E-Mail: lippikmkk@gmail.com

Memaparkan catatan dengan label Unit Pengajian Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Unit Pengajian Malaysia. Papar semua catatan

07 September 2009

Rumah Agnes Newton Keith penghargaan pengarang buku 'Land Below The Wind'

Terletak di atas Bukit Jalan Istana tersergam indah di belakang perbandaran Sandakan sebuah rumah kerajaan peninggalan bekas pemerintah kolonial British yang dipanggil ‘Newands’. Rumah ini satu masa dahulu pernah dihuni oleh seorang yang sangat terkenal iaitu Agnes Newton Keith.

Pada tahun 2001, Jabatan Muzium Sabah dengan kerjasama Jabatan Muzium dan Antikuiti telah memulakan kerja-kerja restorasi terhadap rumah tersebut dan merupakan tanggungjawab yang sangat mencabar sekali. Rumah ini telah dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 26 April 2004 iaitu sebuah anugerah Sabah kepada pemenang pengarang Amerika dan ini telah menandakan bahawa proses pengisytiharan anugerah itu telah sampai ke mercu kemucaknya.

Sejak dulu lagi beliau dikenali dengan bukunya yang pertama bertajuk Sabah ‘Land Below The Wind’, Agnes Newton Keith tentunya terharu atas anugerah daripada Kerajaan Malaysia ini sebagai memperingati jasanya iaitu membaik pulih dan menghidupkan semula nostalgia rumah bekas kediamannya serta menamakan rumah tersebut sempena dengan namanya iaitu Agnes Newton Keith.

Buku karyanya yang bertajuk ‘Land Below The Wind’ telah membuatnya terkenal pada tahun 1939 dan buku ini juga telah memasyhurkan Sabah sehingga ke hari ini. Buku ini ditulis secara jelas dan penuh jenaka, buku ‘Land Below The Wind’ juga menceritakan mengenai kehidupan terutama di kalangan masyakat tempatan, semasa pemerintahan British.

Selepas itu banyak dua buku lagi menyusul selepas kejayaan hasil karyanya yang pertama iaitu ‘Three Came Home’ pada tahun 1946 dan ‘White Man Returns’ pada tahun 1951. Kedua-dua buku ini telah ditulisnya di rumah yang terletak di kawasan dataran atas bukit di mana kelihatan pemandangan Teluk Sandakan serta lautan Sulu di belakang rumah berkenaan.

Rumah kayu ‘Newlands’ ini telah dibina semula di antara tahun 2946-1947 dan merupakan rumah kerajaan yang pertama diperbuat daripada kayu dibina selepas Perang Dunia Kedua.

Pembinaan dilakukan semula selepas tapak asalnya musnah akibat peperangan. Agnes Newton Keith dan suaminya Henry (Harry) George Keith seorang Konservator Hutan dan anaknya George menetap di rumah ini selepas ia selesai dibina semula. Namun Harry, telahpun berada di Sabah sejak tahun 1925 dan telah berkahwin dengan Agnes pada tahun 1934. Mereka menetap di rumah terletak di atas bukit ini sepertimana yang diungkapkan oleh Agnes bahawa adalah menjadi impiannya untuk menetap di sebuah rumah yang terletak di kemuncak bukit.

Keluarga Keith telah meninggalkan Sabah pada tahun 1952 dan tidak kembali lagi. Rumah ini telah didiami oleh pengganti baru iaitu Konservator Hutan, pegawai perhutanan, pekerja sukarela dari luar negara dan lain-alin lagi. Rumah berkenaan sering kali digelar sebagai ‘Rumah Agens Keith’ oleh para pelawat yang berkunjung ke rumah berkenaan.

Kebanyakan daripada mereka menganggap bahawa rumah ini sudah melambangkan ‘Agnes Newton Keith’ serta mengaitkan keadaan masa lampau. Para penduduk tempatan sehingga kini juga menganggap beliau sebagai ‘duta’ kepada melalui hasil karyanya. Sehingga kini buku tersebut masih lagi dibaca di seluruh pelusuk dunia.

Dalam pada itu, kepada mereka yang belum lagi melawat rumah Agens Keith ada boleh berkunjung ke rumah berkenaan. Masa pembukaannya bermula jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari. Bayar masuk RM2 seorang kepada pelawat tempatan manakala pelancong asing dikenakan bayaran RM15 seorang.

Sumber: New Sabah Times

17 Mac 2009

Abdullah teruskan sumbangan selepas bersara


SULTAN Ahmad Shah menyampaikan cenderamata kepada Abdullah Ahmad Badawi semasa majlis penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pemikiran dan Tamadun Islam di UIA Gombak, semalam.

KUALA LUMPUR 16 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berjanji akan meneruskan kerja-kerja yang membawa manfaat kepada pembangunan Islam dan ummah walaupun selepas persaraan beliau.

"Saya dikurniakan ijazah ini pada saat saya hendak bersara, tetapi walaupun selepas persaraan, saya tetap akan meneruskan kerja-kerja yang bermanfaat demi Islam dan ummah," katanya.

Beliau berucap selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) Pemikiran dan Ketamadunan Islam daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Abdulllah merupakan individu pertama yang menerima anugerah itu sebagai mengiktiraf dan menghargai sumbangan beliau kepada pembangunan pemikiran Islam khususnya melalui pendekatan Islam Hadhari.

Perdana Menteri berharap 10 prinsip Islam Hadhari mampu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh dunia Islam dan boleh dilaksanakan sebagai pendekatan komprehensif dalam pembangunan ummah, masyarakat dan negara.

"Di peringkat antarabangsa, saya percaya Islam Hadhari mampu mencerminkan Islam sebagai agama yang toleran dan penyayang yang memfokuskan kepada kesederhanaan, tetapi saya mahu tekankan bahawa Islam Hadhari bukan agama baru atau mazhab baru.

"Islam Hadhari memberi penekanan kepada Islam dalam kehidupan harian umatnya, ia menjadi panduan kepada orang Islam pada zaman moden ini," katanya.

Abdullah turut menekankan kepada keperluan mempromosi sikap tolak ansur antara budaya dan ketamadunan Islam dengan Barat.

Beliau berkata, masyarakat dunia perlu mencipta lebih banyak inisiatif antara budaya seperti mengajar subjek perbandingan agama dan budaya di institusi pengajian masing-masing.

Perdana Menteri berkata, cabaran umat Islam sekarang ialah merealisasikan dialog di antara Barat dan dunia Islam menggunakan pendekatan kesederhanaan yang mampu memenuhi kehendak semua pihak.

Abdullah berkata, sekarang bukan masanya untuk merintih mengenai ketidakadilan pada masa lampau, menuding jari kepada mana-mana pihak atau menyalahkan mana-mana agama.

"Namun, sebarang dialog antara agama hanya memberi erti apabila dilaksanakan sebagai proses dua hala dalam suasana yang adil, aman dan saksama," katanya.

Terdahulu, Sultan Ahmad Shah bertitah, penganugerahan ijazah kehormat kepada Abdullah dibuat bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan beliau menggalakkan urus tadbir masyarakat yang baik.

Baginda bertitah, sepanjang pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, Abdullah berjaya mempromosi hubungan muhibah antara masyarakat dengan budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Titah baginda, antara sumbangan penting Abdullah ialah penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mencerminkan ketelusan kerajaan dalam menentang rasuah.

Turut hadir pada majlis konvokesyen khas itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob, Presiden UIAM, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Rektor UIAM, Prof. Datuk Dr. Syed Arabi Idid.

Sumber: Utusan Malaysia

Brunei gugur Limbang

ABDULLAH Ahmad Badawi dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah
bertukar-tukar Surat Pertukaran selepas majlis menandatanganinya
di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, semalam.


BANDAR SERI BENGAWAN 16 Mac – Brunei Darussalam hari ini secara rasmi menggugurkan tuntutan ke atas Limbang di Sarawak selepas Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menandatangani Surat Pertukaran bagi menyelesaikan isu sempadan dan tuntutan bertindih.

Berita menggembirakan itu dinyatakan oleh Abdullah kepada pemberita Malaysia selepas upacara tersebut yang ditanda tangani pada kira-kira pukul 12.05 tengah hari di Istana Nurul Iman di sini.

Peristiwa bersejarah itu turut disaksikan oleh Tuanku Mahkota Brunei, Al-Muhtadee Billah; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan rakan sejawatnya, Putera Mohamed Bolkiah; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

“Hari ini adalah hari yang cukup bersejarah kerana Brunei telah menggugurkan tuntutan ke atas Limbang dan dengan ini Limbang akan menjadi sebahagian dari wilayah kita.

“Apa yang lebih menggembirakan lagi ialah isu-isu sempadan dan perkara-perkara pokok yang berlarutan begitu lama sejak 1995 telah dapat diselesaikan,” kata Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Isu Limbang selama ini meletakkan kedua-dua negara dalam keadaan dilema kerana wilayah itu agak unik kerana memisahkan dua kawasan daratan di Brunei.

Selain masalah persempadanan darat di Limbang, penemuan sumber baru minyak di kawasan seluas 150 kilometer oleh Petronas turut mencetuskan masalah persempadanan maritim kedua-dua negara berjiran itu.

Pada sidang akhbar yang sama, Perdana Menteri berkata, penyelesaian kepada perkara-perkara pokok dalam isu-isu berkaitan sempadan dan tuntutan bertindih itu akan membawa banyak kebaikan kepada kedua-dua negara.

Menurut beliau, hubungan Malaysia dan Brunei selepas ini akan melalui era baru dalam kerjasama dua hala tanpa dihantui lagi oleh perkara-perkara yang boleh menimbulkan prasangka.

"Oleh itu, saya dan kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Sultan Brunei atas kerjasama yang diberikan atas semangat yang sama iaitu tidak mahu isu-isu tersebut menghantui hubungan sesama negara anggota ASEAN,” tegas Abdullah yang terpaksa pulang ke tanah air segera kerana ada acara lain di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), petang ini.

Abdullah yang tiba di sini malam tadi diiringi oleh isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Sementara itu, dalam pernyataan bersama oleh pemimpin kedua-dua negara yang dikeluarkan sempena majlis menandatangani Pertukaran Surat tersebut menyebut antara lain persetujuan mengenai isu persempadanan maritim, penentuan kawasan komersial (CAA) bagi sumber minyak dan gas.

Turut dipersetujui adalah memberi hak (unsuspendable rights) kepada penduduk Malaysia menyeberangi sempadan perairan Brunei - dari atau ke arah destinasi di Sarawak - tapi masih terikat dengan undang-undang serta peraturan negara jiran itu.

Malaysia dan Brunei juga mencapai penyelesaian kepada perkara-perkara yang sebelum ini menimbulkan ketidaktentuan di sempadan maritim dan di Zon Ekonomi Eksklusif (EEC).

Melalui persetujuan itu, kedua- dua negara boleh menguatkuasakan undang-undang atau peraturan sendiri di kawasan zon maritim masing-masing.

Pemimpin kedua-dua negara itu berharap penyelesaian kepada isu-isu tersebut akan merintis kerjasama lebih besar dalam pelbagai bidang terutama perdagangan, pelaburan, sumber tenaga dan hidrokarbon, pelancongan, industri halal dan sebagainya.

Pada perkembangan sama, Ketua Menteri Sarawak melahirkan rasa gembira dengan penyelesaian isu-isu sempadan yang bakal memberi banyak manfaat kepada penduduk kedua-dua negara.

Menurut Taib, Limbang akan dimajukan termasuk membangunkan sumber tenaga melalui pembinaan empangan.

Sumber: Utusan Malaysia

03 Mac 2009

Dasar Ekonomi Baru

Dasar Ekonomi Baru adalah satu dasar yang telah digubal pada tahun 1970. Dasar ini telah menjadi satu dasar pembangunan negara bermula dari tarikh ianya diperkenalkan hinggalah tahun 1990. Melihat dari aspek tujuan utama pelaksanaan ini sebenarnya bertujuan untuk menggalakkan penstrukturan asas politik dan sosial dan bukan sahaja tertumpu kepada perhubungan ekonomi antara kaum. Dasar ini juga dilihat sebagai satu dasar yang berupaya untuk menjamin hasil daripada pembangunan negara seterusnya akan dibahagikan kepada seluruh lapisan masyarakat dengan adil.

“...After Tunku Abdul Rahman voluntary stepped down from the post of Prime Minister and Tun Abdul Razak took over from him on 22 september 1970, it became increasingly obvious that he new Federal cabinet under Tun Razak was directing its energy to the need to redress the unfulfilled part of the ‘bargain’, that the Malays and other bumiputeras be uplifted to achive economic parity and balance with the non-indigenous communities in Malaysia. The princial means adopted was the New Economic Policy (NEP)..”.

(James P. Ongkili, Nation-Building in Malaysia 1946-1974)

Sebenarnya telah banyak tafsiran dan juga penerimaan mengenai matlamat dan tujuan utama dasar ini digubal. Oleh yang demikian, adalah lebih mudah untuk ditegaskan disini bahawa secara umumnya dasar ini pada matlamatnya itu adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dalam konteks serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira latar belakang kaum dan seterusnya menyusun semula masyarakat. Hal ini penting kerana apa yang telah berlaku sejak sekian lama ialah ekonomi negara ini bersifat perkauman. Bagi memudahkan kita untuk memahami matlamat murni penggubalan dasar ini, mari kita lihat objektif tersebut satu per satu.

Membasmi Kemiskinan
Satu daripada matlamat serampang dua mata dasar ini ialah membasmi dan memerangi kemiskinan di negara ini. Ekonomi negara sebelum merdeka memperlihatkan kepada kita akan wujudnya ketidakstabilan dari segi peranan ekonomi dan juga dasar-dasar yang tidak secara menyeluruh dilaksanakan oleh pihak penjajah yangmana seterusnya hal ini menyebabkan kemajuan dan peluang ekonomi itu tidak dapat dikecapi semua lapisan rakyat secara menyeluruh. Natijah daripada hal yang demikian ini menyebabkan wujudnya jurang kemiskinan yang sangat ketara di negara ini dan hal ini tidak keterlaluan dikatakan sehingga kini masih berterusan.

Situasi ini sebenarnya lebih meruncing khususnya di kawasan luar bandar. Sejak zaman penjajah lagi, kita semua sedia maklum bahawa hanya kawasan yang mempunyai kepentingan ekonomi sahaja mendapat perhatian mereka dan akan dibangunkan serta dilengkapkan dengan infrastruktur yang lebih menjurus kepada kemajuan. Dengan itu, corak pengelibatan antara kaum dalam ekonomi juga berbeza dan ini menyebabkan kedudukan sosio-ekonomi tidak seimbang.

Peluang-peluang ekonomi yang wujud ekoran dari perkembangan tersebut hanya tertumpu di kawasan-kawasan tertentu sahaja dan mereka yang menerima faedah daripada perkembangan ini juga hanyalah mereka-mereka yang berada di kawasan tersebut. Keadaan ini berbeza sekali dengan kawasan luar bandar yang tidak diberi penekanan khasnya dari aspek pembangunan. Ekonomi di luar bandar hanya berkisar dalam pengeluaran pertanian dan perikanan sahaja dan kebanyakannya tidak produktif. Hal sedemikian terjadi kerana penggunaan sistem tradisional masih menjadi kaedah utama bagi masyarakat ini mengeluarkan hasil ekonomi. Maka dengan itu, jurang kemiskinan itu dapat dilihat dengan merujuk kepada hal ini.

Bagi memastikan jurang kemiskinan di negara ini berjaya di atasi, kerajaan dibawah Dasar Ekonomi Baru ini telah merangka beberapa langkah seperti membuka tanah-tanah baru untuk penanaman tanaman-tanaman pertanian yang mempunyai nilai komersil yang tinggi seperti getah dan juga padi. Agensi-agensi seperti FELDA, FELCRA dan RISDA contohnya telah ditubuhkan kerajaan bagi memastikan pembangunan tanah bari dilaksanakan dengan adil dan berkesan. Langkah ini dilihat mampu untuk meningkatkan pengeluaran hasil dan mampu untuk menjana pertumbuhan ekonomi bagi mereka yang berada di luar bandar khususnya. Dalam masa yang sama, kerajaan juga telah berusaha memastikan agar petani-petani yang terlibat secara langsung dalam rencana tersebut didedahkan dengan teknik penanaman baru beserta dengan penggunaan teknologi yang lebih moden agar hasil pertanian dapat ditingkatkan.


Hal ini boleh dilihat dengan jelas apabila kerajaan melancarkan strategi pembangunan luar bandar yang menyaksikan sejumlah besar peruntukan dibelanjakan oleh kerajaan untuk membangun sektor pertanian. Melalui Rancangan Malaysia kedua sehingga Rancangan Malaysia kelima, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM157.98 bilion untuk sektor pertanian ini sahaja. Jumlah peruntukan yang besar ini adalah bagi menampung ekonomi hampir 80 peratus daripada jumlah penduduk miskin yang mendiami kawasan luar bandar.

Keadaan tersebut akan membawa kepada perubahan dari segi budaya kerja dan juga taraf hidup masyarakat luar bandar. Hakikat yang perlu diakui ialah situasi berkenaan samada secara langsung atau pun tidak akan membawa perubahan kepada masyarakat kerana mereka terpaksa menyesuaikan diri dan perlahan-lahan akan menikmati faedahnya.

Menyusun Semula Masyarakat
Dasar pecah dan perintah yang sekian lama telah menjadi cara untuk penjajah sebelum ini menguruskan negara telah menjadi faktor paling dominan yang menyebabkan wujudnya jurang antara masyarakat di Tanah Melayu sebelum merdeka dan Malaysia khasnya hingga kini. Hal ini menjadi lebih ketara jika kita merujuk kepada perbezaan dari aspek sosial dan ekonomi. Sebelum tercetusnya tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang meninggalkan satu titik hitam dalam lembaran sejarah negara ini, hal ini amat ketara sekali apabila ianya telah menjadi satu identiti yangmana kaum bumiputera dan melayu terkebelakang ekonominya berbanding kaum lain seperti Cina dan juga India.

Jika merujuk kepada taraf hidup purata masyarakat negara ini khususnya selepas tahun 1969, apa yang dapat dilihat ialah pendapatan dan hak milik, pekerjaan yang berfaedah dan peluang-peluang pekerjaan lebih tinggi untuk kaum Cina dan India berbanding kaum bumiputera yang amat terkebelakang jika dilihat secara perbandingan relatifnya. Apa yang cuba ditekankan di sini sebenarnya jurang antara kaum di negara ini amat jelas sekali dan situasi inilah yang menjadi kebimbangan kepada rakyat amnya dan pemimpin-pemimpin negara khasnya.

Situasi sedemikian rupa jika tidak ditangani dengan berhati-hati dikhuatiri akan menyebabkan peristiwa lalu seperti rusuhan kaum berulang kembali. Hal ini kerana ketidakseimbangan dan jurang yang wujud antara kaum di negara ini jika tidak ditangani boleh menambahkan perasaan curiga-mencurigai dikalangan kaum. Jelasnya, persaingan sudah pasti berlaku dalam usaha untuk menguasai ekonomi dan dalam hal ini, campur tangan kerajaan merupakan satu-satunya langkah terbaik bagi memastikan persaingan yang tidak sihat wujud. Justeru, pelancaran Dasar Ekonomi Baru dilihat mampu untuk melaksanakan dan seterusnya menjamin pembangunan yang adil.

Melalui strategi penyusunan semula masyarakat ini, ia dilihat sebagai satu cara untuk kerajaan mewujudka penyertaan seimbang antara semua kaum di negara ini dalam setiap kegiatan ekonomi yang menuntut penyertaan mereka. Melalui matlamat penyusunan semula masyarakat ini, kerajaan telah memberi penekanan terhadap dua aspek utama iaitu menstruktur semula corak guna tenaga dalam setiap sektor ekonomi dan setiap peringkat pekerjaan dan satu lagi adalah mempastikan pembahagian pemilikan saham modal dalam syarikat berhad berubah nisbahnya antara bumiputera, bukan bumiputera dan asing. Oleh itu, pengaruh kerajaan dan perusahan-perusahan awam dalam memastikan usaha ini tercapai amat adalah amat luas.

Ironinya, Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan ini merupakan satu-satunya langkah terbaik yang pernah dilaksanakan kerajaan sejurus berlakunya peristiwa berdarah tragedi 13 mei 1969. Merujuk kepada matlamat akhir dasar ini adalah menjurus ke arah perpaduan yang merupakan elemen terpenting dalam mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu dari segenap aspek tidak kira dari segi politik, sosial mahupun ekonominya.

Justeru, harus diingati disini bahawa dasar ini digubal bukanlah hanya untuk kepentingan bumiputera mahupun melayu sahaja. Persoalan yang lazimnya timbul seperti dasar ini digubal untuk kepentingan dan kedudukan istimewa bumiputera dan melayu harus ditolak. Walaupun dasar tersebut memang jelas memperlihatkan penekanan yang lebih kepada bumiputera dan melayu, akan tetapi kita haruslah berbalik semula kepada matlamat dasar tersebut yang bertujuan membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa melihat perbezaan kaum dan kebetulan yang miskin dan terbelakang itu kebanyakan terdiri daripada bumiputera dan melayu khususnya di luar bandar.

24 Februari 2009

Tuntutan Filipina Ke Atas Sabah

Tahukah anda, Sabah atau Borneo Utara pada masa dahulu adalah terletak dibawah kekuasaan Kesultanan Brunei. Kerajaan Kesultanan Brunei pada masa dari abad ke-11 sehingga abad ke-17 telah berjaya menguasai keseluruhan kepulauan Borneo meliputi Sarawak, Sabah, Utara Kalimantan hingga ke Manila. Hakikatnya, Brunei boleh dikatakan sebagai kerajaan Melayu yang boleh dikatakan sebagai pengganti kepada kejatuhan kesultanan Melaka pada tahun 1511 akibat serangan Portugis.

Bagaimanapun, kerajaan Kesultanan Brunei telah mengalami beberapa keadaan yang tidak aman. Kuasa-kuasa barat mulai sedar akan kepentingan kepulauan Borneo yang ingin mereka jadikan sebagai gudang dan persinggahan kapal dari China. Selain mengalami ancaman British, kerajaan Kesultanan Brunei dibawah pimpinan Sultan Abdul Mumin juga mengalami masalah dalaman iaitu ancaman lanun yang melakukan huru-hara dalam negeri. Keadaan tegang yang sudah tidak terbendung lagi memaksa Sultan Brunei meminta bantuan daripada Sultan Sulu.

Sebagai memenuhi permintaan Sultan Brunei, sultan Sulu telah menghantar dua orang panglima tenteranya ke Brunei membantu memerangi lanun tersebut. Sejak dari itu, masalah tersebut telah berjaya diatasi. Sebagai menghargai bantuan Sultan Sulu tersebut. Sultan Brunei akhirnya telah bersetuju menghadiahkan sebahagian besar dari Borneo Utara kepada Sultan Sulu iaitu meliputi kawasan hulu Sg. Kimanis hingga ke Sg. Sibuku.

Sehingga kini, kerajaan Filipina masih lagi mengemukakan tuntutan mereka terhadap Sabah kerana mereka beranggapan penuh bahawa Sabah adalah sebahagian daripada wilayah Filipina. Buktinya ketika pembentukan Malaysia pada 1963 telah menerima kecaman hebat dari Filipina kerana tuntutan tersebut. Jelasnya, kerajaan Filipina akan terus menuntut Sabah selagi wujudnya bulan dan matahari.

19 Februari 2009

Kesan Penjajahan Kuasa Asing Ke Atas Malaysia

Fakta telah membuktikan bahawa tahun 1511 adalah tahun keramat yang menyaksikan Melaka buat pertama kalinya telah jatuh ke tangan Portugis. Tahun tersebut juga dicatatkan sebagai secara rasminya penjajahan di Negara kita bermula. Sejak dari tempoh tersebut telah banyak kuasa asing yang Berjaya menjajah Negara kita ini termasuk Belanda, British dan juga Jepun. British adalah kuasa yang paling lama menjajah Negara ini bermula 1824 sehingga Negara mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Justeru, penulisan ini akan melihat bagaimana penjajahan yang begitu lama oleh British meninggalkan kesan terhadap Negara ini.

Jika menyentuh mengenai kesan daripada penjajahan itu sendiri adalah lebih baik untuk dipecahkan kepada kesan positif dan juga kesan negatif. Adalah tidak boleh dinafikan bahawa penjajahan British juga meninggalkan kesan yang baik terutama sekali dalam pembangunan ekonomi. Kita sedar bahawa negara ini memiliki sumber bahan mentah yang sangat bernilai. Namun memiliki sumber sahaja tidak menjamin kekayaan sesebuah Negara jika tidak mampu mengurusnya. Adakah kita tahu kegunaan bijih timah, rempah dan getah jika tidak penjajah yang memperkenalkannya? Selain ekonomi, penjajahan banyak meninggalkan kesan dari aspek pembangunan sosial seperti kewujudan infrastruktur seperti jalanraya, keretapi, pejabat pos, sekolah dan pusat kesihatan. Hal ini semuanya adalah kesan daripada penjajahan.

Penjajahan dalam pada itu juga sangat meninggalkan kesan yang pahit kepada mana-mana Negara yang pernah dijajah. Kehilangan kuasa mentadbir, sumber kekayaan dirampas, kemusnahan sistem dan juga adat tradisional dan ketidakstabilan komposisi kaum. Hakikat yang jelas, penjajahan mempunyai kesan pro dan kontra yang harus kita sama-sama fikirkan dan renungi sedalam-dalamnya agar tidak dijajah lagi untuk sekian kalinya.

Persoalannya di sini, British berjaya menduduki Negara ini dalam tempoh yang lama manakala Jepun hanya sempat menguasai Negara ini dalam tempoh yang sangat singkat. Tetapi sesuatu yang harus diketahui bahawa penjajahan Jepun lebih memberi kesan yang mendalam terhadap kesedaran masyarakat Negara ini. Hari ini, negara-negara yang pernah dijajah oleh Jepun dalam tempoh yang lama seperti China dan juga Korea Selatan jauh lebih maju berbanding Negara lain yang pernah dijajah British.

Oleh yang demikian, penulis ingin pembaca sama-sama memikirkan adakah sekiranya Jepun diberikan masa yang lama menjajah Negara ini akan menyebabkan Negara kita ini jauh lebih maju daripada sekarang?

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu