E-Mail: lippikmkk@gmail.com

23 Mac 2009

Awang Badar guna modal sendiri buka kolam ikan air tawar diusahakan sejak 20 tahun lalu

PAPAR: Kebelakangan ini, semakin banyak diperkatakan mengenai potensi sektor pertanian sebagai aktiviti ekonomi atau perniagaan berdaya maju yang menjanjikan 'kekayaan' kepada usahawan tani. Harus diakui, sektor itu mampu mengubah masa depan petani jika ada usaha dan kesungguhan membanting tulang empat kerat kerana ibarat pesan golongan terdahulu, andai berbudi pada tanah pasti ada hasilnya.

Berdasarkan potensi itu juga kerajaan mengambil inisiatif menjadikan aktiviti pertanian sebagai satu usaha membasmi kemiskinan seperti pelaksanaan projek tanaman getah di Pulau Banggi. Bukan rahsia lagi ramai petani mampu mendapat pulangan lebih RM1,000 sebulan dengan hanya mengusahakan kebun sayur, getah, kelapa sawit, kolam ternakan ikan atau ternakan seperti ayam, itik, kambing, lembu dan kerbau.

Antara yang menikmatinya ialah seorang usahawan tani dari Kampung Ambawa, di sini yang menceburi bidang pertanian sebagai aktiviti utama menyara keluarga sejak lebih 20 tahun lalu. Awang Badar Awang Ismail, 62, pengusaha kolam ikan air tawar, mengakui bidang pertanian boleh memberi kesenangan kepada sesiapa saja asalkan ada minat dan usaha. Bapa kepada enam anak ini mengakui walaupun bukan mudah untuk menjadi usahawan tani, terutama di peringkat awal tetapi apabila sudah membuahkan hasil, kepuasan yang dikecapi sukar digambarkan. "Saya berminat dalam bidang pertanian terutama menternak ikan air tawar dan saya bersyukur kerana usaha sejak 20 tahun lalu membuahkan hasil yang baik," katanya.

Bekas penerima anugerah Peladang Jaya Papar pada 1980-an dan 1990-an ini menternak ikan keli Afrika, kap, lampam jawa, jelawat dan talapia merah untuk pasaran sekitar daerah Papar dan Keningau. Keli Afrika adalah ternakan utamanya dengan keupayaan pengeluaran kira-kira 50 kilogram (kg) seminggu atau 200kg sebulan dengan pendapatan hasil jualan lebih RM2,000.

"Minat menternak ikan timbul selepas melihat kejayaan rakan saya dari Kampung Mawao di Membakut menternak ikan air tawar pada 1980-an. Saya ingin mencontohinya lalu mengambil keputusan membina kolam dengan modal sendiri. "Malah saya sanggup menempah anak ikan keli Afrika dari Kuala Lumpur untuk diternak di kolam ketika itu," katanya. Dengan modal kira-kira RM10,000, Awang Badar membina 16 kolam konkrit untuk menternak ikan keli Afrika di samping beberapa kolam lain bagi ternakan kap, lampam jawa, talapia merah dan jelawat. Kini, selain menjual ikan matang, Awang Badar turut menjual anak ikan kepada penternak ikan air tawar.

Menariknya penghasilan anak ikan menerusi proses persenyawaan benih ikan jantan dan betina dilakukan sendiri tanpa tunjuk ajar mana-mana pihak. "Saya cuma melihat kaedah penetasan anak ikan di televisyen. Dari situ saya mencubanya dan Alhamdulillah, nampaknya berjaya. "Kini saya mampu menghasilkan sehingga 4,000 anak keli pada satu masa," katanya. Selaras konsep pertanian adalah perniagaan, Awang Badar yang dibantu tiga anaknya turut memasarkan sendiri ikan ternakannya di pasar tamu mingguan di Papar.

"Walaupun memerlukan penjagaan yang rapi, namun kegiatan ini memberikan pulangan yang baik. Setiap minggu saya menjual 50kg ikan keli Afrika dan mendapat RM500. "Pasaran tiada masalah kerana ketika ini permintaan orang ramai memang banyak terutama ikan keli Afrika. Malah, ada yang sanggup datang dari Keningau ke kolam saya untuk membeli ikan," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mampu memenuhi permintaan secara pukal berikutan bekalan yang terhad. "Ada yang datang mahu membeli sehingga 200 kilogram tetapi saya terpaksa menolak kerana ikan yang ada tidak sebanyak itu," katanya. Memandangkan permintaan yang baik, beliau berhasrat membesarkan aktiviti penternakannya dengan membina kolam tambahan bagi menampung lebih banyak ikan. Katanya, dengan dibantu tiga anaknya beliau berharap aktiviti itu dapat dikembangkan menjadi perniagaan keluarga yang dapat diteruskan.

Penggemar ikan keli dari Kampung Benoni, Papar, Rozman Abdullah, 43, berkata ternakan keli Afrika mendapat permintaan baik pengguna kerana saiznya yang besar berbanding keli lain. Bagaimanapun, katanya, bekalan ikan berkenaan belum mencukupi untuk memenuhi permintaan kerana tidak ramai petani mengusahakannya. "Setahu saya di Papar ini hanya Awang Badar yang menternak ikan berkenaan secara besar-besaran. Itu pun belum cukup menampung permintaan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Abdul Rahim Ismail, menggalakkan usahawan tani di negeri ini mengusahakan projek akuakultur air tawar memandangkan tidak ramai yang menceburi bidang itu. Katanya, selain untuk pasaran tempatan ternakan ikan air tawar seperti talapia dan keli mempunyai nilai eksport yang baik serta menjanjikan pulangan lumayan kepada usahawan tani. Awang Badar adalah antara usahawan tani yang berjaya membuktikan bidang akuakultur air tawar mampu memberikan kesenangan kepada petani yang rajin mengusahakan tanah.

FAKTA:
Ternakan Keli Afrika Awang Badar
# RM10,000 - Modal
# RM100 - Kos pembelian makan ikan sebulan
# 16 - Kolam
# 14kg - Ikan paling besar diternak
# RM10 - Harga jualan sekilogram
# 1 tahun - Usia matang untuk dipasarkan.

Sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu