|
|
KENIKMATAN yang diperoleh hasil berbudi dengan tanah sukar diluah dengan kata-kata. Apatah lagi seronok melihat hasil yang membanggakan dan mampu pula menggantikan pergantungan makan gaji selama 10 tahun.
Bagaimana pun kerjaya sebagai jurutera projek menyebabkan Mohd Asmawi Mohamed Noor, 33, sukar membuat keputusan sama ada meletakkan jawatan atau membabitkan diri sepenuhnya sebagai penanam cendawan di kampung halamannya, di Padang Salim, Peringat, Kota Bharu Kelantan.
''Seperti cinta yang baru berputik apabila aktiviti suka-suka membina dua rumah cendawan di kampung mula mengeluarkan hasil dan berpotensi untuk dimajukan, rasa cinta itu mula bercambah tetapi saya keliru membuat keputusan.
''Bagaimanapun lepas setahun, saya nekad terjun dalam bidang pertanian apabila tanaman cendawan di dua buah bangsal menunjukkan potensi memberangsangkan dan memberi pulangan berbaloi," ujar lulusan kejuruteraan di Institut Jerman-Malaysia (GMI), Kuala Lumpur ini.
Bersama adik iparnya Azuddin Zakaria, 33 , kini Asmawi bergelar usahawan apabila berjaya mengeluar dan memasarkan cendawan sebanyak 130 hingga 150 kilogram sehari.
Di samping itu, Asmawi turut menerokai bidang baru sebagai pembekal anak benih cendawan yang telah siap diisi dalam polibeg dengan harga RM1.20.
Sejak akhir tahun lalu pula, dia bekerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri menganjurkan kursus penanaman cendawan kepada mana-mana pihak yang berminat selama tiga hari dengan yuran RM150 seorang.
''Dalam kursus tersebut, kami berkongsi pengalaman kepada pihak yang berminat menyertai bidang penanaman cendawan, mendedahkan teknik serta proses tanaman, membekalkan anak benih, membina rumah cendawan serta khidmat kewangan," katanya.
Akuinya, walaupun di peringkat awal, dia dan rakan kongsi kosong dengan ilmu dan kemahiran mengendalikan projek tanaman cendawan tetapi minat dan kesungguhan untuk menjayakannya terbit secara semulajadi.
''Azuddin yang menjadi rakan kongsi, saya galakkan menyertai kursus berkaitan manakala saya pula lebih dalam bidang pemasaran walaupun awalnya setiap minggu berulang alik dari tempat kerja di Shah Alam, Selangor ke kampung sebelum meletakkan jawatan pada tahun 2006," ujarnya.
Mendapat sokongan daripada Agro Bank dengan memberi modal pinjaman sebanyak RM250,000 sejak dua tahun lepas.
''Di bawah syarikat Nutri Agrotech Enterprise, buat masa ini terdapat enam rumah cendawan yang tapak asal merupakan tanah terbiar di kampung," katanya.
Bermula dengan dua rumah diperbuat dari bangsal kayu berdinding dan beratap nipah seluas 20 kaki lebar dan di tepi rumah ibunya, bermodal daripada poket sendiri, Mohd. Asmawi mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu dan bercadang menambah jenis black jelly pada masa hadapan.
''Dalam sebuah rumah cendawan seluas 20 kaki lebar dan 40 kaki panjang yang dibina daripada rangka besi dan kanvas mampu memuatkan 15,000 polibeg yang disusun atas rak-rak secara bertingkat," katanya.
Menceritakan pengalaman mengusahakan cendawan, Asmawi berkata banyak perkara baru yang jauh menyimpang daripada kerjayanya selama ini dipelajari namun perbezaan itu menarik perhatiannya.
Lokasi operasi cendawannya kebetulan berhampiran dengan kilang memproses kayu turut memudahkan Mohd. Asmawi memperoleh habuk kayu getah malah telah membantu pihak pengurusan kilang melupuskan bahan buangan tersebut dalam bentuk kitar semula.
''Proses tanaman cendawan memerlukan penggunaan habuk kayu getah yang dicampur dedak padi, kapur dan air yang dimasukkan ke dalam beg media
''Diikuti dengan proses mematikan bakteria selama tujuh jam dengan cara mengukus dan disejukkan selama 12 jam
''Selepas itu setiap beg disuntik dengan benih dalam bilik bersih dan berhawa dingin sebelum mengalami proses pemeraman selama 55 hingga 60 hari dan disusun secara mengiring atas rak di dalam rumah," ujarnya.
Tambah Mohd. Asmawi, proses pemeraman memerlukan pemantauan kerana biji benih mudah dicuri tikus yang gemar memakannya dengan cara mengorek dari hujung beg.
''Selain itu, pengusaha juga berhadapan dengan penyakit kulat hijau atau green mould dan kulat berwarna oren atau neuro spora yang menyerang isi dalam kampit menyebabkan seluruh beg tersebut berubah warna.
''Beg yang dijangkiti mesti diasingkan kerana ia mudah berjangkit dan menyebabkan gagal mengeluarkan hasil," jelasnya.
Selepas dua bulan katanya, putik atau kudup cendawan yang dikenali sebagai mycelia akan memenuhi ruang atas kampit terjuntai keluar, selepas hari ke tiga dan ke empat hasil boleh dipungut.
''Setiap polibeg mengeluarkan 200 hingga 300 gram hasil dan bergantung kepada kesuburan benih yang akan dikutip mengikut permintaan dan keadaan kelopak cendawan itu sendiri.
''Hari ke tiga paling cantik sebelum bahagian tepi kelopak cendawan berombak dan pecah dengan cara mencabut keseluruhan daripada muncung beg. Hari ke empat cendawan pada peringkat maksimum dengan kelopak lebih segar, cantik dan apabila dimakan rangup dan manis," ujarnya.
Menurut Mohd. Asmawi, tanaman yang memerlukan kawalan suhu sinar matahari itu boleh dikutip hasilnya selama tujuh kali berturut-turut sebelum direhatkan selama 15 hari sebelum hujungnya ditutup semula untuk memberi peluang kepada kampit lain mengeluarkan hasil.
Mohd. Asmawi yang mempunyai pembekal tetap menjual secara borong RM5 sekilogram (harga pasaran RM8 hingga RM10 sekilogram) untuk pasaran pasar basah dan pasar tani berhampiran.
''Tahun ini, sebanyak empat rumah lagi akan ditambah untuk memenuhi permintaan yang cukup menggalakkan daripada pembekal dan orang ramai," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan