E-Mail: lippikmkk@gmail.com

15 Mac 2009

Berita baik untuk lepasan Chargeman IKMKK

Nor Mohamed Akan Berdialog Dengan Bank Mengenai Pinjaman

BUTTERWORTH, 15 Mac (Bernama) -- Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop akan mengadakan dialog dengan institusi kewangan dan bank dalam masa terdekat untuk memastikan peniaga kecil mendapat pinjaman untuk memulakan atau memajukan perniagaan mereka.

Beliau berkata walaupun arahan telah diberikan supaya bank mengurangkan kerenah birokrasi untuk mengeluarkan pinjaman kepada golongan terbabit, namun masih ada sungutan bahawa sukar bagi peniaga untuk mendapatkan pinjaman.

"Kita akan berusaha secara berterusan untuk menyakinkan pihak bank agar mewujudkan lebih banyak skim pinjaman untuk peniaga kecil dan mengadakan dialog untuk mengetahui isu sebenar yang menyebabkan bank mengenakan syarat yang ketat untuk tujuan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-26 Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pulau Pinang di sini hari ini.

Katanya, kerajaan telah membentuk tabung jaminan modal atau pembiayaan untuk membolehkan bank dan syarikat kewangan memberikan pinjaman kepada mereka yang memerlukan.

Selain itu, katanya, kerajaan turut menyuntik peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta kepada Agro Bank, RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan RM50 juta kepada Yayasan Tekun Nasional (Tekun) dalam pakej rangsangan ekonomi kedua untuk membantu golongan yang terjejas.

Nor Mohamed berkata, penjaja dan peniaga kecil mula merasai bahang kegawatan ekonomi global apabila perniagaan mereka merosot hampir 20 peratus sejak dua bulan lalu.

"Saya terima banyak aduan dan keluhan peniaga kecil yang mendakwa kekurangan pelanggan kerana kebanyakan pelanggan mereka yang terdiri daripada pekerja kilang sudah diberhentikan kerja atau ada juga yang telah dikurangkan hari bekerja dan kerja lebih masa," katanya.

Sehubungan itu kerajaan mengambil pendekatan untuk memberikan latihan kemahiran baru kepada pekerja yang diberhentikan supaya mereka boleh meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan yang menjanjikan gaji yang lebih tinggi.

Katanya, kerajaan telah mengenal pasti beberapa bidang yang memerlukan ramai pekerja mahir antaranya industri bioteknologi, jururawat dan juga chargeman dan kursus berkaitan tugas itu akan diberikan kepada mereka yang berminat.

"Sekarang ini kita kekurangan jururawat dan chargeman kerana mereka yang terlatih sering berhijrah ke negara lain apabila mendapat tawaran gaji yang lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, setiap bangunan memerlukan sekurang-kurangnya seorang chargeman untuk menyelia dan menyenggarakan premis itu dan mereka yang berkelayakan boleh meraih pendapatan antara RM4,000 hingga RM8,000 sebulan.

-- BERNAMA

1 ulasan:

  1. untung budak2 ikmkk ni ada kursus chargeman A1 lagi tu....ada galakn jad usahawan lagi tu

    BalasPadam

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu