pusat-pusat beli belah, lumba motor haram dan terbaru kes Black Metal yang mana semua ini semakin berleluasa dari sehari ke sehari. Mereka seolah suka membuat sesuatu yang negatif yang mendatangkan kemudharatan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain. Apa punca dan kenapa? Untuk itu SIASAH melalui wartawannya Kalsum Hj Ahmad telah menemui Saudara Mohd Ridhuan Tee Abdullah, seorang pendakwah bebas merangkap Pengarah Eurobest Holding Sdn Bhd. Banyak huraian dan penjelasan yang diungkaikan berkaitan dengan permasalahan remaja hari ini. Ikuti penjelasannya di bawah.
SIASAH: Pada pandangan Saudara Mohd Ridhuan mengapa dan kenapa para remaja kita mudah terjebak dengan perkara-perkara negatif yang bukan sahaja boleh merosakkan diri mereka tetapi juga agama, bangsa dan negara?
Ridhuan Tee- Melalui kajian yang dibuat, apa yang berlaku ke atas remaja-remaja kita hari ini kerana mereka tidak memiliki hala tuju diri atau matlamat hidup. Mereka tercari-cari identiti yang mana satu hala yang hendak diikuti.Mereka tiada matlamat yang hendak dicapai. Nilai-nilai pegangan asas iaitu agama (kalau ianya Melayu- Islam) sudah tidak lagi sebati dalam hidup mereka. Mereka sedang mencari sesuatu. Dalam pencarian itu, yang tidak baik itulah yang menjadi pilihan mereka. Dengan sebab itu kita lihat bermacam-macam perkara yang merosakkan berlaku. Ada yang terjebak dengan Black Metal, seks bebas, penyalahgunaan dadah, rogol dan sebagainya.
Apa yang menyedihkan kebanyakannya berlaku kepada mereka dalam usia remaja yang gagal peperiksaan (SPM). Gagal SPM tidak beerti gagal dalam hidup. Masih banyak peluang yang menanti. Pokoknya, jangan mudah putus asa.
Bagi pelajar yang masih bersekolah, menurut kajian yang dibuat juga 80% daripada pelajar-pelajar di sekolah menengah tidak mendirikan solat.Kalaulah kajian ini benar, sudah tentu, harapan pemimpin kita untukmelihat Wawasan 2020 tercapai masih samar. Oleh itu sebelum keadaan lebih teruk lagi berlaku kerajaan kena pantau atau mengambil tindakan yang bersesuaian dengan permasalahan ini. Kalau tidak negara kita nanti akan menghadapi krisis identiti. Ini kerana sesebuah Negara dikenali kerana identitinya.
Berbanding negara-negara lain contohnya negara Vietnam, Thailand, Filipina, Jepun masing-masing tebal dan bangga dengan budaya dan cara hidup mereka. Sepatutnya remaja Melayu mesti bangga dan berbesar hati dengan identiti orang Melayu. Tetapi itu tidak kelihatan. Mereka dengan mudah mengambil pengaruh dari barat sedangkan mereka tahu pengaruh dari Barat itu tidak elok tetapi 'kita' sengaja membiarkan perkara ini berlaku. Cuba lihat televisyen kebanyakan programnya berbentuk hiburan (kebaratan), filem-filem barat, sudahlah ekonomi dikuasai oleh barat. Saya sedih orang kita khususnya remaja terlalu mudah menerima pengaruh dari luar. Mana jati diri sebagai remaja Melayu, Cina atau India? Saya juga berasa pelik mengapa pengaruh dari luar ini diterima begitu pantas, cepat dan diterima secara bulat-bulat. Apakah kita kekurangan budaya dan jati diri sehingga terpakso cedok orang lain punya.
Misalnya muzik. Boleh dikatakan 98% remaja dan anak muda kita menyukai dan meminati muzik rentak barat. Apa istimewanya RAP, Heavy Metal, Hip Hop, RnB, kalau dibandingkan dengan lagu asli seperti Inang, Zapin, Joget, Keroncong yang sudah menjadi identiti kita. Ia bukan sahaja lembut tetapi begitu syahdu dan mengasyikkan bila didengar. Kenapa lagu-lagu seperti itu tidak mahu ditonjolkan. Kenapa kita perlu cedok budaya orang lain sedangkan kita ada budaya akita
sendiri. Sepatutnya bila pelancong-pelancong datang, kita kena tunjukkan budaya dan identiti kita sendiri yang penuh kesopanan, nilai-nilai kelembutan. Di situlah kekuatan kita seperti apa yang dilakukan oleh negara China, Jepun, Thailand, Vietnam dan sebagainya. Mereka tetap mengutamakan ciri-ciri seni budaya yang diguna pakai sejak zaman dulu. Bukan berbangga dengan budaya dan cara hidup barat.
Contoh, Kerajaan Melaka 600 tahun, sebuah kerajaan yang hebat, terkenal di seluruh dunia. Kerajaan Melaka terkenal kerana Bangkit kerana pengaruh Islam yang menunjangi kekuatan budayanya. Dunia tidak kenal kerajaan Melaka sebelum kerajaan Melaka menerima Islam. Tetapi bilamana kerajaan Melaka menerima Islam, secara otomatik, kerajaan Melaka terangkat. Inilah kekuatan Islam. Tetapi hari ini kita sedih kerana generasi kita lupa kepada sejarah. Kita ambil budaya dari luar. Inilah kegagalan kita dalam memahami sejarah peradaban bangsa di dunia. Di Negara lain, sejarah tetap diingat sampai bila-bila dan cuba diulangi kegemilangannya.
Untuk menuju ke arah itu kita perlu ada persediaan yang rapi terutama mengenai kekuatan jati diri yang acuannya mestilah mengikut bangsa kita sendiri.
Untuk itu kita perlu ada lima asas penting yang menjadi tonggak dalam membentuk jati diri.
Pertama-Pegangan iaitu agama. Agama hendaklah menjadi pegangan dan asas dalam kehidupan kerana agamalah yang memartabatkan kehidupan dan tamadun manusia. Tanpa agama, manusia akan terumbang ambing tanpa haluan dituju. Justeru, dengan asas yang kukuh ini, para remaja boleh membawa diri ke mana jua mereka pergi. Bagi orang Melayu Islam. Bila kita ada pegangan, kita akan redha setiap apa yang diberikan oleh Allah sama ada ketentuan baik atau buruk. Kita tidak akan keluh kesah atau kesal di atas apa yang berlaku. Tetapi kalaulah sebaliknya, sudah pastilah kita akan mencari jalan mudah atau jalan yang tidak baik. Contohnya gagal dalam peperiksaan, cara mudah mengatasinya hisap dadah, berpoya-poya dan sebagainya. Kerana itu kita perlu ada pegangan.
Kedua-Perjuangan - merdeka diri dari jiwa hamba, hamba kepada anasir yang merosakkan (pengaruh barat). Remaja mesti berjuang memerdekakan jiwa hamba, maksud saya hamba kepada kepada perkara negatif dan pengaruh barat yang amat mudah meresap dalam jiwa mereka. Jadi remaja Islam yang berjiwa merdeka, bebas dari sebarang kemungkaran dan kejahatan. Kita tidak akan sesekali mudah menerima perkara-perkara yang bertentangan dengan cara hidup, budaya kita.
Ketiga-Hubungan- yang sering dikaitkan dengan bahasa.Hubungan manusia diperindahkan lagi melalui bahasa. Bahasa adalah alat untuk berinteraksi dan berdakwah. Bahasa lambang jati diri setiap bangsa. Bangsa sendiri hendaklah pertahankan agar ia tidak lenyap ditelan zaman.
Kita mesti mengagongkan bahasa kita. Orang Melayu bahasanya Bahasa Melayu. Sementara tulisannya adalah tulisan Jawi. Tetapi apa yang berlaku sekarang, tulisan jawi kita telah kuburkan dan bahasa kita sedang menuju ke arah kehancuran. Kalau begitu di mana bahasa kita yang melambangkan sebagai alat penghubung kita sebagai bangsa Melayu dan juga sebagai alat perpaduan. Kalau kita tidak mempertahankan dan memperbaiki apa yang berlaku, acuan yang telah sedia ada dalam jati diri atau identiti remaja terbantut. Bahasa tidak akan jadi lagi sebagai lambang yang menunjukkan sesuatu bangsa itu. Contohnya banyak iklan-iklan yang kita lihat tidak melambangkan bahasa dan budaya hidup kita. Bila remaja melihat semua ini, dia keliru dan dia hanya mengambil mana yang dia rasa sesuai dengan jiwanya. Tetapi apa yang saya nampak sekarang DBP sedang mengorak langkah yang cukup bijak agar bahasa dan tulisan jawi dihidupkan semula.
Keempat- Hiasan- seni dan adab. Keindahan kehidupan manusia diserikan lagi dengan hiasan seni dan adab. Orang Melayu mempunyai seni dan adab yang amat baik dan lembut. Kehalusan seni termasuk hiburan adalah kekayaan Melayu Islam. Saya hairan kenapa kita berbangga menyanyikan lagu rentak barat seperti rock, heavy metal, rap, RNB, hip hop dan sebagainya. Tetapi kita tidak bangga menyanyikan lagu Melayu sering dikaitkan dengan seni dan adab. Pada saya seni dan adab yang ada pada orang Melayu cukup cantik dan halus kalau ianya dipamerkan. Contohnya cara duduk, cara bergaul sesama mahram, cara menghormati orang tua semua itu melambangkan peribadi yang sopan dan halus. Hiasan hidup ini kalau ditambahkan lagi dengan cara hidup Islam ianya akan menjadi lebih indah. Kalau boleh kita tidak mahu semua benda ini pupus.
Kelima-Susunan- dikaitkan dengan budaya. Budaya Melayu sememangnya sesuatu yang indah. Cara orang Melayu berpakaian, bercakap, bergaul dan Sebagainya. Sekiranya digabungkan kelima-limanya sekali akan terserlahlah keindahan, kecantikan pada orang kita. Ini kerana semua perkara ini kurang ada pada bangsa lain. Mereka sudah dipengaruhi oleh cara hidup orangbarat.
Apa yang saya lihat, para pemimpin yang ada sekarang ini nampaknya sudah mulai sedar. Misalnya tulisan Jawi cuba diselamatkan dengan menghidupkan semula penggunaannya. Begitu juga dengan Bahasa Melayu, dipertahankan kerana ianya tunjang dan menjadi bahasa rasmi negara. Kesedaran pada kerajaan juga sudah mulai ada. Mereka nampaknya cuba mendaulatkan semula tulisan jawi yang menjadi sendi kepada kedaulatan negara. Dalam hal ini kesemua perkara yang menjadi sendi kepada kedaulatan negara itu perlu ditegakkan dan didaulatkan agar ianya menjadi ikutan kepada remaja. Misalnya dalam kursus-kursus bina semangat yang mana ianya dihadiri oleh para remaja.
Kedua- kecantikan, kehalusan dan kelembutan agama Islam itu sendiri mereka tidak praktikkan. Mereka tahu perlunya agama dan setiap apa yang disuruh oleh agama itu perlu dilakukan tetapi mereka tidak mahu ikut. Contohnya orang perempuan wajib pakai tudung bagi menutup aurat. Kenapa mesti ada alasan kalau dah berkahwin nanti baru nak pakai tudung, kenapa tidak sekarang sedangkan dia tahu benda tu wajib. Kalau tidak tahu kenapa dia bercakap nanti lepas berkahwin. Ini menandakan dia tahu tetapi sengaja buat-buat tak tahu. Perkara seperti inilah yang saya katakan pemahaman yang sesat lagi menyesatkan. Mereka telah menyimpang dari arah asal kecualilah kalau mereka ini jahil tentang agama. Dalam hal ini kita kena buat kalau tidak buat itu bahaya.
Begitu juga orang kata nak 'enjoy' . Kalau ikutkan boleh 'enjoy' 24 jam tetapi mengikut orang kita kalau dikatakan 'enjoy' kena pergi berhibur di 'nite club', panggung wayang, siber cafe dan sebagainya yang membuatkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Sebenarnya 'enjoy' ni buat 'something' yang manusia suka dan Tuhan suka yang tidak bertentangan dengan fitrah manusia dan bercanggah dengan cara hidup kita. Bukan seperti menyertai Black Metal, bercampur bebas lelaki perempuan, mengamalkan seks bebas, pijak quran, pakaian yang tidak melambangkan ciri-ciri budaya kita. Apakah itu yang kita kehendaki.
Ketiga sikap tidak kisah ibu bapa, satu isu yang basi. Sepatutnya sebagai ibu bapa kita perlu mengambil berat akan kehidupan anak-anak. Bukan lepas tangan semata. Dalam hal ini kita ambil contoh tentang jari kita yang lima ini. Kenapa orang tua dulu-dulu menamakan jari kita dengan nama jari kelingking/anak jari, jari manis, jari hantu, jari telunjuk dan ibu jari. Sebenarnya ada cerita disebaliknya. Jari kelingking atau anak jari diumpamakan anak kita di peringkat umur bayi sehingga 10 tahun. Sebagai bayi dan kanak-kanak pada peringkat ini, kita pkena bermain-main dengan mereka, ia perlu juga dibelai, dimanja dan diberi perhatian yang khusus. Jari manis, peringkat anak di alam remaja. Di peringkat ini anak-anak diumpamakan berdarah manis. Ia perlukan pengawasan yang rapi dan disiplin diri. Waktu ini anak gadis kita sering diambil kesempatan oleh golongan tertentu. Misalnya, kes-kes cabul, rogol dan sebagainya. Mereka masih belum boleh diharap. Remaja lelaki pula kalau tidak dikawal boleh terjebak ke lembah masiat dan perkara-perkara yang tidak diingini. Justeru, ibubapa hendaklah mengambil berat dan memerhatikan pergerakan mereka. Selalu telefon di rumah, Tanya apa dia buat, dah sembahyang ke belum. Kalau tengok internet, apa yang dilayarinya.
Peringkat jari hantu, peringkat kritikal atau kehidupan hantu. Ketika anak-anak berusia 20 hingga 40 tahun. Hidup di peringkat ini ia lebih ke arah nafsu nafsi. Mereka mula ada keinginan berumahtangga dan keinginan seks yang tinggi. Justeru, perlu ada asas kukuh. Sekiranya anak-anak di peringkat 1 dan 2 diberi'basic' yang mantap dari segi didikan agama, kasih sayang, pelajaran dan sebagainya apabila dia masuk ke peringkat ini, dia dapat mengenal sifat-sifat yang tidak elok, jadi dia tidak akan menjadi hantu tetapi memberi petunjuk kepada orang lain (peringkat jari telunjuk).
Tetapi kalau dia sudah sampai ke peringkat ini dan berusia 40 kalau dia tidak juga berubah, suka berpoya-poya lupa tanggungjawab akhirnya sampai bila-bilapun dia tetap seperti itu. Nabi Muhammad s.a.w ketika berumur 40 telah menjadi Rasul memberi petunjuk kepada orang lain. Tetapi kalau sudah tiga peringkat tidak menjadi, dia tidak akan dapat memberi petunjuk (jari telunjuk) apalagi untuk memberi manfaat kepada orang lain.
Jika kita berjaya melepasi tahap jari telunjuk itu tadi, maka tibalah kepada penghujung hidup kita o tahun ke atas. Kita akan bertindak sebagai ibu jari, ibu kepada segala kebijaksanaan – mother of widom. Itulah peringkat paling tinggi menuju kehidupan abadi. Jika kita tidak dapat lepasti semua tahap ini, ibu jari tidak akan jadi ibu kepada kebijaksaan tetapi akan jadi ibu ayam. Justeru, hindarkanlah dengan kita berjaya melepasi kelima-lima nama ibu jari itu.
Ada banyak contoh yang boleh kita kaitkan dalam hal ini. Misalnya syarikat-syarikat muslim berjaya yang diterajui oleh ahli-ahli korporat yang rata-rata berusia 40 tahun ke atas. Mereka lebih rela memberi tajaan kepada perkara-perkara yang tidak membangunkan jiwa, agama dan banga. Lebih bangga kalau dapat memberi hadiah puluhan ribu, kereta, rumah kepada pertandingan yang berunsurkan hiburan daripada memberi hadiah kepada profesor-profesor, atau ahli ilmuan yang bertungkus lumus menjalankan kajian atau penyelidikan bagi mengembangkan kajian ilmu. Atau kepada tokoh Maal Hijrah. Perkara ini sengaja kita buat yang mana kita tahu hasilnya dalam jangka masa panjang adalah merosakkan. Dia kaya tetapi kekayaan itu tidak dapat membantu orang lain. Dia bijak tetapi kebijaksanaannya tidak digunakan ke jalan kebaikan.
Sejarah membuktikan, dan kita tahu tidak ada satu pun bangsa di dunia ini maju atau berjaya bertunjangkan kepada hiburan tetapi berjaya sesuatu bangsa mencipta peradaban adalah kerana kekuatan ilmu dan akhlaknya yang berasaskan kepada agama.
Apa yang berlaku hari ini kerana ibu bapa buat-buat tak faham tentang apa yang saya perkatakan tentang lima jari di atas tadi. Tanggungjawab diabaikan, ibu bapa tidak berjaya mengawasi anak-anak mereka. Maka wujudnya masalah sosial yang berleluasa dan kepada mereka yang berusia 40an pula, mereka ada duit atau kaya tetapi tidak tahu ke arah mana kekayaan itu hendak digunakan.
SIASAH: Kenapa ibu bapa sekarang, ramai yang lalai dalam mendidik anak-anak?
RIDHUAN TEE: Apa yang saya nampak melalui pengalaman saya sebagai pengerusi PIBG, kebanyakan masalah ini adalah disebabkan kejahilan dalam ilmu keibubapaan. Ibu bapa hanya pandai melahirkan anak tetapi tidak pandai dalam mendidik anak-anak. Sepatutnya sebagai ibu bapa, mereka perlu tahu ilmu keibubapaan ini yang mana ianya berkait rapat dengan agama Islam itu sendiri. Sebagai ibu bapa sikap paling utama perlu ada ialah sikap sayangi pasangan anda walau di mana sahaja anda berada. Kalau isteri perlu sayangi suami dan sebaliknya. Misalnya sebelum pergi kerja, si isteri bersalam dengan suami, si suami mencium dahi isteri. Bersikap sopan santun, bercakap baik, berpakaian sopan, makan bersama malah ada banyak perkara lagi yang boleh dilakukan. Contoh paling jelas sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri kepada semua isteri-isterinya. Tidak timbul perkara pukul memukul atau bergaduh suami isteri.
Sebenarnya apa yang ibu bapa lakukan itu, dilihat serta menjadi contoh kepada anak-anak. Anak-anak lebih terpengaruh dengan apa yang dia lihat daripada apa yang kita katakan. Oleh itu kalaulah ibu bapa itu suka bergaduh atau bertengkar di depan anak-anak, mereka tiada tempat mengadu. Lalu cari jalan keluar dengan berjumpa rakan-rakan. Kalaulah rakan tersebut baik maka baiklah tetapi bagaimana kalau mendapat rakan yang tidak baik. Bawa ke tempat yang tidak senonok, maka rosaklah dia.
Masalah timbul kerana ibu bapa tidak menghidupkan jemaah dalam keluarga. Contoh paling mudah ialah sembahyang. Sembahyang berjemaah antara bapa, ibu dan anak-anak. Bila kita berjemaah, hati kita menjadi rapat seolah-olah bertaup antara satu sama lain. Cara ini bukan sahaja mendekatkan kita dengan Allah tetapi juga mendekatkan sesama manusia. Saya sewaktu berdoa(setiap kali lepas sembahyang) sukamenyebut nama isteri kemudian nama anak-anak satu persatu. Bila isteri atau anak-anak mendengar yangkita muliakan mereka di hadapan Allah sudah pastilah hati mereka tersentuh dan dekat dengan kita.
Kerana itulah bila ada ibu bapa yang datang mengadu mengatakan anak-anaknya bersikap kurang ajar, melawan atau derhaka, saya bertanya ibu bapa ini bagaimana keadaan solatnya. Kalaulah ibu bapa sendiri tidak solat, tidak tunduk kepada Allah (menderhaka) bagaimana si anak hendak taat dan menurut perintah ibu bapa. Kalaulah ibu bapa sendiri menujukkan sikap saling sayang menyangi, wujudkan sikap ukhwah di kalangan keluarga saya percaya anak-anak tidak akan jadi liar atau rosak. Kalaulah mereka hendak membuat perkara yang tidak baik misalnya, mereka akan teringat ibu bapa yang sangat menyayangi mereka.
Oleh itu dalam konteks ini, kalaulah kita tidak mempunyai sikap sayangi pasangan kita, kita bukan sahaja akan gagal pada diri tetapi juga keluarga, masyarakat, negara dan agama. Sebabnya sikap ini beri makna yang sangat luas dalam kehidupan kita seharian.
Ibubapa meletak harapan kepada orang lain untuk bantu mendidik anak mereka, contoh guru sekolah. Yang pelik, bila ditanya siapakah guru sekolah anaknya, ibubapa tidak kenal. Lebih menyedihkan lagi ibubapa tidak tahu anak berada di kelas mana, pergi sekolah ke tidak.
Sebenarnya banyak lagi factor lain, ringkasnya, saya boleh katakana ibubapa tidak mengamalkan cara hidup beragama (Islam) sehingga menjadi tidak wujud keberkatan dalam rumahtangga. Agama dianggap sebagai perkara enteng. Bila kejahilan telah menyelubungi hidup, bayangkanlah apa akan jadi kepada anak-anak.
SIASAH: Bagaimana cara untuk mengatasi masalah remaja yang bermasalah ini?
RIDHUAN TEE: Itulah yang saya kata tadi. Sekiranya ibu bapa faham dan membuat seperti apa yang saya sebutkan lima jari di atas tadi, perkara seperti ini tidak akan berlaku. Selain itu kita perlu membina persekitaran yang boleh membina jiwa remaja ke arah yang positif. Contohnya Teater Putri Gunung Ledang atau Putri Gunung Ledang The Musical. Sepatutnya kalahlah kita mahu tonjolkan sebuah sejarah (metos) tentang citarasa budaya masyarakat kita (jati diri kita sebagai sebuah negara bertuankan Melayu) adakah Putri Gunung Ledang itu benar-benar berkemban? Dan setahu saya pada sejarah apa yang berlaku ialah lelaki yang buka dada dan perempuan yang tutup dada. Tetapi apa yang dilihat adalah sebaliknya. Ia bukan sahaja bercanggah dengan nilai-nilai kelembutan dan kesopanan diri orang Melayu tetapi juga cuba menutup dan memutarbelitkan sejarah dan tidak dapat mengislamisasikan sejarah. Kita nak tonjolkan sejarah atau pakaian berkemban pelakonnya
Salah ke kalau Putri Gunung Ledang itu kita mencerminkan cara hidup keislaman? Pada saya semua mereka yang terbabit dalam pementasan tersebut tak kiralah pereka fesyen ke siapa ke semuanya tidak faham, gagal sebagai orang seni. Pejuang seni sepatutnya mengislamisasikan seni yang begitu indah ke dalam budaya Melayu tetapi lebih suka mengambil benda dari luar. Mereka sengaja menambah masalah yang sedia ada. Masalah di atas masalah. Umpama api kalau diletakkan petrol pasti membakar. Sampai bila masalah sosial remaja akan berakhir kerana kita sendiri membakar mereka dengan tidak menonjolkan nilai-nilai kita yang sebenar. Nilai-nilai yang pernuh dengan kelembutan, kesopanan yang bertunjangkan kepada peradaban bangsa Melayu.
Apa yang sering ditonjolkan adalah ciri-ciri hidup orang barat. Sampaikan iklan-iklan yang ada di merata tempat tak kira di dalam LRT, TV atau sebagainya semuanya menonjolkan kebaratan. Selalunya orang akan menerima apa yang dilihat dan difikir. Kalau sudah setiap hari benda yang sama 'masuk' akhirnya ia akan menjadi jati diri pada seseorang. Dalam hal ini kita nak salahkan siapa negara kita ini negara Melayu (negara ketuanan Melayu) tetapi lebih kebaratan. Dan negara kita inilah satu-satunya negara di dunia ini di mana tamadun peradapan atau jati diri penduduk asalnya (Melayu) tidak tertonjol. Kenapa ketuanan Melayu tidak jadi Tanah Melayu. Nasionalisme Melayu tidak menjadi Negara Melayu. Pelancong-pelancong yang mendarat KLIA, tidak dapat melihat nilai-nilai atau jatai diri keMelayuan pada lapangan terbang tersebut. Begitulah seterusnya sehingga masuk ke ERL, LRT dan sebagai. Tetapi ini tidak terjadi kepada Thailand, Vietnam misalnya. Nasionalisme Vietnam melahirkan Negara Vietnam. Nasionalisme China melahirkan Negara Chian, begitu juga dengan Thailand, India dan sebagai. Mereka begitu kental dengan jati diri dan mempertahankan bangsa mereka. Tetapi nasionalisme Melayu tidak membentuk sebuah Negara Melayu yang dihormati oleh bangsa minority yang lain. Hatta penggunaan bahasa Melayupun tidak dihormati, apatah lagi penggunaannya dalam iklan-iklan, papan tanda, nama taman dan sebagainya. Oleh itu saya berharap, kita jangan jatuh ke lubang yang sama setelah kita tahu di tempat itu penuh noda, dosa dan pelbagai masalah.
Kedua sedarkan mereka siapa diri dia sebenarnya (motivasi diri). Tanamkan rasa cinta pada bangsa. Cari di mana puncanya. Bentuk proses pentarbiahan sesuatu anak bangsa yang menonjolkan ciri-ciri ke Melayuan yang menjadi tonggak penduduk negara kemudian barulah sebut ciri-ciri ke Malaysiaan yang mengambil kira bangsa lain, Cina, India dan sebagainya. Inilah yang patut ada pada jiwa merdeka.
Kelebihan seseorang manusia dengan makhluk lain ialah kekuatan akal. Berbeza dengan binatang. Kalaulah remaja tersebut berada di persekitaran yang buruk di tambah dengan kelalaian ibu bapa dalam mendidik, sekurang-kurangnya gunakan kekuatan akal. Pilih mana yang baik dan buruk. Mereka perlu sedar, akal pemberian tuhan itu boleh membezakan mana yang buruk dan mana yang baik.
Kuatkuasakan undang-undang yang tiada kaitan dengan badan yang kita lantik dalam kerajaan untuk memperbetulkan benda-benda yang tidak baik. DBP tidak membangun kenapa tidak rujuk kepada badan yang telah sedia yang kita lantik sendiri. Begitu juga dengan masalah sosial yang melanda remaja kita. Masalah tidak akan selesai kalau kita tidak rujuk kepada masalah remaja itu sendiri.
Saya sedih, artis yang menjadi idola kepada remaja, ramai yang tidak mempunyai kekuatan ilmu dan kekuatan akhlak mereka hanyut. Oleh itu melalui berita-berita yang tersiar di akhbar atau di majalah tidak boleh membina remaja ke arah yang baik. Sepatutnya mereka perlu memiliki ilmu, kalau tidak tinggipun tahu membawa diri ke arah nilai-nilai positif.
Sepatutnya remaja kita jadilah manusia yang memiliki jati diri dan pandai membawa diri diumpamakan seperti ikan di laut yang masin. Walaupun persekitarannya yang tidak elok (masin) tetapi ia tetap gagah membawa diri dan dagingnya tetap manis bila dimakan. Bila dia mati sahaja, bila kita letakkan garam barulah dia masin. Tetapi apa yang berlaku hari ini, golongan remaja kita jiwanya telah mati. Apabila melalui persekitaran yang buruk dengan segala macam masalah maka dia turut menjadi buruk diumpamakan menjadi bangkai yang tidak elok. Bila jiwa telah mati maka matilah dia.