E-Mail: lippikmkk@gmail.com

21 Februari 2009

Kompetensi Keusahawanan Yang Di Perlukan Dalam Diri Seorang Usahawan

Kompetansi keusahawanan bermaksud kemampuan diri seseorang untuk melaksanakan fungsi-fungsi keusahawanan dengan lebih berkesan bersesuaian dengan tugasnya sebagai seorang usahawan.Berikut ini disenaraikan kompetensi keusahawan diri terhadap usahawan-usahawan berjaya yang mana dianggap penting dari sudut nilai-nilai keusahawanan, sikap dan motivasi keusahawanan.
  • Berinisiatif
Daya inisiatif adalah satu daripada kompetensi keusahawanan yang paling penting kerana dengan ciri ini beliau akan mempunyai kecenderungan untuk melihat dan menganalisis sesuatu situasi atau keadaan dengan cekap. Hasil daripada sikap tanpa menunggu diarahkan atau dipaksa melakukan sesuatu untuk kejayaan sendiri, individu yang berinisiatif itu dapat melihat perkara-perkara yang perlu dilakukan melalui intuisi dan imiginasinya. Sikap ini akan membawa usahawan tersebut selangkah lebih maju dari orang lain.
  • Melihat dan Merebut Peluang
Kejayaan seseorang usahawan banyak bergantung kepada kemampuannya melihat dan merebut peluang-peluang yang wujud di sekitarnya. Kata-kata hikmat yang penting kepada seseorang usahawan ialah peluang mesti dicari, ianya tidak diberi. Peluang-peluang perniagaan boleh wujud hasil daripada perkara-perkara seperti permintaan yang tidak dapat dipenuhi oleh usahawan lain, kewujudan teknologi baru, kemahiran yang wujud dalam persekitaran, sumber-sumber alam yang belum diterokai dan halacara baru dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan.
  • Kecekalan
Liku-liku hidup seorang usahawan adalah kompleks. Usahawan perlu mengharungi berbagai-bagai halangan dan masalah perniagaan. Untuk itu, usahawan perlu mempunyai ketabahan dan kecekalan diri yang tinggi. Sikap seseorang yang cekal iaitu berusaha berulangkali atau mencari jalan untuk mengatasi rintangan-rintangan yang menghalang pencapaian maklumat.
  • Mencari Maklumat
Kejayaan atau kegagalan sesebuah syarikat banyak bergantung kepada mutu maklumat yang diperolehi, secukup mana maklumat itu dikumpul dan cara maklumat tersebut digunakan dalam membuat keputusan. Usahawan yang sensitif kepada maklumat akan mempelajari dan mengambil ikhtibar dari apa jua bentuk maklum balas yang diperolehi samada dalam bentuk kritikan dari orang lain atau dari hasil perbuatannya sendiri.
  • Menitikberatkan Mutu Kerja Yang Tinggi
Seseorang usahawan tulin akan sensitif dan sentiasa menitikberatkan mutu dan piawaian penghasilan kerja atau perkhidmatan mereka. Usahawan tidak melakukan kerja semata-mata untuk menyelesaikan tugasnya tetapi melalui kerjanya ia akan mencari kepuasan dengan tahap pencapaian yang cemerlang dan bermutu. Hanya dengan kerja-kerja yang bermutu, usahawan itu dapat meluaskan pasarannya dan meningkatkan lagi prestasi serta imej syarikat dan dirinya.
  • Komitmen Terhadap Perjanjian Kerja
Usahawan perlu mempunyai sikap menepati perjanjian kerja dengan menunjukkan usaha yang berlebihan dan melakukan pengorbanan peribadi untuk menyelesaikan sesuatu kerja. Usahawan yang berjaya dapat menarik kepercayaan pelanggan melalui sikapnya yang sentasa menepati janji. Kepercayaan pelanggan adalah kunci kepada kestabilan sesebuah syarikat.
  • Berorientasi Ke Arah Kecekapan
Seseorang usahawan yang berdaya maju akan sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan produktiviti syarikat dan dirinya sendiri. Peningkatan produktiviti bermakna membuat pengeluaran atau memberikan perkhidmatan dengan kos yang lebih menjimatkan atau dengan masa yang lebih pantas tanpa menjejaskan prestasi pengeluaran. Hanya dengan cara ini, pembaziran dapat dielakkan. Individu yang menitikberatkan kecekapan diri atau syarikatnya akan mencuba sedaya upaya menggunakan maklumat perniagaan atau kaedah pengurusan yang baik untuk membetulkan tahap kecekapan syarikat dari aspek penggunaan bahan mentah, modal, tenaga manusia, mesin dan jentera serta teknologi.
  • Membuat Perancangan Yang Sistematik
Seseorang usahawan perlu membuat perancangan yang sistematik dengan merancang dan mengatur langkahnya dengan membahagi-bahagikan tugas atau kerja yang besar kepada tugas yang lebih kecil dan mudah. Mewujudkan rancangan yang dapat mengatasi rintangan-rintangan yang dijangkakan.
  • Menyelesaikan Masalah
Alam perniagaan penuh dengan pelbagai masalah. Usahawan yang inginkan kejayaan perlu mampu menyelesaikan masalah dengan cara mencari dan melahirkan idea-idea baru atau penyelesaian masalah secara inovatif. Di samping itu mereka perlu mewujudkan strategi-strategi alternatif yang lebih cekap dan lebih baik untuk mencapai matlamat perniagaan.
  • Keyakinan Diri
Usahawan perlulah mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri dan menunjukkan sikap yakin terhadap kemampuan diri dalam membuat keputusan atau dalam menyahut sesuatu cabaran. Individu tersebut juga perlu berpendirian terhadap apa yang sedang dilakukan.
  • Ketegasan
Sikap individu yang tegas ialah sanggup menyuarakan sesuatu masalah kepada orang lain secara langsung dan mengambil tindakan walaupun menghadapi banyak tentangan daripada pihak lain.
  • Meyakinkan Orang Lain
Fungsi utama seorang usahawan ialah mempengaruhi keadaan persekitarannya. Persekitaran usahawan termasuklah individu-individu atau institusi-institusi. Usahawan berurusan dengannya untuk menggerakkan sumber-sumber organisasi, mendapatkan bahan mentah, mengelolakan proses pengeluaran dan perkhidmatan. Kesemua aktiviti tersebut memerlukan kemahiran untuk memujuk dan meyakinkan orang lain. Tanpa kemampuan tersebut, usahawan akan gagal mempengaruhi pelanggan atau pembekal untuk memberi sokongan kepada perniagaannya.
  • Menggunakan Strategi Pengaruh
Usahawan sebagai pemmpin mesti mempunyai kecenderungan untuk memikirkan strategi-strategi yang boleh mempengaruhi orang lain tanpa tipu helah dalam mencapai matlamat perniagaan.
  • Bermatlamat dan Berwawasan
Usahawan perlu mempunyai wawasan yang jauh dan mewujudkan matlamat yang jelas dan boleh diukur pencapaiannya. Beliau harus peka kepada kemampuan sendiri dan mengenalpasti halangan dalaman dan luaran supaya halangan-halangan tersebut dapat diatasi.
  • Bertenaga
Usahawan yang bertenaga adalah usahawan yang sanggup bekerja di waktu-waktu luarbiasa dan sanggup mengorbankan waktu rehat apabila tugas-tugas keusahawanan memerlukan mereka.

2 ulasan:

  1. Jangan cakap banyak.. Buktikan!!!! Contohnya berhenti dari IKM dan jadilah usahawan yang berjaya.. bukan peniaga....

    BalasPadam
  2. InsyaAllah....... doakanlah yang terbaik sesama islam...

    BalasPadam

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu