Jumaidah bangkit selepas rumah, harta benda musnah dalam kebakaran
BANTING: Terdesak untuk meneruskan kehidupan selepas tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya musnah dalam kebakaran, Jumaidah Tawil, 51, memulakan perniagaan kecil-kecilan pada 1990 dengan membuat kuih baulu untuk dijual.
Ketika itu, beliau terpaksa bersengkang mata sehingga awal pagi setiap hari untuk menyiapkan kuih tradisional itu kerana modal belum mencukupi bagi membeli peralatan canggih.
Kini, Jumaidah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Jun bukan saja giat memasarkan produknya dalam negara bagi memenuhi pasaran tempatan malah mengeksportnya ke Hong Kong dan Indonesia.
Mengimbas detik mula pembabitannya dalam perniagaan itu, beliau berkata, segala harta benda musnah dalam kebakaran yang meranapkan rumah barunya di Kampung Kanchong Darat, Kuala Langat, di sini.
“Kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang. Hanya ada keluarga dan orang kampung yang membantu kami sekeluarga. Dalam tempoh sebulan selepas rumah terbakar, Kak Jun sudah menerima tempahan untuk baulu,” katanya di premis perniagaannya di sini, tidak jauh dari pekan Banting.
Pada 1995, Jumaidah mendaftarkan perusahaannya atas nama ‘Warisan Usaha’ dan bermulalah satu perusahaan yang lebih besar sehingga beliau mampu mempelbagaikan produk keluaran syarikat.
Sempena Pusingan Kedua Karnival GP Joran 2007 di Pantai Kelanang hujung minggu ini, pemancing dan pengunjung pertandingan itu boleh singgah ke kedai Jumaidah untuk membeli makanan ringan sementara menanti keputusan atau dibawa pulang sebagai ole-ole.
Kegigihan Jumaidah akhirnya membolehkan beliau dan suami, Makmur Nasuha, membina semula rumah mereka di tapak tidak jauh dari tapak asal rumah yang terbakar, selain bantuan adik beradiknya.
Istimewa baulu yang dihasilkan syarikat itu atas nama Warisan ialah ia dibuat mengikut resipi tradisional iaitu membakarnya menggunakan sabut kelapa untuk mengekalkan rasanya yang enak.
Kini, selepas lebih 10 tahun beroperasi di kilang kecil di tepi rumahnya, jenama Warisan bukan sekadar menawarkan baulu, ia juga membekalkan pelbagai kuih tradisional dan kerepek yang enak.
Antara keluaran Warisan yang menjadi pilihan ramai termasuk kerepek ubi, kerepek pisang, kerepek keladi, kerepek bawang dan kerepek sukun. Warisan juga mengeluarkan kuih tradisional seperti emping belinjau, jejari udang, rempeyek, muruku, cakar ayam, kuih ros, bangkit serta kuih sepit, selain biskut tat dan biskut almond.
Bagaimanapun, baulu Warisan lebih dikenali kerana Jumaidah bukan saja mengeluarkan baulu biasa atau baulu cermai yang mempunyai pelbagai rasa, beliau juga mengusahakan baulu gulung dan baulu lapis pada harga berpatutan.
Baulu keluaran Warisan bukan saja dibakar dengan menggunakan sabut kelapa, malah bentuk dan rasanya juga dipelbagaikan bagi menarik minat pembeli. “Selain baulu cermai dan bahulu lapis yang berbentuk bulat, kami juga menghasilkan baulu bentuk bunga tulip dengan menggunakan acuan yang Kak Jun reka sendiri.
“Kami juga menerima tempahan daripada individu dan organisasi untuk kenduri kahwin dan acara keraian. Oleh sebab itu, Kak Jun mahukan kelainan untuk pelanggan,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan