E-Mail: lippikmkk@gmail.com

24 Mac 2009

Apabila bank menjadi pembunuh


NAOMI WATTS (kiri) dan Clive Owen digandingkan pertama kali menerusi filem The International.

DALAM keadaan ekonomi dunia yang kacau dan tidak menentu, filem ini hadir tepat pada waktunya. Sebuah filem yang meletakkan paksi kejahatannya kepada institusi perbankan. Bagaimana penulis skripnya Eric Warren Singer dapat mengagak ketepatan isu ini untuk dijadikan subjek filem ini adalah sesuatu yang menarik.

Malah bagaimana filem dapat mendahului subjek yang kemudian didapati benar atau filem tersebut dapat ditayangkan tepat pada waktu isu tersebut hangat diperkatakan juga sesuatu yang menarik.

Tentu kita masih ingat filem Wag The Dog (Barry Levinson, 1997) tentang peranan manipulator media (spin doctor) dan penerbit Hollywood yang bersekongkol untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada skandal seks yang dihadapi oleh Presiden Amerika dengan "mencipta" kemungkinan perang di Albania. Apa yang menarik filem ini muncul sebagai kritikan kepada Presiden Bill Clinton tepat pada masa pemilihan presiden dan pada ketika Bill Clinton berhadapan dengan tuduhan skandal seksnya dan dengan jelas juga merujuk kepada Perang Teluk ketika itu.

Kegawatan ekonomi dunia hari ini berakar daripada ketamakan para kapitalis yang menggunakan institusi perbankan untuk mengawal dan meraih keuntungan dengan apa jua cara.

Dalam filem The International, yang judul filem ini sendiri merujuk kepada The International Bank of Business and Credit (IBBC) yang berpengkalan di Luxembourg, sebuah negara di Eropah sebagai salah satu pusat kewangan dunia, bank sudah menjadi musuh baru dalam filem. Secara lebih tepat IBBC sendiri yang menjadi setan dan berkonspirasi melakukan jenayah pembunuhan.

Untuk mencapai kepentingannya, pihak IBBC tidak mempedulikan lagi bentuk urus niaganya, hatta membiayai jual beli senjata secara haram, kegiatan pengganas dan urus niaga gelap dadah. IBBC bukan lagi bank yang konvensional, tetapi berusaha mengawal kepentingan hingga sanggup terlibat dalam jenayah.

Seperti kata salah satu watak penting dalam filem ini, bagi bank ini keuntungan bukan lagi matlamatnya, tetapi yang penting adalah kuasa mengawal. Dalam keadaan dunia tanpa sempadan dan segala urusan dijalin oleh rangkaian teknologi maklumat tanpa talian, maka jenayah tersebut dengan mudah menular dari satu kota ke negara yang lain.

Skandal jenayah IBBC mula terbongkar di Berlin dengan peristiwa pembunuhan seorang perunding perniagaan selepas terdedahnya hubungan urus niaga senjata antara IBBC dengan pihak China.

Pembunuhan yang berlaku di depan mata Louis Salinger (Clive Owen) seorang agen Interpol telah membawanya kepada siri skandal pengurusan dan peranan gelap IBBC dalam skandal jenayah ini.

Seterusnya skandal ini turut melibatkan pembunuhan seorang ahli politik di Milan, Itali. Louis Salinger kemudian bergabung dengan Eleanor Whitman (Naomi Watts) seorang peguam New York yang turut membuat siasatan tentang peranan IBBC dan mengapa laporan siasatan yang dibuat Salinger didiamkan dan tidak diambil tindakan.

Skandal jenayah dalam The International melibatkan beberapa konspirasi yang mengaitkan ramai orang dari tokoh bank, ahli perniagaan, broker, ahli politik, polis dan sehingga bekas general tentera komunis yang telah bersara.

Seperti biasa dalam filem yang melibatkan teori konspirasi dan peranan kepolisian, kita akan mendengar banyak syarahan tentang kejujuran dan kebenaran dalam plot yang sengaja dikomplekskan dan kelihatan melucukan.

Filem The International mengambil bentuk seperti plot filem-filem James Bond yang bergerak dari satu kota ke satu kota dunia dengan pantas.

Bermula dengan pembunuhan di Berlin, Salinger memburu penjenayahnya dan berusaha mendedahkan konspirasi tersebut di Luxembourg, kemudian berpindah ke Milan, ke New York dan berakhir di Istanbul.

Kemuncak Salinger memburu penjenayahnya di bangunan futuristic, Museum Guggenheim, Manhattan yang menyaksikan adegan dramatik tembak menembak.

Dalam salah satu adegan kemuncak filem ini, seorang penjenayah dengan dramatik berkata, sebuah fiksyen perlu plot yang rasional sedang realiti hidup tidak demikian, ironinya begitulah juga dengan filem ini.

The International adalah sebuah filem yang menumpukan kepada isu untuk membentuk plotnya. Filem ini mementingkan peristiwa yang bergerak dari satu kota ke kota, akibatnya filem ini hampir melupakan pembinaan dan hubungan watak-watak yang lebih meyakinkan.

Mujurlah plot filem ini berpusat pada watak Salinger yang tanpa penat memburu penjenayahnya tetapi kemunculan Eleanor hanya berkesan di peringkat awal tetapi kemudian hilang apabila filem menuju ke babak akhir.

Malah motif hubungan antara Salinger dan Eleanor juga tidak jelas. Begitu juga tidak jelas peranan bank hingga terjerumus dalam skandal jenayah ini atau sengaja dikaburkan, kecuali falsafahnya tentang bank yang dapat mengawal hutang, bermakna mengawal segalanya yang agak menarik.

Selebihnya pengarah filem ini Tom Tykwer yang pernah mengarahkan dengan cemerlang dan cukup stailis filem Run Lola Run sekadar menjadikan The International sebuah filem aksi cemas yang konvensional yang masih terikat dengan formula lama genre ini.

Sumber: Utusan Malaysia


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu