E-Mail: lippikmkk@gmail.com

16 April 2009

Fungsi MeCD kekal: PM

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Semua fungsi dan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) yang dibubarkan dalam Kabinet Datuk Seri Najib Razak minggu lalu, akan diserapkan ke lapan kementerian lain.

Kerajaan juga akan memastikan peranan utama MeCD sebelum ini terus diberi penekanan, terutama bagi melahirkan masyarakat perdagangan serta perindustrian Bumiputera, memperluaskan dan mempercepatkan pembabitan Bumiputera dalam arus pembangunan ekonomi, membangun kawasan pertumbuhan baru dan memperkasakan koperasi.

Perdana Menteri, dalam kenyataannya semalam, berkata fungsi Pembangunan dan Penggalakan Sistem Francais serta Pembangunan Skim Vendor dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Turut dipindahkan ke kementerian itu ialah Pembangunan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Kerjasama Malaysia, manakala Pembangunan Masyarakat Perindustrian Perdagangan Bumiputera, Institut Keusahawanan Negara (Insken) dan Bank SME diserapkan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pula dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pusat Khidmat Kontraktor ke Kementerian Kerja Raya, manakala Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Perbadanan Pembangunan Bandar, Perbadanan Nasional Bhd serta Bank Rakyat ke Kementerian Kewangan.

Mara dipindahkan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sementara Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Malaysia-Japan University (Maju) pula dipindahkan ke Kementerian Pengajian Tinggi.

Pada sidang medianya pula, Najib menegaskan pemansuhan MeCD tidak menimbulkan masalah kerana agensi di bawah kementerian itu tidak dibubarkan.

“Tugas dan tanggungjawabnya seperti biasa. Umpamanya, Mara kita kembalikan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah seperti zaman Allahyarham Tun Ghafar Baba dulu.

“Lagi pun, menterinya sekarang seorang Naib Presiden Umno (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal). Takkan dia tidak boleh diharap melaksanakan program Mara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pemansuhan MeCD tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ia dilakukan untuk mewujudkan kerajaan yang lebih kecil dan cekap.

Mengenai LPKP, Perdana Menteri berkata, agensi itu ditempatkan di bawah JPM berikutan keputusan terdahulu untuk mewujudkan Lembaga Pengangkutan Kebangsaan yang merentasi pelbagai kementerian.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan belum dibuat mengenai Menteri di JPM yang bertanggungjawab menerajui badan baru yang dijangka dilaksanakan tahun ini.

Sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu