BAKAL usahawan perlu memulakan perniagaan selepas mempunyai pengetahuan dalam bidang diceburi dan bukan kerana mengenali seseorang yang diharap dapat membantu mendapatkan peluang niaga, kata Datuk Seri Najib Razak.
“Usahawan perlu memulakan perniagaan dengan ‘know-how’ dan bukan ‘know-who’, iaitu menceburi sesuatu bidang perniagaan selepas mempunyai segala pengetahuan mengenainya,” kata Timbalan Perdana Menteri ketika merasmikan Simposium Usahawan Bumiputera MIDF 2009 di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau menegaskan, usahawan yang memulakan perniagaan atas dasar ‘know-who’, iaitu kerana mengenali ‘orang penting’ atau VIP berkemungkinan hanya akan menjadi pelobi.
“Kita mahu membangunkan usahawan yang betul-betul komited dan fokus dalam menjayakan perniagaan,” katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga harus komited menghadapi sebarang cabaran dunia perniagaan, termasuk berdepan masalah atau kegagalan.
“Ini adalah aspek yang amat penting. Jika tiada sikap positif, jangan jadi usahawan kerana anda akan hanya membazirkan masa dan wang,” katanya.
Najib juga menyarankan pengusaha PKS berinovasi bagi mengelak persaingan sengit dalam pasaran yang sama.
“Jangan ikut orang lain kerana jika satu bidang itu sudah terlalu ramai, seperti dalam bidang ejen pelancongan misalnya, persaingan akan menjadi terlalu sengit dan tidak mungkin kita akan berjaya.
“Justeru, kita mesti mempunyai kemampuan melakukan inovasi dan melihat kepada bidang lain yang masih belum diterokai seperti teknologi mesra alam,” katanya.
Beliau turut mengingatkan usahawan mencari jalan mengurangkan risiko perniagaan dengan mengadakan pakatan menerusi usaha sama dengan pihak yang lebih berpengetahuan dan mahir dalam industri berkaitan.
“Jika kita tidak cekap, kita boleh bergabung dengan orang lain. Tetapi malangnya, yang kerap kita dengar adalah pengusaha menjadi rakan kongsi yang tidak aktif atau rakan kongsi yang pasif,” katanya.
Pada majlis itu Najib turut melancarkan buku Panduan Langkah Demi Langkah Memulakan Perniagaan terbitan MIDF dan Smidec yang boleh dijadikan panduan kepada pengusaha PKS yang baru menceburi perniagaan.
Sumber: Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan