Bekas pegawai institiusi kewangan tubuh Global Factor hasilkan pen penanda, cecair pemadam
CITA-cita besarnya untuk berniaga mengatasi segala-galanya, walau terpaksa melepaskan jawatan sebagai pegawai di institusi kewangan yang menawarkan gaji tetap yang agak lumayan selepas meraih pengalaman selama 13 tahun.
Walaupun tahu perjalanannya bukan mudah, beliau tekad berhenti kerja untuk meneruskan hasrat ke arah merealisasikan cita-cita besarnya itu dengan menubuhkan Global Factor Sdn Bhd, syarikat pengeluar dan pedagang pen penanda (marker) jenama ‘Kedidi’, dan cecair pemadam jenama ‘Kedidi Fixon’.
Jika dulu, Abdul Razak Azhari, 50, membantu peniaga mendapatkan bantuan kewangan, tetapi kini beliau sendiri turun-naik tangga institusi kewangan untuk mendapatkan bantuan. Beliau yang juga Pengarah Urusan Global Factor, membangunkan perniagaan membuat pen penanda, dengan sokongan padu isterinya, Nor’aini Rusmin, yang juga bekas pegawai bank dengan 17 tahun pengalaman.
Berkat ketabahannya, kini Abdul Razak boleh menarik nafas lega apabila berjaya memiliki kilangnya sendiri, meskipun beroperasi dalam persekitaran perniagaan yang berdepan cabaran persaingan global.
Mengimbau kembali susah payahnya membangunkan Global Factor, Abdul Razak melakukan pengorbanan besar untuk mencapai impiannya termasuk menjual rumah dan mengeluarkan simpanan yang ada untuk dilabur dalam perniagaannya.
“Sebelum berhenti kerja saya pastikan saya bebas daripada sebarang hutang. Rumah saja jual dan kereta saya sudah habis bayar.
“Dengan serba sedikit simpanan yang ada, tanpa sebarang pinjaman bank pada tahun pertama operasi, saya labur kira-kira RM70,000 untuk memulakan perniagaan ini,” katanya yang pernah membuat pendirian sebelum ini, jika perniagaan yang diceburi tidak menjadi, akan mencari rezeki dengan membawa teksi.
Pembabitan Abdul Razak dalam pengeluaran pen penanda itu tidak dirancang, malah ia berlaku secara kebetulan ketika bertemu bekas pelanggan Bank Bumiputra Malaysia Bhd (kini CIMB Bank), yang pernah beliau bantu satu ketika dulu ketika bekerja di Bahagian Pinjaman Perniagaan Kecil bank terbabit.
Beliau seterusnya merujuk kepada Sirim Bhd untuk membuat rujukan mengenai modul perniagaan dan penyelidikan yang membabitkan pen penanda. Di peringkat awal, Abdul Razak mengeluarkan produk secara kecil-kecilan di sebuah pejabat kecil yang turut menjadi pusat pengeluaran, di Taman Melawati, Ulu Klang, dengan menggaji enam orang pekerja.
Penyertaan isteri, dua tahun selepas pembabitannya, banyak membantu beliau meneruskan perniagaan dan sepanjang ‘bertatih’ mengusahakan perniagaannya, pengalaman sebagai pegawai bank banyak membantu menguruskan hal ehwal kewangan syarikat.
Pengalaman itu juga membantu beliau memenuhi syarat yang diperlukan oleh institusi kewangan untuk mendapatkan bantuan, dan dalam tahun kedua perniagaannya, Abdul Razak mula mendapat bantuan bank untuk mengembangkan operasi.
Syarikat itu meningkat dari satu tahap ke tahap yang lain, dan kini Abdul Razak mengeluarkan produknya di sebuah kilang yang dibina hasil titik peluhnya, termasuk sedikit pinjaman bank.
Beliau membelanjakan lebih RM1.5 juta untuk melengkapkan kilang yang terletak di Pusat Pertumbuhan Desa Kampung Soi, di Kuantan, Pahang itu, dan kini berulang-alik antara Kuantan dan Kuala Lumpur, untuk menguruskan perniagaan.
Syarikat itu juga memiliki pejabat pemasaran yang bertempat di Bandar Tasek Selatan, menerusi anak syarikatnya, D’Pro Stationaries Sdn Bhd.
Kini selepas 11 tahun menyelami selok belok dunia perniagaan, Abdul Razak dan isteri, yang dikurniakan tiga orang cahaya mata itu, mahu mengembangkan pasaran Global Factor menerusi beberapa jenama produknya ke pasaran antarabangsa.
“Persaingan untuk produk pen penanda ini amat hebat, lebih-lebih lagi kerana terpaksa berdepan jenama yang sudah lama bertapak dan terkenal di pasaran.
“Namun, saya yakin potensi untuk produk ini amat besar dan mampu bersaing terutama dengan pengeluaran produk yang mempunyai reka bentuk yang menarik, berkualiti tinggi serta dijual pada harga yang berpatutan,” katanya yang menerima kesan akibat persaingan produk dari China yang dijual pada harga jauh lebih murah, tetapi dengan kualiti yang tidak dijamin.
Walaupun pada peringkat awal pasaran Global Factor tertumpu kepada bekalan ke jabatan kerajaan, di bawah Kontrak Pusat, Kementerian Kewangan iaitu sejak 2004, kontrak itu sudah tamat dan tidak lagi diperbaharui.
Abdul Razak berkata, syarikat menghadapi situasi yang amat getir apabila perniagaan merudum akibat ketiadaan pasaran, tetapi berkat ketabahan dan kesungguhan, perniagaannya kembali aktif dengan pasaran baru di luar negara, selain dalam negara.
Selain mengeluarkan produk pen penanda jenama ‘Kedidi Provo’ dan cecair pemadam jenama ‘Kedidi Fixon’, Abdul Razak berkata syarikatnya merancang memperkenalkan beberapa lagi produk baru tidak lama lagi, termasuk pemadam papan putih, ‘hi-lighter’, pen penanda cakera padat (CD) dan pen penanda bola golf.
Sumber: Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan