E-Mail: lippikmkk@gmail.com

06 Ogos 2009

Sambutan AS1M menggalakkan


Orang ramai menunggu untuk melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia yang dibuka semalam untuk semua rakyat Malaysia di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 5 Ogos - Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) yang mula dijual kepada orang ramai hari ini mendapat sambutan menggalakkan sehingga ada yang menunggu seawal pukul 2 pagi di Ibu Pejabat Permodalan Nasional Bhd. (PNB) di Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kaunter-kaunter jualan di PNB mulai dikunjungi orang ramai sejak ia dibuka pada pukul 8 pagi.

AS1M dengan saiz dana sebanyak 10 bilion unit dijual pada harga RM1 setiap unit dan disasarkan kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan pelaburan minimum 100 unit dan pelaburan tambahan minimum serendah satu unit.

Dana ekuiti itu mempunyai ciri-ciri seperti dana harga tetap lain iaitu Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman ketika ditemui di PNB berkata, sambutan awal terhadap AS1M hari ini merupakan permulaan yang baik terhadap saham tersebut.

"Anda lihat sendiri betapa ramainya yang datang, tetapi apa yang lebih penting ialah penerimaan AS1M oleh semua masyarakat di negara ini.

''Peluang ini diberikan kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

AS1M dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Julai lalu.

Sementara itu difahamkan, ada antara pelanggan yang datang ke PNB bersama ahli keluarga dan rakan-rakan sejak awal pagi lagi kerana tidak mahu terlepas peluang melanggan unit saham terbesar yang ditawarkan itu.

Malah beberapa pelabur juga telah berada di pekarangan Ibu Pejabat PNB sejak pukul 2 pagi lagi.

Langganan unit itu tertakluk pada peruntukan 50 peratus untuk bumiputera, 30 peratus Cina, 15 peratus India dan baki lima peratus untuk kaum minoriti lain.

Sementara itu, seorang pegawai insurans, Yee Wee Lin, 27, berkata, dia tiba sebelum pukul 7 pagi dan terpaksa menunggu serta berbaris di pekarangan bangunan PNB sehingga kaunter dibuka pada pukul 8 pagi.

Katanya, dia terpaksa bertolak awal dari rumah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas semata-mata mahu melanggan unit saham AS1M.

''Saya berbangga dan mengalu-alukan pendekatan kerajaan memperkenalkan dana saham untuk semua rakyat Malaysia.

''Saya bangga menjadi rakyat Malaysia kerana kerajaan begitu prihatin dalam memberi peluang untuk sama-sama melabur dan mendapat manfaat daripada pelaburan ini selaras dengan gagasan 1Malaysia," katanya.

Pen Sew Lin, 31, pula bercadang membuat pelaburan awal sebanyak RM2,000 dan percaya AS1M bakal menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk melabur kerana kadar dividen yang lebih tinggi serta mudah diurus selain dijamin kerajaan.

"Saya percaya ramai kaum Cina akan melabur dan mendapat manfaat daripada pelaburan ini selain bersama-sama membantu kerajaan membangunkan negara," katanya.

Seorang pelajar, Nur Atikah Edy, 21, berkata, pulangan tinggi dalam pelaburan yang dikendalikan PNB itu mendorongnya untuk melabur dalam AS1M.

"Pulangannya lebih tinggi berbanding simpanan tetap. Masyarakat harus menggunakan peluang ini untuk masa depan mereka.

"Langkah memperkenalkan AS1M oleh Perdana Menteri memberi inspirasi kepada saya untuk sama-sama terlibat dalam pelaburan walaupun masih belajar," katanya.

Seorang eksekutif sebuah bank, V. Revathy, 28, pula yakin kaum India di negara ini tidak akan ketinggalan untuk melanggan saham amanah itu.

"Walaupun kaum India tidak melabur banyak, saya percaya mereka akan sama-sama terlibat.

"Kami juga yakin dengan keadaan ekonomi kaum India yang semakin baik, ia turut membantu kami untuk terus melabur dan memacu pembangunan negara, " katanya.

Sumber: Utusan Malaysia


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu

Pelan Lokasi Ke Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu