RAMAI daripada kita gemar berkongsi makanan menggunakan sudu yang sama dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang mana tanpa disedari kita juga sebenarnya turut berkongsi bakteria di dalam mulut.
Memang itulah hakikat yang terjadi sekiranya seseorang itu tidak mengamalkan tabiat tidak berkumur atau memberus gigi setiap kali selepas makan.
Tabiat terlalu kerap makan juga sebenar tidak elok kerana ia secara tidak langsung memberi bekalan makanan kepada bakteria menerusi cebisan makanan yang tertinggal di dalam mulut .
Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr. Lee Soon Boon berkata, sebaiknya individu mengubah gaya pemakanan mereka untuk kesihatan gigi dan gusi yang optimum.
"Tidak bermakna kita perlu mengubah selera makanan kerana itu pilihan masing-masing tetapi kita disarankan untuk mengambil langkah-langkah yang mengurangkan kehadiran bakteria dalam mulut.
"Sebagai contoh, lebih baik makan banyak tetapi tidak kerap berbanding makan sedikit tetapi terlalu kerap kerana bakteria lebih mudah membiak dalam keadaan itu sebegitu," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran berus gigi Oral-B CrossAction Pro-Health, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr. Soon Boon menambah, kerap makan makanan yang mengandungi karbohidrat juga tidak begitu dibaik kerana ia adalah makanan untuk bakteria.
"Kita sering menganggap bahawa kaviti berpunca daripada gula tetapi sebenarnya ia berpunca daripada bakteria.
"Dalam mulut manusia terdapat berjuta-juta bakteria dalam pelbagai spesies, saiz dan bentuk. Antara jenis bakteria yang terdapat dalam mulut ialah lactobacillus acidophilus, actinomyces viscosus dan streptococcus mutans," jelasnya.
Bagaimana untuk mengetahui kewujudan bakteria dalam mulut?
Menurut Dr. Soon Boon, bakteria wujud dalam lapisan melekit, sedikit licin, kekuningan dan amat jelas di atas permukaan gigi yang tidak diberus selama beberapa jam selepas makan.
"Jangan biar selepas tujuh hingga lapan jam selepas makan baru hendak gosok gigi kerana kelewatan tersebut menggalakkan pertumbuhan bakteria di dalam mulut.
"Apabila populasi bakteria bertambah maka akan terhasil bahan buangan bakteria iaitu sejenis asid yang menjadi penyebab kepada kerosakan gigi," ujarnya.
Untuk memastikan mulut bebas daripada bakteria terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh diikuti iaitu berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan pastikan juga ia efektif.
"Selain pemilihan berus gigi yang baik teknik memberus juga mesti betul. Berus gigi yang baik perlulah diperbuat daripada bahan yang berkualiti dan helaian berusnya juga perlu rapat agar lebihan ubat gigi tidak mudah masuk ke dasar dan mengakibatkan pertumbuhan kulat.
"Langkah penjagaan lain meliputi tabiat penggunaan flos gigi untuk membuang cebisan makanan di antara gigi dan lakukan pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun," tambahnya.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan