E-Mail: lippikmkk@gmail.com

23 Julai 2009

Perhebatkan lagi industri kraftangan tempatan, kata Ewon

RANAU: Menteri Pemban-gunan Luar Bandar Datuk Dr. Ewon Ebin mahu usaha untuk memajukan industri kraftangan tempatan di negeri ini diperhebatkan lagi, bagi meningkatkan ekonomi rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, ini kerana pada masa ini industri kraftangan di Sabah masih belum mantap dan perusahaan pengeluarannya juga masih ditahap yang rendah.

Katanya, berdasarkan kajian pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia lebih kurang 90 peratus daripada pengusaha kraf-tangan tempatan di Malaysia merupakan pengusaha sambilan.

“Ternyata belum ramai pengusaha atau peniaga kraftangan melibatkan diri secara sepenuh masa dalam bidang ini atau sekiranya ada ia hanya diusahakan secara kecil-kecilan disebabkan keyakinan pengguna terhadap perusahaan ini masih di tahap rendah.

“Sehubungan itu, kursus-kursus kraftangan anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) seumpama ini adalah satu langkah positif bagi meningkatkan perusahaan kraftangan seterusnya menjadikannya sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Kursus Asas Ukiran Kayu dan Anyaman Rotan di Dewan Kg.Luanti Baru, Ranau, dekat sini, pada Jumaat.

Dr.Ewon bekata, kerajaan akan terus membantu pengusaha kraftangan dengan memberi penekanan terhadap aspek pembangunan produk kraf.

“Pembelajaran berterusan serta perkembangan dan penyelidikan amat penting dalam pembangunan produk kraf.

“Pengusaha bukan hanya perlu mempunyai kemahiran dalam mengeluarkan produk kraft yang berkualiti tetapi perlu mahir mengubahsuai produk ini bagi memenuhi kehendak pasaran,” katanya.

Beliau juga berharap agar para pengusaha kraf di negeri ini memanfaatkan kemahiran mereka sepenuhnya dengan lebih kreatif menghasilkan kraftangan agar mempunyai nilai komersil.

“Saya difahamkan produk yang bersaiz kecil, senang dibawa dan praktikal adalah memenuhi kehendak para pelancong dan laris di pasaran tempatan,” katanya.

Menurutnya lagi, kementeriannya akan berusaha membantu para pengusaha kraftangan dari segi pemasaran, antaranya menganjurkan pameran produk industri desa KPLB setiap tahun.

“Dengan melibatkan usahawan kraftangan desa secara langsung dalam perniagaan jual beli produk kraft, saya percaya ia mampu memartabakan usahawan kraf desa di negeri ini,” katanya.

Sumber: New Sabah Times


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu